Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Bajet 2023

Konsultasi Bajet 2023 Memperkukuh Pemulihan Dan Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi Dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia

Konsultasi Bajet 2023 Memperkukuh Pemulihan Dan Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi Dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia

Majlis Konsultasi Bajet 2023 yang pertama telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di Kementerian Kewangan pada hari ini. Majlis ini adalah yang pertama diadakan sejak tahun 2020 disebabkan pandemik COVID-19.

Majlis Konsultasi Bajet 2023 menyediakan platform interaksi secara langsung antara Kerajaan dengan pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi Kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam proses merangka bajet negara. Majlis ini merangkumi dua sesi yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah. Majlis ini dihadiri oleh hampir 300 orang peserta dari sektor swasta, pendidikan, NGO dan CSO yang turut mencadangkan langkah-langkah yang sesuai untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023 yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober 2022.

Proses awal Konsultasi Bajet 2023 telah pun dimulakan sejak bulan Jun 2022 dengan jemputan kepada pihak berkepentingan untuk mengemukakan memorandum bajet yang menjurus kepada isu dan cadangan bagi Bajet 2023. Sebanyak 242 Memorandum dengan beberapa cadangan penyelesaian telah diterima oleh Kementerian Kewangan.

Selaras dengan tema ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’, Bajet 2023 akan dirancang dan digubal berdasarkan lima aspek utama iaitu:

 

Pertama Memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan KDNK, aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan; 
Kedua Meningkatkan daya saing negara dalam normal baharu pasca COVID-19 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan serta menggalakkan inovasi baharu untuk pertumbuhan ekonomi secara lestari;
Ketiga : Memperkukuh daya tahan ekonomi, kedudukan fiskal yang mampan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar;
Keempat : Melindungi kesejahteraan rakyat melalui program perlindungan sosial yang memberi tumpuan berterusan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, keselamatan awam dan persekitaran hidup yang lebih selesa; dan
Kelima : Menggalakkan pembangunan yang inklusif dan mampan selaras dengan sasaran yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Selaras dengan tema tersebut beberapa isu dan cadangan telah diutarakan dalam sesi Konsultasi Bajet 2023 pada hari ini yang menyentuh aspek rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan. Lebih daripada 30 cadangan telah diutarakan semasa Majlis Konsultasi Bajet 2023.

Antaranya seperti memperkukuh program untuk meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah; menyediakan peluang dan bantuan kepada golongan B40, warga emas dan OKU; meningkatkan pembangunan modal insan dan tenaga mahir; menambah baik kaedah pemberian subsidi dan perlindungan sosial; memastikan kesamarataan gender; serta menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat.

Sementara itu, daya saing komuniti perniagaan dan kemampanan industri seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri pelancongan juga perlu diperkukuh seperti menambah baik infrastruktur dan mudah cara; meningkatkan produktiviti; serta mengalakkan penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan. Terdapat juga keperluan untuk menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dari segi tadbir urus; pembendungan rasuah; dan perkhidmatan kesihatan.

Bagi mempercepatkan pencapaian Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030 pula, tumpuan dan kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar dan iklim; pengurusan bencana; serta sekuriti makanan.

Lebih daripada 30 cadangan telah diutarakan semasa Majlis Konsultasi Bajet 2023. Antara topik utama termasuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, pembangunan industri pertanian, penjagaan kesihatan awam, pelaksanaan subsidi bersasar dan meningkatkan kerjasama Sektor Awam, Swasta dan Sosial ke arah mensejahterakan Keluarga Malaysia. Selain itu, cadangan turut merangkumi meningkatkan peranan Kerajaan dan GLC untuk membangunkan vendor khususnya usahawan muda, wanita , perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta bajet yang lebih inklusif terutama melibatkan golongan rentan, wanita dan orang kelainan upaya (OKU).

Perbincangan pada hari ini merupakan titik tolak kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk memperhalusi input Bajet 2023. Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih. Di samping itu, sebagai pelengkap kepada Konsultasi Bajet pada hari ini, Kementerian Kewangan juga telah melancarkan Portal Cadangan Bajet 2023. Portal ini merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus yang mengalu-alukan penglibatan semua rakyat. Seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan dengan melayari laman web Kementerian Kewangan di pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/.

 

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat


Kementerian Kewangan
Putrajaya
23 Ogos 2022

Arkib Bajet 2023

Logo Accessibility