PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Strategik 2022 hingga 2026 dalam langkahnya untuk menjadi pusat antarabangsa yang dinamik dan mampan yang akan menghubungkan pertumbuhan ekonomi pasaran Asia serta menyumbang kepada ekonomi negara.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata memandangkan Labuan IBFC dikaitkan dengan sistem kewangan Malaysia, pelan hala tuju strategik itu akan mengukuhkan hubungan pusat itu dan memantapkan pelan strategik lain seperti Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026.
"Pasaran kewangan Labuan telah berkembang lebih daripada sepuluh kali ganda sejak penubuhannya iaitu daripada 80 entiti yang dikawal selia kepada 880 pemain kewangan antarabangsa dan serantau pada hari ini.
"Sebagai pusat antarabangsa yang terkemuka, Labuan IBFC kini menempatkan lebih 5,100 syarikat aktif dari 125 negara termasuk beberapa institusi kewangan terkenal. Apa yang ditawarkan oleh Labuan kepada pasaran kewangan global sekarang adalah lebih menarik, canggih serta relevan," katanya semasa ucapan perasmian.
Daripada lebih 880 institusi kewangan Labuan yang berlesen, 296 entiti berlesen mewakili sektor yang lebih matang, merangkumi 67 bank serta bank pelaburan yang mengumpulkan jumlah aset perbankan sebanyak US$55.8 bilion dan 229 penanggung insurans termasuk perantara insurans dengan premium menaja jamin bernilai US$2 bilion pada akhir tahun lepas.
Untuk memastikan Labuan IBFC berada di hadapan, pusat itu telah memupuk dan mempromosikan pembangunan penyelesaian perniagaan yang inovatif bukan sahaja sebagai peneraju dalam peralihan daripada tawaran perniagaan tradisional, tetapi juga sebagai kaedah dalam membina penawaran serta penjenamaan unik pusat itu di Asia.
"Labuan juga telah berkembang unggul di ruang insurans global. Ia telah menjadi segmen insurans kedua terbesar di pusat ini, dengan premium kasar sebanyak US$569 juta, lebih daripada 60 peratus daripadanya datang dari pasaran antarabangsa," katanya.
Tengku Zafrul menekankan bahawa sektor patuh syariah Labuan IBFC juga telah membuktikan keupayaan bagi berkembang serta berinovasi, apabila pusat itu menambah dua lagi bank Islam pada 2000 kepada 18 menjelang akhir 2021, dengan jumlah aset perbankan Islam mencecah US$1.9 bilion. Trend yang sama dicerminkan dalam sektor takaful, yang menyumbang sebanyak US$117.4 juta.
Beliau juga membayangkan peranan yang semakin penting bagi Labuan sebagai hab pengumpulan dana dan pelaburan dalam ruang digital global yang patuh syariah serta disokong oleh satu set undang-undang dan peraturan yang komprehensif.
"Matlamat strategik ini adalah untuk menarik lebih banyak pemain aset digital dan fintech ke Labuan, serta mengukir jurusan dalam ruang kewangan Islam digital," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Datuk Siti Zainab Omar dalam ucapan alu-aluannya berkata memandangkan kemunculan cabaran-cabaran baharu, perubahan trend pasaran serta keperluan untuk kekal inovatif dan berdaya saing, pelan strategik yang jelas adalah penting dalam meletakkan pelan hala tuju itu selain menyelaraskan penglibatan semua pihak.
"Dengan kejelasan visi dan tujuan, Labuan IBFC akan dapat membuat kemajuan besar untuk manfaat semua peserta, mengukuhkan sektor pasaran yang mampan sambil mewujudkan pengkhususan serta peluang baharu. Melangkah ke hadapan, prospek Labuan IBFC akan kekal baik namun mencabar.
"Dengan sokongan berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan komuniti kewangan Labuan, kami yakin bahawa aktiviti Labuan IBFC akan menyaksikan pengembangan selanjutnya pada masa akan datang," tambahnya.