KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menilai secara aktif potensi mata wang digital bank pusat (CBGC) yang didorong oleh teknologi dan landskap pembayaran yang semakin berkembang.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata berbeza dengan mata wang kripto, CBGC merupakan mata wang digital yang dikeluarkan bank pusat untuk mencapai objektif dasar awam seperti meningkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan dan memajukan rangkuman kewangan.
“Sebagai contoh baru-baru ini BNM telah bekerjasama dengan bank-bank pusat di Australia, Singapura dan Afrika Selatan menerusi Projek Dunbar untuk membangunkan platform prototaip yang membolehkan penyelesaian antarabangsa yang menggunakan pelbagai CGBC dengan mengurangkan kebergantungan kepada pihak pengantara.
“Platform prototaip ini berpotensi dalam mengurangkan kos dan masa yang diambil untuk transaksi rentas sempadan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Menurut Mohd Shahar, hasil projek itu akan dimanfaatkan oleh BNM dan bank-bank pusat lain untuk membangunkan infrastruktur pembayaran generasi masa hadapan yang lebih cekap.
Beliau turut menjelaskan selaras dengan pendirian kerajaan, mata wang kripto seperti bitcoin tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran atas pelbagai batasan termasuk turun naik harga yang ketara, pendedahan kepada ancaman siber, kekurangan daripada segi boleh skala dan kesan buruk terhadap alam sekitar.
Justeru matawang itu tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah diperakukan di Malaysia.