KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) – Sektor kewangan perlu terus memainkan peranan penting dalam memudahkan pembiayaan dan pelaburan ke arah usaha pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim berkata pembiayaan kolektif dalam jumlah besar diperlukan untuk menyokong projek dan inisiatif dirancang dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang harus dibangunkan dalam beberapa dekad akan datang.
Berikutan itu, katanya, Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap pembiayaan sektor awam akibat kekangan fiskal.
"Dalam konteks ini, penting untuk ditekankan bahawa terdapat kesejajaran rapat antara pembiayaan Islam dan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab.
"Prinsip asas Islam untuk menggalakkan keadilan, kelestarian alam sekitar dan etika perniagaan juga selari dengan konsep pelaburan mampan dan merupakan aspek yang ditekankan oleh kerajaan dalam kerangka Ekonomi MADANI," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai inisiatif terkini kerajaan untuk menggembleng Kewangan Islam Hijau dalam menampung sebahagian pembiayaan bagi menjayakan agenda negara karbon neutral 2050 serta NETR.
Pada 2021, kerajaan telah menerbitkan Sukuk Global 2021 berjumlah US$1.3 bilion (US$1=RM4.76) dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelabur, termasuk US$800 juta (anggaran RM3.2 bilion) yang merupakan sukuk kelestarian berdaulat dalam denominasi dolar AS dan pertama di dunia.
Menurut Sim, berdasarkan kejayaan terbitan Sukuk Global 2021, kerajaan juga telah menerbitkan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysian (MGII) Lestari, instrumen hutang domestik Kerajaan Persekutuan berjumlah RM4.5 bilion pada 2022 dan RM5.5 bilion pada 2023.
Ini menjadikan jumlah terkumpul kertas hutang tersebut sebanyak RM10 bilion, sekali gus mencapai sasaran sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2022.
“Dalam Belanjawan 2024, Kerajaan Persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti berjumlah sehingga RM1 bilion yang melibatkan penanaman semula hutan tersorot (yang dirancang). Inisiatif ini akan diusahakan dengan kerajaan negeri,” katanya.
Menyentuh pasaran modal Malaysia, beliau pelbagai inisiatif telah dilaksanakan menerusi saluran itu bagi memanfaatkan sinergi antara pasaran modal Islam dan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).
Sebagai inisiatif yang pertama yang menggabungkan prinsip-prinsip Syariah dan SRI, Rangka Kerja Sukuk SRI membolehkan pemilik projek hijau, sosial dan lestari menerbitkan sukuk SRI sukuk bagi membiayai projek tersebut, katanya.
Bagi tempoh 2015 sehingga Disember 2022, sejumlah RM18.92 bilion sukuk SRI dikeluarkan, termasuk penerbitan sukuk hijau pertama dunia pada 2017.
Menjelaskan selanjutnya, Sim berkata Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) telah diperkenalkan pada 2010 dalam usaha kerajaan menggalakkan syarikat dan usahawan tempatan menyertai projek berasaskan teknologi hijau.
"Sehingga 2022, pembiayaan berjumlah RM7.5 billion telah disediakan bagi tujuan ini termasuk pembiayaan patuh Syariah. Menerusi Belanjawan 2023, GTFS 4.0 menawarkan pembiayaan sehingga RM1 bilion dan dibuka untuk permohonan sehingga 2025,” katanya.
Dalam pada itu, sektor kewangan telah memberi komitmen pembiayaan melebihi RM200 bilion sehingga 2025 bagi tujuan pembiayaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Setakat ini, institusi perbankan Islam telah menyalurkan hampir RM16 bilion kepada projek hijau bagi tempoh 2017 sehingga September 2021,” katanya.