Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Bursa Malaysia Forum – Menang Bersama: Bersama Membangun Semula Ekonomi Malaysia

Bursa Malaysia Forum – Menang Bersama: Bersama Membangun Semula Ekonomi Malaysia

UCAPTAMA OLEH

YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia

BURSA MALAYSIA FORUM
Menang Bersama: Bersama Membangun Semula Ekonomi Malaysia

Selasa, 2 Februari 2021
4:00pm – 5:00pm


SALUTASI

Y. Bhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi, Bursa Malaysia;

Y. Bhg. Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia;

Tuan-tuan dan puan-puan, tetamu yang dihormati, rakyat Malaysia yang menonton di mana sahaja anda berada;

PENDAHULUAN

1. Selamat petang saya ucapkan kepada semua. Terlebih dahulu, terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menyertai sesi ini, dan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Bursa Malaysia kerana telah mengatur acara ini.

2. Sejak perlantikan saya sebagai Menteri Kewangan, saya telah terlibat dalam pelbagai perbincangan bersama organisasi dan syarikat media, di dalam dan di luar negara. Dalam perbincangan yang memandang ke hadapan, kita berbicara mengenai maksud sebenar pembanguna semula ekonomi Malaysia— kita bukan hanya sekadar mahu membina semula, tetapi juga membina sebuah ekonomi yang lebih baik dan lebih teguh daripada sebelum ini.

3. Sepanjang pandemik COVID-19, pemimpin di seluruh dunia telah menekankan kepada rakyat masing-masing untuk mengenepikan perbezaan antara satu sama lain, memainkan peranan, dan bersatu dalam menghadapi ancaman wabak ini. Di Malaysia, kita dapat melihat peningkatan penggunaan hashtag seperti "kita jaga kita" atau "menang bersama". Pandemik ini sememangnya telah menguji fahaman ideal kita mengenai normaliti, kehidupan awam, dan kebersamaan sosial.

4. Sememangnya, pandemik COVID-19 merupakan tema global utama pada tahun 2020. Ini telah menyebabkan Kerajaan di serata dunia terpaksa mengharungi kedua-dua krisis kesihatan dan ekonomi pada masa yang sama. Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global akan menguncup sebanyak 3.5% pada tahun 2020, dengan anggaran kerugian sebanyak 22 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) dari tahun 2020 hingga 2025. Lebih membimbangkan, sekitar 90 juta orang dijangka akan memasuki kategori miskin tegar menjelang akhir tahun ini, lantas mengubah tren pertumbuhan positif yang telah dicapai sejak dua dekad lalu. Ini akan meningkatkan jurang ketidaksamaan di kebanyakan negara, dengan risiko pemulihan yang tidak sekata, atau mungkin juga pemulihan "berbentuk K".

5. Baru-baru ini, Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan bahawa penguncupan pertumbuhan ekonomi pada 2020 dianggarkan telah melupuskan sebanyak 495 juta pekerjaan, atau sekurang- kurangnya 14% daripada keseluruhan tenaga kerja dunia. Susulan itu, kerajaan serata dunia telah memperuntukkan sekitar 14 trilion dolar AS untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian – melindungi pekerjaan, perniagaan, serta sumber rezeki orang ramai. Ini telah menyebakan peningkatan hutang awam di peringkat dunia yang dijangka akan meningkat sehingga 100% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.

MEMERANGI WABAK COVID-19: PERJALANAN SETAKAT INI

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

6. Sudah genap setahun sejak negara kita dan dunia mula dilanda wabak yang tidak pernah terjadi dan tercatat di muka sejarah sebelum ini. Banyak ketidakpastian masih wujud: Bilakah wabak ini akan berakhir? Bagaimana kita dapat mempercepatkan imuniti kelompok di kalangan rakyat? Mengapakah perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini tidak seketat seperti yang dilaksanakan pada bulan Mac 2020? Dan, dari segi ekonomi, apakah hala tuju kita selepas ini?

7. Setahun lalu, impak pandemik ini sememangnya adalah di luar jangkaan kita semua. Walaupun kita dapat melihat kerlipan sinar harapan di penghujung jalan dengan ketibaan vaksin, namun masih terdapat banyak perkara yang perlu diketahui untuk menangani kesan menyeluruh wabak ini. Walaubagaimanapun, di sebalik ketidaktentuan dan ketidakpastian ini, terdapat beberapa fakta yang kita tahu:

  1. Pertama, kita boleh menjangka penguncupan ekonomi negara sebanyak 3.5% sehingga 5.5% pada tahun 2020, manakala IMF baru-baru ini telah menyemak semula penguncupan negara kita sebanyak 20 mata asas – dari 6% pada bulan Oktober 2002, kepada 5.8% pada hujung bulan Disember. Ini adalah lebih baik daripada UK (-10.0%), Filpina (-8.3%), India (-8.0%), negara-negara Eropah Bersatu, EU (-7.2%), Thailand (-7.1%) dan Singapura (-6.0%).

  2. Kedua, kita telah berjaya menghadkan kes kematian akibat wabak COVID-19 dengan nisbah 0.4%, atau di dalam kategori 5% terbawah di peringkat dunia. Institusi awam dan sistem kesihatan negara telah bekerja secara konstruktif dan cekap. Ini telah diakui oleh institusi penarafan kredit Moody’s melalui pengumuman penarafan mereka (untuk Malaysia), dan juga oleh IMF semasa Misi Artikel IV mereka yang dimuktamadkan pada Disember yang lalu.

  3. Ketiga, kedudukan kewangan Kerajaan kekal teguh, dan telah digunapakai dengan baik untuk menyokong kesan daripada wabak COVID-19. Fitch, dalam laporan mereka yang terkini, bersetuju bahawa unjuran defisit negara kita yang dijangka sebanyak 6% pada 2020, dan 5.4% untuk tahun ini adalah realistik dan boleh dicapai. Ini juga adalah lebih baik dari unjuran IMF di mana mereka menganggar bahawa negara- negara membangun akan mengalami defisit sebanyak 10.3%. Walaupun kita mengalami defisit fiskal, perbelanjaan tambahan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2020 adalah bukti bahawa Kerajaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat. Setakat ini, pakej-pakej rangsangan ekonomi ini telah memanfaatkan 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan, dengan lebih daripada 50% inisiatif telahpun disalurkan. Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatif ini termasuklah bantuan segera dan tunai seperti seperti Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, Subsidi Upah dan pelbagai langkah yang lain untuk melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan. Ini dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sehingga empat mata peratusan pada tahun 2020.

8. Keempat, keyakinan pelabur terhadap pasaran modal dan pasaran kewangan kekal melalui prestasi yang memberangsangkan walaupun berdepan dengan tahun 2020 yang amat mencabar. Pada tahun lepas:

  1. Bursa Malaysia merupakan pasaran yang merekodkan prestasi terbaik di rantau ini, dengan pulangan sebanyak 2.4%. Termasuk dividen, pelabur telah mengaut keuntungan penuh sebanyak 5.8%. Nilai dagangan purata harian juga melonjak setinggi RM4.2 bilion. Penyertaan pelabur runcit juga telah meningkat dengan banyak, iaitu daripada lebih kurang satu per empat (24.5%) pada tahun 2019, kepada lebih daripada satu per tiga (37.7%) untuk tahun 2020. Pada masa yang sama, pegangan saham oleh pelabur asing di negara kita juga kekal para paras yang menggalakkan, iaitu 21%;

  2. Tambahan lagi, prestasi nilai matawang Ringgit Malaysia juga adalah antara yang terbaik di rantau ini1, dengan peningkatan 1.7% berbanding dolar AS. Antara faktor yang telah menyumbang kepada peningkatan ini termasuklah pemulihan harga pasaran pelbagai komoditi, dan juga pelaburan bersih oleh pelabur asing sejumlah RM18.3 billion di pasaran bon negara. Pegangan oleh pelabur asing juga kekal kukuh, dengan pegangan purata sebanyak 22.8% daripada jumlah hutang Kerajaan persekutuan, berbanding 22.4% pada tahun yang lalu.

9. Kelima, institusi perbankan negara yang disokong oleh penyangga modal yang teguh, amalan peminjaman berhemah yang dipraktikkan sejak bertahun-tahun, dan dasar pengurusan risiko yang baik akan bersedia untuk membantu rakyat dan perniagaan dalam menguruskan pinjaman mereka. Pada tahun 2020, seramai 7.7 juta individu dan lebih daripada 240,000 perniagaan telah menerima manfaat dari bantuan oleh sektor perbankan, sama ada melalui penstrukturan semula pinjaman atau moratorium. Pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman terus disediakan oleh pihak perbankan. Setakat ini, lebih daripada 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan tersebut, dengan kadar kelulusan sebanyak 95% untuk peminjam individu, dan 99% untuk peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

10. Akhir sekali, dan mungkin yang lebih penting, kita dapat lihat bahawa bukan sahaja Kerajaan, tetapi golongan rakyat dan juga pihak swasta telah memastikan langkah-langkah kesihatan awam terus dipatuhi. Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara, kita telah melalui pelbagai onak duri dan cabaran. Namun, pada masa yang sama, terdapat pelbagai perkara yang kita harus syukuri. Dalam kesusahan, marilah kita maju dan menetapkan semangat perjuangan bersama sebagai obor yang akan menerangi hala tuju kita, supaya kita boleh menang dalam memerangi wabak COVID-19 ini. Contoh dapat dilihat di kalangan rakyat yang prihatin, pertubuhan masyarakat awam (CSO) dan juga badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang telah berganding bahu dalam membantu rakyat yang terkesan akibat wabak ini, sama ada melalui perbekalan alat pelindung diri, makanan dan barangan keperluan kepada golongan yang terpinggir dan terkesan semasa PKP atau bencana banjir.

