Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Belanjawan 2024: Kerajaan Sedia Peruntukan Bagi Reformasi Institusi, Perundangan

Belanjawan 2024: Kerajaan Sedia Peruntukan Bagi Reformasi Institusi, Perundangan

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia MADANI turut menyediakan peruntukan bagi melaksanakan agenda reformasi institusi dan undang-undang sebagai usaha menamatkan penderitaan rakyat, membasmi amalan rasuah serta mengurangkan karenah birokrasi dan membangunkan aturan politik yang stabil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara telah berjaya mempercepat pelaksanaan projek khususnya melibatkan kesesakan di hospital dserta pembaikan sekolah dan klinik daif.

Justeru, beliau mengumumkan pasukan STAR diberi tangungjawab pada tahun depan untuk mempercepat pelaksanaan projek menyelenggara lif dengan peruntukan RM91 juta dan kuarters kerajaan sebanyak RM170 juta.

“Sebanyak RM2.4 bilion diperuntuk bagi membina, menyelenggara serta membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital anggota polis, tentera dan bomba,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.

Ini adalah belanjawan kedua dibentangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri juga berkata selepas Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 diluluskan, Kerajaan Perpaduan komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan pada 2024.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM18 juta bagi melancarkan urusan reformasi perundangan termasuk persiapan penyediaan Rang Undang-Undang Pelaksanaan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

Beliau berkata bagi badan kehakiman, kerajaan memperuntuk RM38 juta untuk meningkatkan produktiviti kehakiman negara yang mencakupi keutamaan membaik pulih prasarana dan kemudahan ICT mahkamah yang usang dan rosak.

"Ini termasuk RM20 juta bagi memperkasa Akademik Kehakiman Malaysia dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata berdasarkan kajian yang dilaksanakan bagi menambah baik kemampanan hasil, perlindungan sosial, tatakelola syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurusan negara, kerajaan akan melaksanakan beberapa syor termasuk menambah baik pengenaan duti setem serta menyelaras pentadbiran insentif cukai bagi mengurangkan ketirisan kutipan hasil.

Beliau berkata selain itu, memperkukuh pentadbiran cukai termasuk mempermudah pulangan balik cukai serta memusatkan usaha kutipan cukai, memperluas liputan sistem perlindungan sosial meibatkan warga emas dan sektor tidak formal selain menstruktur semula institusi kewangan pembangunan (DFI) melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan Exim Bank.

Katanya syor lain memperkukuh persekitaran modal teroka melalui pemusatan agensi modal teroka seperti Penjana Kapital dan MAVCAP di bawah Khazanah Nasional Berhad.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility