Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Hari Korporat Tahunan Maya CGS–CIMB 2021 Ke–13

Hari Korporat Tahunan Maya CGS–CIMB 2021 Ke–13

YBhg Dato’ Abdul Rahman Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group

Puan Ruzi Rani Ajith,
CEO, CGS-CIMBB


PENGENALAN

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

1. Terima kasih diucapkan kepada CGS-CIMB kerana menjemput saya untuk memberikan ucapan perasmian di CGS-CIMB Malaysia Virtual Corporate Day 2021 yang ketiga belas ini.

2. Saban tahun, CGS-CIMB Corporate Day telah menjadi sebuah acara tahunan yag dinanti-nantikan oleh para pelabur dan ahli-ahli korporat, di mana kita berbincang dan berkongsi tentang peluangpeluang pertumbuhan di dalam keadaan pasaran yang semakin mencabar.

3. Saya pasti edisi tahun ini adalah sebuah landasan yang sesuai untuk membincangkan hala tuju industri, khususnya di dalam perkaraperkara yang mampu mentakrifkan semula masa depan pasaran modal Malaysia serta landskap perniagaan, selepas tahun 2020 yang penuh pancaroba dan dengan ketidaktentuan COVID-19 yang masih berlanjutan.

4. Ini termasuk structural reform, contohnya bagaimana pendigitalan akan menjadi sebuah trend jangka panjang dalam menjana pertumbuhan dan ketahanan ekonomi, serta bagaimana hendak menitikberatkan kelestarian dan mempromosikan ekonomi kitaran (circular economy). Ini semua merupakan antara batu asas pertumbuhan ekonomi di dalam norma baharu, dalam kita terus belajar dan menyesuaikan diri dengan pandemik COVID-19.

PEMULIHAN BERTEMPAT DI ATAS ASAS YANG KUKUH

Saudara dan saudari,

5. Tahun 2020 mempunyai makna yang unik untuk Malaysia. Ianya sepatutnya menjadi sebuah tahun transformasi Wawasan 2020. Sebaliknya, kita terpaksa berdepan dengan dua isu utama iaitu krisis kesihatan dan penguncupan ekonomi.

6. Namun respons kita yang pantas telah berjaya melindungi sebahagian besar ekonomi kita daripada kemelesetan ekonomi yang lebih teruk. Kita Berjaya menstabilkan keadaan dengan mengawal penularan pandemik ini, di samping tekad Kerajaan dalam melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion atau dianggarkan 20% daripada KDNK negara, iaitu Prihatin, Prihatin SME+, Penjana and Kita Prihatin. Pakej-pakej ini dianggarkan menyumbang 3.7 ke 4.0 mata peratusan kepada KDNK Malaysia pada tahun 2020.

7. Dalam kita mengimbangi nyawa dan kelangsungan hidup Rakyat, keputusan Kerajaan untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur telah membantu perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Hasilnya, penguncupan KDNK pada kadar 2.7% pada suku ketiga 2020 adalah antara yang terbaik di kalangan ekonomi serantau termasuk Indonesia (-3.49%); Singapura (-5.8%); Thailand (-6.4%); Filipina (-11.5%); serta ekonomi utama lain seperti AS (-2.9%) and EU (-4.3%).

8. Langkah-langkah menjana dan mengekalkan pekerjaan di bawah pakej rangsangan ekonomi pula membantu menurunkan kadar pengangguran daripada setinggi 5.3% pada bulan Mei kepada 4.7% pada bulan Oktober lalu. Penanda aras ekonomi utama yang lain juga amat menggalakkan, dan membayangkan pemulihan yang dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun 2021.

9. Keberkesananan kita mengendalikan COVID-19 juga diakui oleh pakar-pakar seperti Universiti Johns Hopkins, yang telah meletakkan kita di kedudukan antara 10% terendah sedunia bagi nisbah kematian di Malaysia yang di kadar 0.41%. Malah, prestasi Malaysia jauh lebih baik daripada rakan serantau seperti Thailand (0.71%), Filipina (1.94%), Vietnam (2.32%), dan Indonesia (2.95%), sekaligus membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul dalam membendung penularan pandemik ini.