11. Semangat ini juga jelas kelihatan semasa lawatan saya ke beberapa daerah di negeri Pahang pada hujung minggu yang lepas. Situasi kesukaran dan kesusahan mangsa banjir telah diringankan dengan bantuan dan tindakan individu-individu yang mulia dan NGO yang proaktif. Terima kasih atas usaha anda. Sesungguhnya, kita tidak berupaya membina semula negara dan ekonomi jika usaha itu hanya daripada Kerajaan.

12. Namun begitu, kita perlu berwaspada dengan pihak-pihak yang menangguk di air yang keruh. Semenjak kebelakangan ini, terdapat peningkatan isu yang perlu diberi perhatian dengan segera oleh pihak ramai: seperti kenaikan kes penipuan, penggodaman, berita palsu, dan juga penyebaran maklumat salah yang berniat jahat dalam memecah-belahkan semangat bekerjasama antara satu sama lain. Janganlah kita menjadi mangsa kepada percubaan ini yang berusaha untuk melemahkan, menggagalkan, atau mengalihkan perhatian kita dari usaha untuk memulihkan tanah air dan ekonomi kita.

MELINDUNGI NYAWA DAN MATA PENCARIAN: SATU IMBANGAN YANG BUKAN MUDAH

Tuan-tuan dan Puan-puan,

13. Saya sedar bahawa ini bukanlah hari-hari yang makmur bagi kita semua, namun saya percaya sepenuhnya bahawa kita akan berjaya menempuhi detik yang mencabar ini, dan mengecapi masa hadapan yang lebih baik – dengan pemulihan yang lebih cepat dan lebih mampan. Dari saat kita menyedari betapa seriusnya wabak ini, Kerajaan juga sedar bahawa tiada jalan penyelesaian tunggal untuk memenangi peperangan COVID-19 ini. Oleh itu, hari ini saya ingin menjelaskan kedudukan negara dalam pandemik ini, dan apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan, dan apa yang bakal dilaksanakan untuk melindungi rakyat dan menghadkan kesan sosio-ekonomi yang buruk terhadap orang ramai.

14. Kita semua telah melalui Perintah Kawalan Pergerakan yang penuh, atau PKP 1.0 pada Mac 2020, antara yang paling ketat mengikut kajian global. Kita tahu ia telah memberi implikasi kewangan sebanyak RM2.4 bilion setiap hari, selain tekanan mental dan emosi kepada jutaan rakyat akibat terkurung di rumah bagi jangka masa yang lama. Kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak turut menunjukkan peningkatan semasa tempoh PKP tersebut. Ia juga telah menyebabkan pengangguran meningkat sehingga 5.3% pada bulan Mei. Oleh sebab itu, KDNK suku kedua tahun 2020 menguncup sebanyak 17.2%, yang terburuk di antara negara ASEAN.

15. Bagi Kerajaan, menentukan definisi sebenar PKP yang perlu dilaksanakan bukanlah perkara yang mudah. Kini, terdapat pelbagai perbahasan mengenai sama ada wajar bagi negara untuk kembali kepada PKP menyeluruh. Mereka yang menyokong usul mengetatkan kawal pergerakan merasakan ia penting untuk memutuskan rantaian jangkitan dan menyelamatkan nyawa. Manakala mereka yang membantah pula berpendapat bahawa impak ekonomi akan menjadi lebih teruk susulan sekatan yang lebih tegas, jauh melebihi manfaat yang mungkin dicapai oleh pengekangan penularan virus tersebut.

16. Mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan sumber mata pencarian rakyat adalah satu perkara yang mencabar. Ia melibatkan pelbagai faktor, termasuklah pertimbangan dan penelitian yang lebih terperinci, dan kajian semula secara berterusan berdasarkan perkembangan situasi semasa. Kita juga perlu sedar bahawa terdapat kemudaratan yang sukar dijangka. Ekonomi negara tidak beroperasi seperti petikan suis. Ia tidak boleh “ditutup” dan “dibuka” mengikut kehendak kita. Kehidupan dan mata pencarian bergantung kepada kelangsungan operasi ekonomi. Oleh itu, kita perlu melihat isu ini secara jelas dan jujur: apakah impak sebenar kerugian sekiranya kita melaksanakan PKP dengan lebih ketat pada masa kini?

17. Tidak dapat dielakkan bahawa penggubal polisi dan penyelia pasaran akan melihat implikasi terhadap ekonomi susulan pelaksanaan PKP dari sudut makro. Namun, di sebalik nombor- nombor tersebut, adalah rakyat jelata yang menghadapi kesukaran mengharungi PKP yang ketat. Ini adalah kenyataan bagi syarikat kecil dan mikro: pengusaha restoran, pengendali warung, tukang jahit, tukang gunting rambut, penjual buah, pengendali kedai dobi dan pelbagai lagi – iaitu golongan yang bergantung kepada pendapatan harian berdasarkan permintaan khidmat dan barangan mereka. Ini secara dasarnya adalah realiti kelangsungan hidup – keupayaan untuk menyediakan sesuap nasi untuk keluarga mereka setiap hari. Bagi golongan ini, pendekatan yang seimbang hanyalah satu teori yang tidak memberi makna mendalam kepada kelangsungan kehidupan harian mereka.

