KUALA LUMPUR, 10 Mac – Serangan pandemik dan amalan pembangunan yang berkembang di kebanyakan bandar global menyebabkan adalah tepat pada masanya untuk mengkaji peraturan perancangan, dasar dan amalan pembangunan semasa bagi mewujudkan pasaran hartanah yang lebih mampan.
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata ia turut perlu mempertimbangkan permintaan pengguna akhir, selain memenuhi keperluan generasi akan datang.
“Pemberian data dari segi stok sedia ada, kadar penghunian dan penawaran yang dirancang akan terus disediakan kepada profesional hartanah melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Hartanah Kebangsaan ke-30 anjuran Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) yang diadakan secara hibrid, hari ini.
Beliau berkata jumlah dan nilai urus niaga hartanah mencatatkan peningkatan, masing-masing sebanyak 3.8 peratus dan 38.8 peratus pada suku ketiga 2021 dan berasaskan suku ke suku.
"Bagaimanapun, wujud keperluan kepada pihak berkepentingan hartanah dan pihak berkuasa untuk bersama-sama meminimumkan situasi gelembung hartanah dan krisis kemampuan perumahan untuk terjadi semula,” katanya.
Yamani Hafez berkata perubahan iklim global yang dijejaskan lagi oleh impak pandemik telah mewujudkan peluang pelaburan baharu dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat hartanah.
“Walaupun ia boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada krisis iklim, semua pihak berkepentingan perlu menyelaraskan objektif mereka untuk menyediakan hartanah sebagai pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya.
Beliau menambah, pegangan hartanah tidak boleh lagi dilihat dari segi pengkomersialan sahaja, malah, dari sudut membawa kebaikan dalam konteks alam sekitar dan sosial.
“Kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan dan peruntukan yang mencukupi untuk program dan projek berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022 agar pertumbuhan kekal mampan dan inklusif.
“Ia sangat memanfaatkan pemaju, pemilik dan penghuni memandangkan pertimbangan dan keputusan mengenai alam sekitar, mengambil kira tahap berbeza bagi kitaran hidup hartanah,” katanya.
Dalam pada itu, Yamani Hafez berkata dalam menuju kepada fasa pemulihan ekonomi, profesional hartanah kini perlu mendepani cabaran yang dihadapi industri hartanah dan menyegerakan proses itu supaya lebih efisien dan kos-berkesan.
Beliau berkata pengajaran dan cabaran yang dihadapi oleh pemilik hartanah dan pelabur adalah gambaran yang bernilai untuk memahami mekanik industri hartanah.
Menurutnya alam sekitar yang efisien dan dasar yang memadai akan menggalakkan sektor hartanah yang mampan, sekali gus menangani situasi lambakan hartanah.
Beliau berkata pada suku ketiga 2021, hartanah tidak terjual di Malaysia berjumlah 30,358 unit bernilai RM19.80 bilion yang didahului Johor (6,509 unit), Pulau Pinang (4,638 unit), Putrajaya (3,863 unit) dan Selangor (3,376 unit).
Unit bertingkat tinggi menyumbang sebahagian besar daripada hartanah tidak terjual iaitu 62 peratus atau 18,829 unit, diikuti rumah teres berjumlah 22.4 peratus atau 6,803 unit.