SEPANG: Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan dan baik pulih Capital A menyatakan komitmen untuk terus meningkatkan keupayaannya menyokong pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia.
ADE dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan komitmennya terhadap kemajuan dan inovasi, ia bersedia untuk mencapai beberapa penanda aras.
Katanya, pada April lalu, ia berjaya memperoleh pelaburan sebanyak AS$100 juta daripada OCP Asia Ltd yang akan digunakan untuk pembinaan dan pengoperasian kemudahan hangar penyelenggaraan pesawat tercanggih baharu di KLIA Aeropolis, dijadualkan siap pada pertengahan 2024.
"Hangar itu akan menampilkan 14 baris penyelenggaraan, seterusnya mengukuhkan kapasiti ADE untuk memberikan perkhidmatan MRO peringkat tertinggi," katanya.
ADE berkata, ia juga sedang mengambil langkah untuk menubuhkan sekolah kejuruteraan dan sedang berbincang dengan beberapa sekolah kejuruteraan berprestij yang berpotensi untuk bekerjasama.
Katanya, Inisiatif ini bertujuan untuk mempertingkatkan set kemahiran bakal jurutera dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan.
"ADE juga memeterai Surat Hasrat (LOI) dengan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Metaverse untuk Penerbangan dan Aeroangkasa (MC4A).
"Kerjasama ini akan menyediakan generasi profesional akan datang untuk cabaran industri masa depan melalui pengalaman pembelajaran transformatif," katanya.
ADE baru-baru ini menerima lawatan delegasi Kementerian Kewangan yang diketuai Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong ke kompleks kejuruteraannya iaitu RedChain.
Kunjungan itu menjadi satu penanda aras bagi ADE dalam usahanya untuk meningkatkan ekonomi serta transformasi digital negara.
Timbalan Menteri turut menyertai lawatan ke kompleks kejuruteraan RedChain, serta diberikan penerangan yang inklusif mengenai perkhidmatan MRO menyeluruh yang ditawarkan oleh ADE hasil pengalaman lebih daripada 20 tahun yang diwarisi daripada bahagian kejuruteraan AirAsia.
Beliau turut melawat pameran platform digital niaga-ke-niaga yang dibangunkan oleh ADE secara dalaman yang inovatif pasaran penerbangan dan perisian pemantauan kesihatan pesawat termaju iaitu Aerotrade & Elevade Fleet.
Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar, berkata lawatan itu menandakan satu lagi pengiktirafan kerajaan terhadap usaha ADE untuk memacu transformasi digital di Malaysia.
"Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan untuk meningkatkan keupayaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.
Kepakaran ADE bukan hanya diiktiraf di Malaysia, malah ia telah mendapat kelulusan daripada 145 negara, termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Nepal.
Memanfaatkan penempatan strategik hab AirAsia di Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, dan tidak lama lagi di Phnom Penh, ADE berfungsi sebagai rakan kongsi MRO yang boleh dipercayai untuk syarikat penerbangan beroperasi di rantau ASEAN dan seteterusnya.