18. Siapakah yang berhak menyatakan bahawa sesuatu pekerjaan adalah lebih penting daripada yang lain? Ekonomi negara merangkumi rantaian bekalan yang rumit – sesebuah perniagaan bergantung antara satu sama lain, dan berkait dengan perusahaan yang lain secara langsung dan tidak langsung. Bagi Kerajaan, membina semula dengan lebih baik bermakna rombakan polisi yang menganggap setiap rakyat Malaysia dan keluarga perlu diutamakan pada SETIAP masa, bukan sahaja di saat krisis melanda. SEMUA jenis pekerjaan adalah penting kerana ia membantu rakyat bukan sahaja untuk mencari rezeki dan tempat berteduh, tetapi yang paling penting, memberi tujuan hidup dan kehidupan yang bermaruah untuk kita semua. Tanpa punca rezeki, individu dan keluarga mereka bukan sahaja boleh terjerumus ke dalam kancah masalah kewangan, malah kepada kemurungan sosial.

19. Selain itu, terdapat banyak perbincangan berkaitan Pelaburan Langsung Asing atau FDI sejak kebelakangan ini. Antara faktor utama bagi menentukan destinasi pelaburan adalah dasar dan polisi yang konsisten. Tanpa garis panduan yang jelas, keputusan untuk membuka or menutup kilang dan tempat kerja hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur.
20. Apa yang ingin saya gambarkan adalah pertimbangan dasar dalam menangani krisis melangkaui pandangan kesihatan awam semata- mata. Ada yang berpandangan bahawa PKP yang lebih ketat akan menyelamatkan lebih banyak nyawa. Bagi sesiapa yang bimbang akan kehilangan orang yang tersayang akibat COVID-19, ini mungkin satu-satunya kenyataan yang paling penting. Namun, sebagai sebuah masyarakat, adalah penting bagi kita untuk jelas mengenai apa sebenarnya hasil dan jalan penyelesaian alternatif yang ada.

21. Bagi saya, pengajaran yang terbesar dari PKP 1.0 adalah kesedaran bahawa PKP ketat yang menyeluruh dan kelangsungan ekonomi tidak boleh dipertimbangkan secara berasingan. Sebagai contoh, sektor PKS membentuk tunjang ekonomi negara, menggaji lebih daripada 7 juta rakyat Malaysia, dan menyumbang hampir 40% kepada KDNK. Lebih daripada 70% PKS telah mencatatkan kerugian pada tahun 2020. Sudah tentu, PKP yang menyeluruh dan ketat akan memberi kesan yang negatif kepada sektor PKS, merangkumi lebih daripada 900,000 perniagaan di seluruh negara. Dalam jumlah ini termasuklah pengusaha perniagaan kecil serta mikro di mana mata pencarian akan terjejas walaupun ditutup sehari, apatah lagi penutupan selama 14 hari?

MENAMBAHBAIK BERDASARKAN KEBERKESANAN, DAN MEMASTIKAN PELAN SENTIASA DINAMIK

Kepada rakyat Malaysia,

22. Pandemik ini adalah sabuah cabaran yang kompleks, yang memerlukan gabungan penyelesaian menyeluruh bagi memastikan kesihatan awam dan ekonomi terus terbela. Sehubungan itu Kerajaan telah bekerja keras dengan pelbagai pihak untuk memastikan kedua-dua aspek dipertimbangkan, melalui pelbagai penyelesaian bersama. Ini termasuk:

  1. Pertama, memperkenalkan PKP 2.0 yang merupakan variasi PKP 1.0 yang jauh lebih baik. Situasi kita hari ini ternyata lebih baik kerana kita telah menimba lebih banyak pengalaman dan pengetahuan berbanding pada bulan Mac 2020. Dari segi kadar jangkitan atau penularan, kita mempunyai R-naught, yang dipantau secara rapi oleh Kementerian Kesihatan. Selain itu, para saintis dan pakar data kini menggunakan model data yang berbeza untuk meraih maklumat yang lebih baik untuk kita membuat keputusan yang lebih tepat. Dengan data semasa dan analisis oleh Jabatan Perangkaan, Bank Negara dan agensi seperti LAKSANA, kita juga lebih memahami kesan langkah ekonomi yang dilaksanakan terhadap rakyat. Hari ini, di bawah MCO 2.0, lima sektor penting termasuk perniagaan bekerja sendiri dan perniagaan kecil dibenarkan beroperasi, justeru menghadkan kerugian harian kepada RM700 juta.

    Ingin saya nyatakan juga bahawa jumlah kes COVID yang dilaporkan meningkat adalah kerana lebih banyak ujian dijalankan dengan tumpuan kepada pekerja asing di tapak pembinaan dan kilang. Sama seperti langkah-langkah Kerajaan yang bersasar, ujian pengesanan juga telah dilaksanakan dengan lebih bersasar, berdasarkan lebih pemahaman mengenai virus ini dan bagaimana ia merebak. Oleh itu, kita juga mesti melihat jumlah jangkitan harian yang dilaporkan dalam perspektif sebenar. Tetapi, sudah tentunya kita mahu lebih banyak ujian dijalankan untuk memastikan tiada kluster atau kelompok yang mungkin tidak diketahui.

