17 Januari 2020
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd telah menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), atau lebih dikenali sebagai MRT 2.
Perjanjian ini memuktamadkan proses rasionalisasi yang berjaya mengurangkan kos pembinaan MRT 2 sebanyak RM8.82 bilion, daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion. Pengurangan RM8.82 bilion ini merupakan penjimatan sebesar 22.4% berbanding kos pembinaan asal MRT 2, seperti yang dirundingkan antara Kerajaan dan MMC-Gamuda pada Oktober 2018.
Perjanjian Tambahan ini telah ditandatangani di Kementerian Kewangan di antara MRT Corp dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) dan disaksikan oleh YB Menteri Kewangan, Tuan Lim Guan Eng, YB Menteri Pengangkutan, Tuan Anthony Loke Siew Fook. Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Encik Abdul Yazid Kassim telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak MRT Corp, manakala MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) diwakili oleh Pengarah Syarikat Dato ' Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Ir Dato' Paul Ha.