KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan persekutuan bakal mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga RM1 bilion yang melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif penanaman semula ini akan dibuat secara usaha sama dengan kerajaan negeri yang berminat dan bakal memanfaatkan sebahagian daripada kredit karbon yang dijanakan.
“Kerajaan telah meyediakan pelbagai bentuk potongan cukai bagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan,” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi mengalakkan penglibatan lebih banyak sektor swasta dalam memberi sumbangan melalui projek amal atau komuniti, beliau berkata kerajaan akan memberi potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang disahkan oleh Institut Penyelidikan Perhutana Malaysia (FRIM).
Kerajaan juga akan melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial sehingga 2025.
Langkah ini katanya adalah bagi menyokong gerakan perusahaan sosial dalam menghasilkan impak alam sekitar dan sosial yang positif selari dengan rukun kemampanan dan kesejahteraan di bawah Malaysia MADANI.