  2. Kedua, memperkasa sistem kesihatan awan dengan:

    1. perolehan vaksin;
    2. mewujudkan pelan imunisasi kebangssan yang terperinci;
    3. menambah lebih banyak staf sokongan; dan
    4. memastikan hospital swasta merawat kes bukan COVID.

      Di bawah Belanjawan 2021, kita memperuntukkan RM1 bilion tetapi di bawah pakej PERMAI baru-baru, peruntukan bagi memerangi COVID-19 ditambah sebanyak RM3.25 bilion atau 325%. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menggajikan lebih 3,500 kakitangan perubatan baru untuk mengurangkan beban barisan hadapan. Ditambah dengan MCO 2.0 kali ini, usaha bersama ini bertujuan untuk meratakan lekuk jangkitan, dan mengurangkan penularan dalam komuniti bagi membendung wabak. Dengan pelan vaksinasi yang mengikut jadual, kita akan segera melintasi jurang di antara ancaman kehidupan, ke arah harapan menggunung untuk hari-hari yang lebih baik di masa hadapan. Sains telah membasmi penyakit seperti polio dan cacar melalui vaksinasi. Seluruh dunia berharap agar pandemik ini akan turut berakhir sebegitu. InsyaAllah, apabila lebih daripada 80% atau 27 juta penduduk kita divaksinasi sepanjang tahun yang akan datang, kita berharap kita akan dapat melupakan mimpi buruk COVID-19 ini. Ini juga tentunya akan mendorong pemulihan ekonomi kita.

  3. Ketiga, memastikan bahawa tidak ada kesan ekonomi yang kekal dengan

    1. membantu industri yang disasarkan untuk mengekalkan kapasiti mereka, misalnya melalui Program Subsidi Upah, insentif pengambilan pekerja dan
    2. membantu meringankan masalah aliran tunai industri melalui moratorium pinjaman, pembiayaan rantaian bekalan; pengurangan cukai berganda ke atas kos ujian COVID pekerja; pengecualian sewa, antara lainnya; dan
    3. memberikan pinjaman mudah untuk membantu modal kerja perniagaan melalui RM11.58 bilion yang telah disalurkan dan telah membantu lebih daripada 24,500 PKS melalui dana seperti Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF).

  4. Keempat, memudahcara bantuan bagi individu dan perniagaan yang merangkumi:

    1. Penciptaan pekerjaan secara holistik melalui Majlis Pekerjaan Nasional: Kerajaan sangat serius dalam membantu mewujudkan 500,000 pekerjaan tahun ini. Inisiatif JanaKerja bernilai RM3.7 bilion akan merangkumi insentif pengambilan pekerja, serta peluang pekerjaan di sektor awam dan GLC. Sebelum ini, salah satu langkah jangka pendek adalah memberi peluang kepada pekerja dari industri yang terkesan untuk beralih ke industri lain melalui Re-Skilling dan Upskilling. Bagi jangka masa sederhana, TVET akan diperkasakan supaya individu terutama belia dapat dilatih atau dilatih semula dalam masa 3 hingga 6 bulan, dan terus mampu menjana pendapatan. COVID atau tidak, kita masih memerlukan tukang paip, tukang gunting rambut, pendandan rambut, juruelektrik, pembaiki kereta dan motor, dan tukang kebun.
    2. Memanfaatkan teknologi bagi membantu PKS sedia ada dan baru dan PKS mikro ke arah digitalisasi: seperti melalui Kempen E-Dagang PKS dan PKS Mikro, dan seterusnya mewujudkan permintaan melalui program seperti Shop Malaysia Online.
    3. Mengurangkanmasalahalirantunaiperniagaandan individu: melalui moratorium pinjaman, Geran Khas PRIHATIN, dan yang terbaru, moratorium tersasar, serta langkah-langkah khusus untuk mereka daripada industri paling terjejas seperti pelancongan.

  5. Kelima, memastikan jaringan keselamatan sosial bagi golongan rentan dan sektor ekonomi tidak formal melalui bantuan langsung yang dipercepatkan, bantuan serta program insurans pengangguran yang ditambahbaik.

  6. Dan akhir sekali, memantau inisiatif-inisiatif ini dengan penggunaan data sebaik mungkin. Di Kementerian Kewangan, LAKSANA memantau pelaksanaan langkah- langkah ini untuk memastikan keberkesanan, dan ia akan disesuaikan, ditambahbaik dan diintervensi, berdasarkan keperluan. Data HARUS menjadi salah satu teras dalam penggubalan dasar Kerajaan. Sebagai contoh, melalui penggunaan data, kita telah mengatasi pelbagai masalah- masalah dan cabaran dalam melaksanakan Program Subsidi Upah, dan setakat ini telah menyalurkan lebih dari RM13 bilion untuk memberi manfaat kepada lebih daripada 160,000 majikan dan 2.6 juta pekerja.

MEMBINA MALAYSIA YANG BERDAYA TAHAN: LANGKAH JANGKA PANJANG

Tuan-tuan dan Puan-puan,

23. Apa yang saya telah gariskan adalah solusi strategik jangka pendek dan sederhana yang Kerajaan telah laksanakan melalui empat pakej rangsangan ekonomi komprehensif bernilai RM305 bilion, atau kira-kira 20% KDNK. Pakej ransangan ekonomi ini dijangkakan akan menyumbang sehingga empat mata peratusan kepada KDNK negara, dan mengekalkan kita pada landasan pemulihan, dengan unjuran pengembangan sebanyak 6.5% sehingga 7.5% pada tahun 2021.

24. Pada tahun ini, kita telah meluluskan belajawan negara terbesar bernilai RM322.5 bilion. Kini, bagi mengurangkan jurang di antara usaha memberi bantuan segera bagi mereka yang terjejas dengan banjir dan PKP, dan pelaksanaan Belanjawan 2021 secara pantas, kita telah mengumumkan Pakej Bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion.

25. Namun kita juga sedar terdapat isu-isu struktur yang tidak mampu diselesaikan semalaman, yang memerlukan penelitian, pertimbangan dan perancangan jangka panjang. Inilah keutamaan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022. Ini termasuk:

  1. Merubah dasar modal insan, bagi memastikan bakat kita bersedia untuk masa depan, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Kita perlu membina tenaga kerja masa hadapan, yang sentiasa bersedia untuk cabaran era digital, dan dalam bidang seperti teknologi pertanian (agritech), pendidikan (edutech), mobility and kecerdasan buatan (AI). Isu berkaitan pula adalah isu menggalakkan pekerja tempatan bekerja dalam bidang 3D (Dirty, Dangerous and Difficult) yang selama ini didominasi pekerja asing. Namun, jika graduan tempatan sanggup bekerja sebagai pelayan di restoran di negara jiran kerana gaji yang lebih tinggi, ini mencerminkan isu guna tenaga tidak penuh yang serius, yang kemungkinan disebabkan gaji graduan yang rendah, yang boleh diakibatkan oleh peningkatan gaji yang tidak setimpal dengan produktiviti dan peningkatan kemahiran. Ini juga mungkin disebabkan oleh ketidakserasian industri dan sistem pendidikan. Penyelesaian secara holistik bagi isu ini memerlukan perancangan jangka panjang dan kerjasama antara pelbagai Kementerian dan pihak swasta;

  2. Seterusnya, peralihan ke arah negara berpendapatan tinggi, atau perubahan pemikiran dan struktur sesebuah industri memerlukan pembangunan kapasiti yang akan mengambil masa bertahun-tahun. Contoh jelas adalah industri panel solar, yang mana harga panel tersebut adalah sangat mahal bertahun- tahun dahulu. Dengan polisi Kerajaan yang menggalakkan industri ini, kini panel solar mampu dipasang oleh perniagaan dan rumah-rumah untuk menjana elektrik, selain menjual lebihan tenaga ke grid kebangsaan. Ini melibatkan penggubalan dasar bukan sekadar di peringkat nasional, malah sepanjang rantaian bekalan sektor tenaga yang memerlukan lebih dari 1 - 2 tahun. Sektor pertanian kita pula contohnya: bagaimanakah kita boleh meningkatkan keupayaan sektor pertanian kita untuk lebih cekap kos dan mapan, justeru menyumbang kepada keselamatan bekalan makanan, dan mengurangkan pergantungan kepada makanan import? Langkah-langkah ini, berserta kekayaan sumber asli kita, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara penyumbang makanan kepada dunia;

  3. Seterusnya, melihat semula ekonomi negara secara holistik melalui lensa ESG (Environmental Social & Governance) bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama dapat dicapai. Belanjawan 2021 adalah tahun pertama kita memetakan Belanjawan kepada sasaran SDG Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 - 2025) akan menyediakan rangka tindakan yang lebih holistik – ke arah pembangunan mapan, peningkatan inklusiviti sosio-ekonomi, serta alam sekitar yang lebih lestari. COVID-19 dan banjir yang melanda negara telah menumpukan perhatian kepada keperluan untuk mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan bagi jangka masa panjang, yang memerlukan pelaburan dalam infrastruktur dan medium pertumbunan yang mapan dan terkini. Bagi tujuan ini, Kemeterian Kewangan juga telah mula melihat kembali peranan dan mandat GLIC dan GLC. Satu contoh yang jelas ialah bagaimana kita mengaktifkan GLC Disaster Relief Network dalam masa yang singkat dan menyalurkan bantuan dan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan semasa PKP 1.0. Mungkin GLC juga memerlukan KPI yang berlandaskan SDG, selain KPI yang bersifat kuantitatif. Selain itu, bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama dijiwai oleh seluruh ekonomi kita, termasuk pihak swasta, kita perlu melaksanakan polisi padanan, pertamanya atas isu sosio-ekonomi (seperti meningkatkan kualiti sistem pendidikan vokasional DAN akademik); yang perlu dipadankan dengan polisi berkaitan industri atau sektor yang digalakkan; yang perlu pula dipadankan dengan polisi mempelbagaikan ekonomi.

  4. Seterusnya, mengukuhkan hasil pendapatan negara melalui strategi yang sejajar, bermula dengan mengawalselia ekonomi bayangan, yang dianggarkan adalah 18% daripada KDNK, atau sekitar RM300 bilion pada 2019. Mengawalselia ekonomi bayangan juga boleh memastikan pekerja sektor tidak formal dilindungi. Tambahan pula, Kerajaan juga sedang melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana yang antara lainnya akan mempelbagaikan ekonomi, menambahbaik kerangka percukaian untuk mengekang ketirisan, dan mengurangkan kebergantungan kepada komoditi. Sebagai contoh, eksport bulan Disember bagi produk elektrik dan elektronik adalah bernilai RM5.6 bilion; manakala produk getah menyumbang RM3 bilion, dan minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, RM2.6 bilion. Pastinya bagi getah dan minyak sawit, terdapat cara untuk menggalakkan peningkatan nilai tambah di sektor hiliran bagi meningkatkan hasil negara. Usaha sebegini boleh dimajukan, terutama dari sudut pandang ESG, namun memerlukan masa.

  5. Seterusnya dalam senarai solusi jangka panjang adalah membangunkan ekosistem lestari untuk keusahawanan dan inovasi: memastikan idea boleh dipupuk dari peringkat benih, permulaan (start-up), sehingga ke peringkat pembangunan dan seterusnya. Kita mempunyai pelbagai inisiatif seperti Cradle Fund dan pelbagai lagi. Yang terbaru adalah Penjana Kapital, yang bukan sahaja bertujuan memperkasakan syarikat permulaan tempatan dan memastikan pelabur ekuiti persendirian melonjakkan syarikat tersebut, malah bagi memastikan pelabur asing komited dan mengikuti pelan terperinci untuk membolehkan knowledge transfer dalam membina bakat tempatan dalam profesion berkemahiran tinggi. Budaya start up yang betul membolehkan bakat dikekalkan dalam negara, gaji yang lebih tinggi untuk pekerja tempatan dan meningkatkan lagi tahap inovasi.

26. Senarai ini semestinya tidak lengkap. Saya boleh berikan lebih banyak contoh, tetapi cukuplah untuk saya nyatakan bahawa dari kacamata Kementerian Kewangan, dan saya sendiri sebagai Menteri Kewangan, pasukan kami sedang melihat dan meneliti semua idea ini dan banyak lagi, secara holistik. Kami telahpun mula menjana idea-idea baru untuk Belanjawan 2022, seiring dengan pelaksanaan langkah-langkah Belanjawan 2021. Semua usaha ini harus seiringan bagi memastikan langkah yang akan datang bukan sahaja strategik, malah tertumpu, tepat dan berdasarkan keberhasilan.

MENARIK PELABURAN ASING: USAHA YANG BERTERUSAN

Rakyat Malaysia sekalian,

27. Akhirnya, keberkesanan inisiatif yang diumumkan juga dilihat dari
segi penjanaan pertumbuhan yang diinginkan. Bagi tahun ini sahaja, ada yang menganggap unjuran KDNK sebanyak 6.5% – 7.5% sebagai optimistik. Kepada yang skeptik, sila bandingkan dengan unjuran IMF dan Bank Dunia, atau World Bank. Dengan usaha yang dilaksanakan, unjuran pertumbuhan negara adalah sejajar dengan unjuran agensi seperti IMF dan World Bank iaitu masing-masing 7% dan 6.7%.

28. Malahan, unjuran IMF iaitu pertumbuhan 7% bagi Malaysia pada 2021 adalah lebih tinggi daripada keseluruhan ASEAN-5 (5.2%), dan hanya lebih rendah berbanding Cina, sebanyak 8.1% dan India, sebanyak 11.5%. Berdasarkan laporan terkini pada Januari 2021, IMF menjangkakan bahawa Malaysia akan merekodkan pertumbuhan KDNK ketiga tertinggi di dunia pada 2021.

29. Unjuran pertumbuhan yang menggalakkan ini juga adalah berlandaskan pertumbuhan yang disokong oleh ekonomi yang kompetitif dan eksport yang pelbagai. Sebagai contoh, pada Disember 2020, kita merekodkan eksport tertinggi sebanyak lebih dari RM95 bilion. Ini adalah 10% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, dan melebihi jangkaan penganalisa yang menjangkakan kenaikan sebanyak 6.6%, mengikut tinjauan Reuters. Ia juga meningkat 4.3% berbanding pertumbuhan yang direkodkan pada November 2020.

30. Dari segi pelaburan langsung asing (FDI), Kerajaan akur persekitaran semasa yang dihadapi amat kompetitif. Susulan penempatan kembali (reshoring) dan penempatan semula (relocation) syarikat multinasional (MNC) akibat pandemik COVID- 19 yang telah menjejaskan rantaian bekalan dunia, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif cukai dan pelaburan di bawah PENJANA dan Belanjawan 2021. Ini termasuklah langkah untuk memastikan kemudahan pelabur yang lancar seperti penubuhan PACU (Project Acceleration and Coordination Unit) dan pelbagai platform dalam talian seperti i-Incentive. Di samping itu, Kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah baik insentif cukai dan pelaburan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan pilihan.

