KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) – Penubuhan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR) akan membantu mempercepat penggunaan teknologi yang menjamin pertumbuhan lebih saksama, inklusif dan mampan apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19.
Menurut Laporan Kewangan Rakyat (LKR) Ke-96 yang diterbitkan hari ini, C4IR, sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF), akan menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
“Penubuhan pusat ini, yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya.
Menurut laporan tersebut, sebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Katanya WEF akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata bahawa C4IR akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua tahun ini.
Menurut laporan itu lagi, kerajaan tekad memastikan bahawa sebarang penyelesaian jangka pendek akibat pandemik COVID-19 turut sama memberi impak jangka panjang.
Katanya pandemik COVID-19 menyediakan peluang kepada Malaysia untuk melaras semula ekonomi dan negara perlu memanfaatkannya dengan menangani isu ekonomi jangka pendek dan pada masa sama menangani isu jangka panjang di bawah tiga prinsip iaitu Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis.
“Disebabkan oleh pandemik COVID-19, banyak negara dan kerajaan terpaksa memberi tumpuan kepada keperluan jangka pendek, dan ada kalanya, ini bermakna pembaharuan pembangunan dan struktur masa depan perlu dikorbankan,” menurut laporan itu.
Katanya dalam membentuk penerimaan awam kepada dasar kerajaan, Kementerian Kewangan sentiasa menekankan bahawa dasar yang membawa manfaat jangka panjang mungkin memberikan impak negatif untuk jangka pendek.
Sejak 2020, katanya Kementerian Kewangan, semasa melancarkan pelbagai pakej rangsangan COVID-19, bahkan belanjawan tahunan, sentiasa memberi tumpuan kepada pembaharuan jangka pertengahan dan panjang berdasarkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Matlamat utama ialah mengukuhkan daya tahan sosioekonomi dan fiskal serta membina semula dengan lebih baik.
“Pandangan jangka panjang penting untuk membantu negara kita membina daya tahan dan pulih lebih cepat jika krisis lain berlaku,” katanya.
LKR merupakan penjenamaan semula bagi laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan secara mingguan sejak April, 2020.