KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah menyumbang lebih RM1 bilion kepada hasil fiskal negara pada 2022, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.
Beliau berkata jumlah itu merupakan kutipan paling tinggi sejak tahun 1990 dan telah melonjak sebanyak tujuh kali ganda sejak 2018 setelah kerajaan melaksanakan peraturan Keperluan Fizikal Ekonomi pada 2019.
Katanya pelaksanaan peraturan berkenaan dikenakan ke atas institusi dan syarikat.
“Labuan IBFC merupakan antara tiga pusat kewangan antarabangsa utama di Asia Pasifik yang tertumpu kepada perniagaan perbankan luaran, insurans semula dan syarikat insurans kaptif (selain Singapura dan Hong Kong).
“Labuan memiliki 70 buah bank yang menjalankan perbankan luaran, Singapura memiliki sebanyak 99 buah dan Hong Kong (61),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pencapaian terkini Labuan IBFC dari segi sumbangan ekonomi dan pembangunan kepada Labuan sejak ia ditubuhkan.
Bagi syarikat insurans dan berkaitan dengan insurans, Sim berkata Labuan memiliki 237 buah syarikat, Singapura (180) dan Hong Kong (163).
“Secara terperinci, terdapat 71 syarikat insurans kaptif di Labuan sementara Singapura memiliki 83 dan Hong Kong hanya mempunyai empat syarikat,” katanya.
Secara keseluruhan, katanya terdapat lebih 940 institusi berlesen yang dilulus dan dikawal selia oleh Labuan FSA -- ini menunjukkan peningkatan bilangan pelesen sebanyak 10 kali ganda sejak tahun 1996.
Beliau berkata sehingga kini, bank-bank Labuan memiliki hampir US$50 bilion aset dan syarikat insurans di Labuan dan mempunyai premium insurans sehingga US$1.7 bilion.
Sementara itu, beliau berkata antara sumbangan utama Labuan IBFC kepada Pulau Labuan ialah menyumbang lebih 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Labuan, yang mencecah hampir RM5 bilion (2019-2020), sekali gus menjadikannya penyumbang terbesar kepada KDNK Labuan.
“Daripada sumbangan ini, kira-kira 12 peratus atau RM600 juta merupakan perbelanjaan entiti Labuan IBFC yang perlu dibelanjakan di Labuan,” katanya.
Sim berkata Labuan IBFC juga merupakan majikan kolar putih yang terbesar di Labuan dengan jumlah pekerja seramai 9,198 orang -- jumlah itu merangkumi 20 peratus daripada jumlah pekerjaan di seluruh Labuan dan 90 peratus daripadanya adalah terdiri daripada warga tempatan.
“Sepanjang tiga dekad, banyak pembangunan telah dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai sebuah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa dalam bentuk penambahbaikan infrastruktur (jalan raya/ lapangan terbang/ pelabuhan laut), penubuhan sekolah antarabangsa, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata pembinaan Ujana Kewangan pada tahun 1996 yang menempatkan kompleks pejabat, pusat konvensyen, blok penginapan dan pusat beli-belah telah membuka pelbagai gedung untuk komuniti Labuan IBFC dan penduduk setempat.