KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) – Belanjawan 2023 merupakan belanjawan komprehensif yang merangkumi komuniti perniagaan secara keseluruhan termasuk daripada aspek pelaburan dan kemudahan perniagaan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MoF) yang baharu dilantik, Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican.
Beliau menegaskan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menamakan secara khusus insentif untuk setiap industri, insentif utama yang ditawarkan kepada perniagaan merentasi semua sektor.
“Mungkin ia berbeza daripada belanjawan lain sebelum ini, di mana sebelum ini ia seumpama senarai membeli-belah di mana setiap insentif disebut untuk setiap industri,” katanya kepada media selepas menghadiri debat pasca belanjawan anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (PEA) hari ini.
Mengenai pelantikannya sebagai KSP, Johan berkata beliau akan menyokong visi perdana menteri, khususnya untuk Belanjawan 2023 dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah.
Terdahulu dalam ucapannya, Johan menyentuh prospek global lebih lemah yang mencabar untuk tahun ini dan bagaimana ia akan mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia.
“Seperti yang digariskan dalam laporan tinjauan ekonomi global 2023 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), prospek yang lebih lemah adalah disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan, inflasi yang meningkat, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, dasar ekonomi global lebih ketat dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan di China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah,” katanya.