Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Dialog Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022

 Dialog Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022

DIALOG BACAAN KEDUA DAN KETIGA RANG UNDANG-UNDANG DI DEWAN NEGARA

RUU KASTAM (PINDAAN) 2022

DIALOG BACAAN KALI KEDUA RANG UNDANG-UNDANG KASTAM (PINDAAN) 2022


 

Setiausaha: Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022
Bacaan Kali Yang Kedua.
YB Timbalan Menteri : (YB Timbalan Menteri bangun)
  Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan suatu Akta untuk meminda Akta Kastam 1967 dibacakan kali kedua sekarang.

 

(YB Timbalan Menteri membaca teks ucapan di bawah) 

 

Tuan Yang di-Pertua,

Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 yang dicadangkan ini adalah bagi meminda Akta Kastam 1967 [Akta 235] dengan tujuan menambahbaik perundangan percukaian negara, selari dengan perubahan semasa perniagaan. Pindaan utama Akta 235 ini adalah berbangkit susulan pandemik Covid-19 di mana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah mengehadkan aktiviti dan operasi perniagaan, yang menyebabkan pembayar cukai tidak dapat melaksanakan obligasi di bawah akta. Oleh itu, peruntukan baharu dimasukkan ke dalam Akta 235 bagi membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam Rang UndangUndang ini yang mengandungi 16 fasal seperti berikut:

      1. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan kuasa Menteri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan;

      2. Fasal 2 bertujuan meminda seksyen tertentu dalam Akta 235 seperti seksyen 57, 59, 83, 86 dan 94 bagi menggantikan perkataan “in the prescribed form” dengan perkataan “in the form and manner as determined by the Director General”. Ini merupakan pindaan am bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kastam untuk menentukan bentuk dan cara akuan dibuat berhubung perkara tertentu seperti tuntutan pulang balik wang terlebih bayar, pelepasan barang di pelabuhan, akuan manifes kargo vesel dan pesawat udara, dan kaedah pemakluman tuntutan barang sitaan;

      3. Fasal 3 bertujuan meminda subseksyen 3(3) sebagai pindaan berbangkit daripada pemotongan seksyen 145 Akta 235;

      4. Fasal 4 bertujuan meminda subseksyen 10A(1) bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kastam untuk menentukan bentuk dan cara permohonan bagi mendapatkan ketetapan kastam;

      5. Fasal 5 bertujuan memotong seksyen 19(2) berhubung bentuk dan cara yang ditetapkan bagi pengiraan duti kastam yang kena dibayar melalui borang. Ini memandangkan kaedah penilaian dan penentuan nilai duti kastam telah diperuntukkan di bawah seksyen 142(35B);

      6. Fasal 6 bertujuan meminda seksyen 65A dengan memotong subseksyen 65(A)4 bagi memperbetul kesalahan bersifat editorial iaitu dengan memotong perkataan “subject to subsection (4)”;

      7. Fasal 7 bertujuan meminda seksyen 78(1) bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kastam untuk menentukan bentuk dan cara akuan bagi barang berduti yang diimport;

      8. Fasal 8 bertujuan meminda seksyen 78B bagi memperjelaskan bahawa pengimport barang berduti hendaklah membayar duti kastam dan caj-caj lain dalam tempoh 14 hari dari tarikh ketibaan barang itu;

      9. Fasal 9 hingga 12 bertujuan meminda seksyen 80(1)(a), 82, 85 dan 99(1)(d) bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menentukan bentuk dan cara akuan bagi barang yang dieksport, barang tidak berduti yang diimport dan dieskport menggunakan pengangkutan rel, serta permohonan tuntutan pulang balik duti kastam yang telah dibayar ke atas barang yang diimport dan kemudian dieksport semula;

      10. Fasal 13 dan 14 bertujuan memotong subseksyen 142(12) dan 142(35E) serta seksyen 145 memandangkan Ketua Pengarah, melalui Akta yang dicadangkan ini, diberi kuasa untuk menentukan bentuk dan cara akuan bagi perkara berkenaan;

      11. Fasal 15 bertujuan memasukkan seksyen baharu 145C dan 145D ke dalam Akta 235.

        Seksyen 145C memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk melanjutkan apa-apa tempoh sebelum tamat tempoh yang ditetapkan di bawah Akta 235 atau perundangan subsidiarinya, jika tempoh tersebut tidak dapat dipenuhi oleh mana-mana orang disebabkan berlakunya kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik Covid-19.

        Manakala seksyen 145D memberi kuasa kepada Menteri untuk menambah, memotong atau mengubah apa-apa terma dan syarat yang dikenakan menurut Akta 235, dengan syarat bahawa suatu 5 notis makluman diberikan terlebih dahulu kepada orang yang terikat dengan terma dan syarat tersebut;

      12. Fasal 16 bertujuan meminda seksyen 157 bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah menentukan bentuk dan cara akuan bagi barang yang diangkut menggunakan semua jenis pengangkutan dan tidak terhad kepada vesel atau pesawat udara sahaja dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam; dan

      13. Pindaan lain yang tidak dinyatakan secara khusus adalah pindaan bersifat kecil atau consequential in nature.

Secara keseluruhannya, pindaan kepada Akta 235 ini adalah bersifat positif yang akan memberi manfaat kepada pembayar cukai dalam menyempurnakan obligasi di bawah Akta 235 dan perundangan subsidiarinya. Dengan pindaan prescribed form kepada bentuk dan cara yang boleh ditentukan oleh Ketua Pengarah, pelbagai jenis borang kastam yang digunakan pada masa ini tidak lagi perlu ditetapkan di bawah peraturan, sebaliknya boleh diterbitkan dalam bentuk ketetapan umum yang disiarkan melalui Portal Rasmi Jabatan Kastam. Secara tidak langsung, ia akan memudahkan pihak industri untuk membuat rujukan secara berpusat dan sekiranya terdapat apa-apa perubahan kepada butiran dalam borang tersebut selari dengan peredaran semasa, pengemaskinian borang juga lebih mudah dan cepat untuk dilaksanakan.

Di samping itu, peruntukan kuasa kepada Menteri untuk melanjutkan tempoh serta mengubah terma dan syarat yang ditetapkan juga bukan memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk sewenang-wenangnya memberi lanjutan tempoh atau mengubah terma dan syarat tersebut, sebaliknya lanjutan tempoh hanya dilaksanakan berdasarkan keperluan pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik Covid-19, manakala perubahan terma dan syarat hanya dilaksanakan selepas konsultasi dengan pihak industri dan berdasarkan perakuan serta semakan terperinci oleh Jabatan Kastam.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

 

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility