Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020

Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020

MESYUARAT DEWAN RAKYAT

UCAPAN YB MENTERI KEWANGAN BAGI BACAAN KALI KEDUA PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG KASTAM (PINDAAN) 2020


Tuan Yang Di Pertua,

Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2020 yang dicadangkan adalah bagi meminda Akta Kastam 1967 [Akta 235] dengan tujuan untuk menambahbaik, menyeragam dan mengemaskini peruntukan sedia ada dan memasukkan peruntukan baharu ke dalam akta supaya perundangan cukai lebih telus, efisien, selari dengan perubahan semasa polisi percukaian serta dapat memenuhi keperluan perniagaan dan pembayar cukai.

2. Selain itu, pindaan yang dilaksanakan ini merupakan usaha berterusan dalam memperkasa tindakan penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertujuan untuk memastikan pematuhan cukai dan mengurangkan ketirisan hasil cukai Kerajaan. Pindaan turut dilaksanakan bagi membolehkan tindakan lebih cepat dan berkesan dapat dijalankan dengan menambahbaik peruntukan tertentu berkaitan kuasa pegawai kastam untuk mengurus tahanan reman di tempat tahanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta kuasa pegawai kastam untuk menjalankan proses sitaan dan siasatan kes dengan lebih cepat.

Tuan Yang Di Pertua,

3. Saya memohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam Rang Undang-Undang ini. Rang Undang-Undang ini mempunyai 6 fasal seperti berikut:

  1. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan;
  2. Fasal 2 bertujuan meminda subseksyen 93(1) untuk memperuntukkan bahawa apabila barang-barang yang duti kastamnya telah dibayar, kemudian dieksport semula, Ketua Pengarah Kastam boleh membenarkan sembilan per sepuluh daripada duti yang dikira itu dibayar semula sebagai pulangan cukai;
  3. Fasal 3 bertujuan meminda subseksyen 99(1) untuk memperuntukkan amaun minimum tuntutan bagi pulangan cukai yang boleh dibuat bagi barang-barang import untuk tujuan pengilangan yang duti kastamnya telah dibayar apabila barang-barang itu dieksport semula, iaitu tidak kurang daripada RM200;
  4. Fasal 4 bertujuan memasukkan seksyen baharu 106C bertujuan untuk memperuntukkan kuasa tambahan kepada pegawai kastam untuk mengurus dan menjaga tahanan reman dalam tempat tahanan JKDM, sepertimana kuasa seorang pegawai polis;
  5. Fasal 5 bertujuan memasukkan subseksyen baharu 114(3A) dan (3B) bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai kastam untuk mengesil pengangkut, premis atau tempat yang mengandungi barang, dokumen atau benda yang tidak dapat dialihkan bagi tujuan sitaan. Peruntukan ini juga menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mengganggu sil dan sitaan tersebut serta boleh dikenakan hukuman ke atas kesalahan berkenaan;
  6. Fasal 6 bertujuan memasukkan seksyen baharu 116E bagi memperuntukkan kebolehterimaan keterangan ejen provokasi dan keterangan yang diberi kepada ejen provokasi untuk digunakan dalam suatu pertuduhan di bawah Akta; dan
  7. Pindaan lain yang tidak dinyatakan secara khusus adalah pindaan bersifat kecil atau consequential in nature.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility