KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) komited untuk menambah baik pelaporan dalam mengkategorikan unit siap dibina tidak terjual mengikut tempoh masa selepas pelancaran, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata penambahbaikan itu adalah bagi menutup kebanyakan lambakan projek lama di kawasan tertentu.
Menurutnya dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan, NAPIC juga sedang membangunkan analisis data raya dengan menggabungkan data daripada pelbagai agensi bagi menghasilkan satu analisis pasaran hartanah yang lebih komprehensif dan interaktif.
"NAPIC berharap dengan menyediakan maklumat permintaan dan penawaran hartanah, pemain dalam industri hartanah dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan lengkap sekali gus memastikan hartanah tidak terjual terus berkurangan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu adakah kerajaan akan memperbaiki cara NAPIC mengkategorikan data agar lebih spesifik dan menyeluruh, supaya keyakinan pelabur dapat dipulihkan di negara ini.
Menurutnya suku keempat 2023 mencatat prestasi lebih baik dengan lambakan kediaman memperlihatkan momentum yang memberangsangkan dengan bilangan terus berkurangan berbanding 2022.
“Saya melihat dengan pengukuhan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar, empat peratus hingga lima peratus serta inisiatif kerajaan negeri seperti zon ekonomi khas dijangka dapat mengurangkan lagi jumlah lambakan ini,” katanya.