YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah hadir menyampaikan ucaptama di Persidangan Cukai Kebangsaan (NTC) 2024 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM).
Persidangan berlangsung selama dua hari secara bersemuka dan hibrid bertemakan Tax Reforms: Driving Growth and Empowering the Nation, menghimpunkan penyertaan lebih 2,000 peserta terdiri daripada pengamal percukaian, ahli badan profesional dan akademik seluruh negara.
Dalam ucaptama beliau, YAB Dato’ Seri Anwar berkata Malaysia mewarisi sistem percukaian yang menjana hasil yang amat kecil relatif kepada saiz ekonomi negara. Nisbah hasil cukai negara hanyalah sekitar 11% keluaran dalam negeri kasar (KDNK), sedangkan Vietnam berada pada 17% dan Singapura pada 13%.
Hasil cukai yang rendah ini mengekang Kerajaan daripada berbelanja tinggi untuk agenda pembangunan dan menjaga kemaslahatan rakyat. Apa-apa hasil yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaiknya dan tidak ditiriskan.
Dalam kekangan hasil negara, Kerajaan MADANI mengambil langkah berani untuk merombak dasar fiskal negara dan menutup ketirisan yang telah lama dibiar. Dengan ini, pinjaman bersih dapat dikurangkan daripada RM100 bilion masing-masing pada tahun-tahun 2021 dan 2022, kepada RM93 bilion pada 2023 dan RM86 bilion tahun ini.
Kerajaan juga telah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 untuk menetapkan kedudukan kewangan yang lebih baik dalam jangka sederhana.
Turut hadir YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan YBrs. Encik Soh Lian Seng, Presiden CTIM.