PUTRAJAYA, 27 Jan – Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) yang dilancarkan hari ini, akan menjadi platform bagi menyelaras geran daripada pelbagai sumber dengan lebih baik.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penubuhan yayasan itu yang merupakan hasil kerjasama kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, turut membabitkan komitmen peruntukan sebanyak RM20 juta oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, usaha itu akan turut merapatkan jurang pembiayaan melalui sumbangan daripada sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau individu dari dalam dan luar negara yang dilaksanakan melalui kaedah lebih sistematik dan mampan serta memastikan ketelusan saluran untuk menyumbang kepada agenda matlamat pembangunan mampan (SDG).
"Pelbagai dana telah ditubuhkan dan diuruskan oleh pihak berkepentingan untuk mengatasi isu yang meliputi pembasmian kemiskinan, kebajikan hidupan liar serta pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
"Namun dana-dana tersebut seringkali berhadapan dengan isu kelangsungan termasuk kekangan kewangan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program dan projek dalam jangka panjang.
"Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan dana yang lebih selaras dan bersepadu bagi membiayai program dan projek di negara ini yang mungkin di luar cakupan peruntukan tahunan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penubuhan Yayasan MySDG yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.
Yayasan tersebut akan ditadbir oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada individu disegani dalam kalangan sektor awam, penggiat industri, ketua masyarakat sivil serta pakar dalam bidang tertentu.
Menurut Tengku Zafrul, lembaga berkenaan akan menetapkan keutamaan strategik terhadap dana itu berdasarkan tonggak SDG serta mendapatkan maklum balas dan input awam mengenai projek yang bakal dijalankan.
“Semua program dan projek di bawah dana ini juga tertakluk kepada proses pemilihan, pemantauan, pelaporan dan keperluan pengauditan yang teliti dan telus,” katanya.
Beliau berkata MySDG secara keseluruhan akan menyakinkan penderma untuk menyumbang apabila dana mereka diuruskan mengikut amalan antarabangsa terbaik dan disokong oleh tadbir urus yang baik.
"Mereka juga akan diberi jaminan bahawa sumbangan mereka akan digunakan untuk membiayai program dan projek yang selaras dengan SDG," katanya.
Malah, Tengku Zafrul berkata sejak menerajui Kementerian Kewangan (MOF) pada Mac 2020, beliau telah berusaha dalam memastikan bajet tahunan negara dijajarkan sepenuhnya dengan SDG dan setiap program dan projek disasarkan kepada sekurang-kurangnya satu SDG.
Inisiatif itu bukan hanya membolehkan analisis bajet tahunan dibuat melalui lensa SDG, tetapi dapat mengenal pasti sebarang jurang pembiayaan merentasi semua SDG dan sumber diperlukan untuk menanganinya.
"Dalam menambah baik tahap ketelusan, MOF kini melaporkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan mengikut SDG dalam dokumen bajet yang disediakan.
"Malah, Malaysia adalah salah satu daripada hanya 10 negara di dunia yang berbuat demikian," katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata MOF turut mengambil beberapa langkah tambahan bagi mencapai SDG termasuk menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat pada April tahun lalu dengan lebihan langganan sebanyak 6.4 kali dan saiz terbitan ditingkatkan dari US$1 bilion kepada US$1.3 bilion.
Permintaan tinggi itu turut memberi kadar hasil atau pulangan yang sangat kompetitif serta pengiktirafan global, kata beliau.
"Bagi tahun ini, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022, kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian sehingga RM10 bilion untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak," katanya.
Tengku Zafrul berkata kerajaan juga bekerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa untuk memperkukuh keupayaan pembiayaan negara untuk memenuhi keperluan pembangunan SDG.
"Salah satu projek yang sedang dijalankan melibatkan kerjasama antara MOF dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi mewujudkan sebuah Rangka Kerja Pembiayaan Nasional Bersepadu untuk pembangunan lestari yang merangkumi platform untuk inovasi dan pembaharuan serta kerjasama awam dan swasta," katanya.
Menurutnya, penggunaan kaedah Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) sejak 2013 telah ditingkatkan untuk menyokong penggunaan produk dan perkhidmatan yang mesra alam.
Beliau berkata, GGP itu melibatkan 26 kementerian pada 2020 dengan anggaran nilai berjumlah RM590 juta dan kerajaan akan memperluaskan inisiatif itu manakala garis panduan ditambah baik untuk meningkatkan inisiatif hijau sektor awam.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa kemajuan Malaysia berhubung pembiayaan mampan juga merupakan pemacu utama kepada agenda kelestarian.
"Salah satu inisiatif ke arah ini adalah penubuhan Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim atau JC3 yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
"Antara usaha JC3 termasuklah pengenalan Taksonomi Berasaskan Prinsip, serta pembangunan Taksonomi SRI, dan pengemas kinian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia pada 2021," katanya.
Beliau berkata kesemua garis panduan tersebut akan meningkatkan peranan institusi kewangan dan pasaran modal dalam pembiayaan ke arah kelestarian.
Usaha itu telah membantu sektor kewangan dan korporat untuk mengintegrasikan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam penilaian pelaburan mereka, kata beliau.