31. Hasil daripada semua langkah ini, keyakinan pelabur terhadap Malaysia kekal kukuh. Sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2020, pelaburan sejumlah RM110 bilion telah diluluskan, di mana 40% merupakan FDI. Ini telah melibatkan lebih dari 2,900 projek, dan mewujudkan hampir 65,000 pekerjaan. Dari jumlah tersebut, MNC yang berteraskan teknologi tinggi dan canggih seperti Smith and Nephew, Dexcom, Bosch, dan Western Digital telah menubuhkan perniagaan baru, atau menambah pelaburan sedia ada.

32. Selain itu, MIDA juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan berprofil tinggi dengan nilai pelaburan keseluruhan hampir RM82 bilion. Pelaburan ini merangkumi sektor seperti Elektrik & Elektronik; Jentera & Logam; Sains Kehidupan & Teknologi Perubatan; Bahan Canggih & Kimia; Teknologi Pengangkutan; dan juga Teknologi Makanan & Industri Berasaskan Sumber Alam. Projek-projek ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini. Tambahan lagi, sejumlah RM48 bilion dalam betuk pelaburan yang berpotensi tinggi sedang melalui proses penilaian, dan dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022.

33. Kerajaan akan terus mempertahankan daya saing negara sebagai destinasi pilihan pelaburan, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, dan juga memperkukuh kerangka institusi dan pentadbiran. Ini termasuklah perangkaan strategi pelaburan nasional untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang dapat meningkatkan produktiviti negara, mewujudkan peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi, menggalakkan pemindahan teknologi, serta memupuk hubungan domestik yang akan memanfaatkan syarikat tempatan kita.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan, rakyat Malaysia yang dikasihi,

34. Sebelum saya berundur, izinkan saya untuk menekankan dua perkara yang penting:

  1. Pertama, saya berjanji bahawa Kerajaan akan sentiasa berusaha sedaya upaya bagi melindungi kehidupan anda dan juga keluarga yang tersayang. Sebelum pelancaran Program Imunisasi Kebangssan, Kerajaan sedang mendapatkan bekalan vaksin yang diperlukan sambil memperkukuhkan sistem kesihatan negara. Sebagai Menteri Kewangan, fokus saya adalah bagi memastikan ruang fiskal yang mencukupi dan perbelanjaan berdisiplin untuk melaksanakan kesemua ini. Saya menyeru supaya rakyat sentiasa percaya dan berpegang kepada semangat bersama dan kolektif kita yang teguh dalam mengatasi wabak ini, sama ada dari segi barisan hadapan yang sentiasa mencurahkan segala kudrat mereka bagi memastikan anda semua selamat; atau usaha-usaha ikhlas daripada pihak korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pertubuhan masyarakat awam (CSO) yang melengkapkan usaha Kerajaan. Sehubungan itu, saya ingin menyarankan agar kita tidak terpengaruh dengan berpolitik keterlaluan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap satu sama lain. Sekiranya anda tidak dapat menyumbang kepada perkara yang baik dan positif, sekurang-kurangnya elakkanlah daripada menyebarkan perkara yang negatif. Saya menyeru supaya kita bekerjasama dan menumpukan segala tenaga dan kudrat kepada perkara yang positif; terutamanya perkara yang mampu kita ubah, kawal dan pengaruhi.

  2. Kedua, yakinlah bahawa Kerajaan mendengar dan mengambil tahu isu kelangsungan hidup yang dihadapi oleh rakyat dan golongan perniagaan. Kerajaan telah dan akan sentiasa memainkan peranan dalam melindungi kehidupan dan mata pencarian rakyat. Saya ingin mengingatkan supaya rakyat, pihak swasta dan NGO perlu terus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing, sekurang-kurangnya melalui ketegasan dalam mematuhi SOP. Kerajaan tidak boleh menyelesaikan masalah ini secara bersendirian. Saya ingin menyeru kepada golongan perniagaan dalam memainkan peranan mereka untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19, dan menyokong mata pencarian rakyat berdasarkan kemampuan mereka, sama ada bantuan melalui tanggungjawab sosial, pemerkasaan pembekal dan penjual melalui proses perolehan, atau memastikan pembahagian pendapatan dan keuntungan yang lebih saksama. Marilah kita terus mencari jalan penyelesaian untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain; agar perkara ini juga menjadi ciri khas pencapaian korporat kita. Teguh Kita, Menang Bersama!

35. Sebagai penutup, izinkan saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bursa Malaysia atas usaha mereka dalam menganjurkan forum ini. Saya menyeru supaya rakyat terus mematuhi SOP, menjaga diri anda dan orang yang disayangi, serta senantiasa berhati-hati.

Sekian, terima kasih.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility