MELAKA, 21 Jun (Bernama) – Beberapa pembaikan dan penyelenggaraan perlu dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Kota Laksamana di sini.
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata menerusi lawatan ringkasnya hari ini, beliau menerima laporan berhubung masalah kebocoran di beberapa bahagian di kompleks yang menempatkan Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai itu, yang dikhuatiri merosakkan aset lain sekiranya tindakan segera tidak dilakukan.
Katanya berdasarkan maklumat awal, 80 hingga 90 peratus warga Indonesia yang masuk ke Melaka melalui kompleks itu bertujuan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di beberapa hospital swasta di sini, sekali gus mereka merupakan penyumbang kepada sektor pelancongan kesihatan negeri.
"Secara keseluruhan, fasiliti di sini masih lagi dalam keadaan yang baik cuma perkara-perkara kosmetik yang kita kena buat, mungkin ada kebocoran sedikit di ruang kompleks dan kita kena ambil kiralah perkara yang kita perlu perbaiki untuk ICQS ini.
"Kita bersedia memberikan peruntukan yang diperlukan menerusi Bajet 2023 tetapi permohonan berkenaan perlu dimohon oleh Jabatan Imigresen melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kita akan buat pertimbangan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mendengar taklimat ringkas daripada Pengarah Kastam Melaka Norlela Ismail berhubung pengoperasian ICQS itu.
Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai mula beroperasi awal Mei lepas setelah dua tahun ditutup ekoran penularan COVID-19.