Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Lebih 300,000 transaksi harta tanah bernilai RM145 bln direkod pada 2021

Lebih 300,000 transaksi harta tanah bernilai RM145 bln direkod pada 2021

KAJANG, 1 April (Bernama) – Pasaran harta tanah berjaya merekodkan lebih daripada 300,000 transaksi bernilai kira-kira 145 bilion pada 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jelasnya, ini merupakan tambahan sebanyak 1.5 peratus dalam bilangan dan 22 peratus dalam nilai berbanding 2020.

“Peningkatan tersebut telah disumbangkan oleh subsektor kediaman, yang mana ia merangkumi hampir 66 peratus berbanding bilangan keseluruhan transaksi dan lebih daripada 50 peratus daripada keseluruhan transaksi.

“Ini disusuli subsektor perdagangan yang merangkumi 19.3 peratus daripada segi nilai keseluruhan transaksi, manakala subsektor pertanian pula merangkumi 18.9 peratus daripada segi bilangan keseluruhan transaksi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2021, Indeks Sewaan Pusat Beli Belah Lembah Klang dan laporan lain yang dikeluarkan Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH) hari ini.

Namun, disebalik pemulihan pasaran harta tanah yang dicapai, Tengku Zafrul berkata isu ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan serta kemampuan pembeli, telah menyumbang kepada kemelut tanah kediaman siap dibina tetapi tidak terjual.

Tegas beliau, isu lebihan ini merupakan antara isu yang perlu dilihat dengan lebih mendalam dan menyeru pemaju supaya membangunkan projek berlandaskan keputusan perniagaan berdasarkan kajian kemungkinan atau kebolehlaksanaan.

“Seharusnya sebarang keputusan bukanlah berasaskan spekulasi mengenai jangkaan pasaran harta tanah semata-mata,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menjelaskan sebagai contoh, prestasi jualan pelancaran baharu bagi 2021 adalah sederhana iaitu pada 39.3 peratus.

Kediaman tidak terjual pula melonjak kepada lebih 36,000 unit, yang mana nilainya telah melangkaui RM22 bilion.

“Berbanding 2020, ini merupakan peningkatan 24.7 peratus daripada segi bilangan dan 20.4 peratus daripada segi nilai.

“Sebahagian besar daripada jumlah lebihan ini terdiri daripada kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah, yang merangkumi 31.5 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

Sementara status tidak terjual pangsapuri khidmat pula turut menunjukkan peningkatan.

Katanya, terdapat lebih 24,000 unit lebihan, dengan nilai RM20.45 bilion pada 2021 iaitu kenaikan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Lebih daripada 85 peratus daripada jumlah lebihan ini adalah bagi unit yang berharga RM500,000 dan ke atas, majoriti terletak di Johor,” jelasnya.

Sementara itu, bagi sektor perdagangan, Tengku Zafrul berkata segmen khususnya bagi pejabat binaan khas dan kompleks perniagaan turut dibelenggu dengan lebihan penawaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan semakin terkesan akibat pandemik COVID-19.

Namun dengan pelbagai inisiatif kerajaan dibawah Bajet 2022 antaranya RM2 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan dan peruntukan RM1.5 bilion bagi pembangunan projek perumahan kepada golongan berpendapatan rendah, beliau menyeru semua pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri dan pemaju agar memberi perhatian kepada data yang dikeluarkan JPPH menerusi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) agar projek yang dibangunkan selari dengan permintaan dan harga jualan yang munasabah.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility