Datuk Seri Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia dan ASEAN komited untuk meneroka kerjasama dan perkongsian baharu dalam bidang kewangan dengan negara Jepun.
Perkara itu dizahirkan Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan semasa menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat sempena Ulang Tahun Ke-50 ASEAN-Jepun yang diadakan di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini.
Menurut Ahmad, Malaysia dan ASEAN juga berhasrat untuk memperluas kolaborasi strategik ASEAN-Jepun dalam perkhidmatan kewangan, perdagangan dan pelaburan, pembangunan infrastruktur, kerjasama pertahanan, pembangunan kapasiti, pelancongan, pendidikan, ICT, pertukaran budaya serta sains dan teknologi.
“Dengan memanfaatkan kelebihan dan kepakaran negara masing-masing, ekosistem kewangan yang lebih mantap dan bersepadu dapat diwujudkan dan memberi faedah kepada negara-negara ASEAN dan Jepun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Ahmad mewakili Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 Ke-26 dan mesyuarat lain yang berkaitan pada 1 dan 2 Mei 2023 di Incheon.
Beliau turut menghadiri Mesyuarat Tahunan Lembaga Gabenor Bank Pembangunan Asia (ADB) Ke-56 dan mesyuarat lain yang berkaitan dari 1 hingga 5 Mei 2023 di lokasi sama.
Semasa menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Tahunan Lembaga Gabenor ADB Ke-56, beliau telah memaklumkan mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun iaitu 3.1 peratus bagi tahun 2021, 8.7 peratus bagi tahun 2022 dan dijangka mencapai 4.5 peratus bagi tahun 2023, sejajar dengan tinjauan ekonomi global terkini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.
“Di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang stabil dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, Malaysia menyasarkan pencapaian ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Katanya konsep Malaysia Madani turut diketengahkan bagi menzahirkan wawasan masyarakat Malaysia yang bertamadun, berkemahiran dan inklusif berdasarkan enam nilai teras iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, saling menghormati, amanah dan belas kasihan.
Ahmad berkata Malaysia juga menyokong peranan penting ADB dalam membantu negara anggota bank tersebut menangani cabaran perubahan iklim, meningkatkan prasarana digital dan mengurangkan kadar kemiskinan.
Beliau turut berpeluang mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Kewangan China Wang Dong Wei.
Dalam pertemuan tersebut, beliau telah merujuk kepada hasil lawatan Anwar ke China baru-baru ini dan menyatakan hasrat Malaysia agar komitmen pelaburan dari China bernilai RM170 bilion dipermudahkan dan disusuli bersama.
Pertemuan dua hala bersama Presiden ADB Masatsugu Asakawa turut diadakan.
Dalam pertemuan tersebut, Ahmad menyambut baik inisiatif ADB dalam menyediakan dana berjumlah US$100 bilion daripada sumber bank tersebut melalui program Innovative Finance Facility for Climate in Asia and the Pacific – IFCAP bagi mengatasi cabaran perubahan iklim sehingga tahun 2030.