YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menjawab soalan daripada YB Tuan Wong Hon Wai (Bukit Bendera) di Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkenaan sama ada satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak dengan peperangan Russia-Ukraine semakin meruncing.

Berikut adalah rumusan jawapan beliau: ⠀
Sejak 2021, harga minyak mentah telah pun meningkat secara signifikan. Selaras dengan itu, Kerajaan telah menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan gas cecair (LPG) sehingga 10 kali ganda, iaitu RM200 juta (Jan 2021) kepada RM2 bilion (Jan 2022); ⠀
Dengan pergolakan Ukraine-Rusia yang sedang berlaku, Kerajaan menjangka subsidi yang ditampung akan meningkat kepada RM28 bilion bagi tahun 2022, berbanding RM11 bilion bagi 2021; ⠀
Pada masa ini, program subsidi yang dilaksanakan dinikmati semua tanpa mengira kaya atau miskin. Namun begitu, Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.