10. Dan kini, dengan berita yang Kerajaan telah mendapatkan bekalan vaksin untuk hampir 83% populasi kita, kita bakal mengecapi masa depan yang lebih cerah di penghujung episod COVID-19 ini.

11. Kesemua usaha ini membentuk asas yang kukuh untuk pemulihan ekonomi yang lebih pesat pada tahun 2021, dan disokong oleh unjuran ekonomi dunia yang lebih baik, khususnya di Asia. Bank Pembangunan Asia, contohnya, mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.8% di Asia Membangun, dan 7.2% bagi Asia Selatan.

12. Ramai berpendapat bahawa terdapat begitu banyak peluangpeluang pelaburan di Malaysia. Unjuran pertumbuhan KDNK oleh Kerajaan pada kadar 6.5% ke 7.5% tahun ini juga selaras dengan unjuran agensi-agensi antarabangsa termasuk Bank Dunia (6.7%) dan IMF (7%).

13.Prestasi sebeginilah yang boleh diharapkan oleh pelabur terhadap Malaysia. Seterusnya, Kerajaan komited untuk memastikan perjalanan pemulihan ekonomi diteruskan secara mampan, tanpa sedikit pun berkompromi terhadap kesihatan awam.

MEMANGKIN EKONOMI DALAM MENGIMBAGI KEPERLUAN SEMASA DAN MASA HADAPAN

Hadirin sekalian,

14. Tentunya kejayaan Malaysia mengatasi krisis ini bergantung kepada bagaimana kita mengendalikan tahun 2021 yang dilihat sebagai sebuah tahun peralihan. Cabaran yang sama dihadapi oleh semua ekonomi sedunia, iaitu menguruskan sumber negara dengan berhemah, sambil mengimbangi keperluan semasa dan akan datang. Walaupun sukar, apa-apa keputusan mestilah dibuat demi kebaikan rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan kita.

15. Dan inilah cara-cara Kerajaan akan mencapai objektif tersebut:

  1. Pertama, Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengembangkan kedudukan fiskal untuk jangka masa pendek bagi membiayai pakej-pakej rangsangan ekonomi, serta belanjawan terbesar negara berjumlah RM322.5 bilion. Ya, ia merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah Malaysia. Namun, ianya dilaksanakan dengan strategi yang jelas untuk, antara lainnya, melaksanakan konsolidasi fiskal bagi mencapai defisit di bawah 4% KDNK dengan pelaksanaan Kerangka Fiskal Jangka Sederhana. Kerajaan juga sedang merangka Akta Tanggungjawab Fiskal untuk memastikan pengurusan fiskal yang berhemah, berlandaskan governan dan telus berpaksikan amalan pengurusan terbaik antarabangsa.
  2. Kedua, Kerajaan juga komited untuk mengukuhkan penjanaan hasil negara melalui pendekatan serampang ganda, bermula dengan pengawalseliaan ekonomi bayangan (shadow economy) yang dijangka bersaiz 18% KDNK Malaysia atau sekitar RM300 bilion pada tahun 2019. Tambahan lagi, kita juga akan melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana, yang antara lainnya akan mengurangkan kebergantungan kita terhadap hasil komoditi dan terus menambahbaik kerangka percukaian bagi mengurangkan ketirisan. Namun, saya memberikan jaminan bahawa sebarang kajian semula akan memastikan sistem cukai yang saksama, dilaksanakan pada masa yang sesuai, dan mengambil kira kesan kepada Rakyat dan Perniagaan secara menyeluruh.
  3. Ketiga, pelaksanaan projek-projek berskala besar di Malaysia yang akan memacu pertumbuhan sosioekonomi dalam tahun-tahun yang mendatang. Ini termasuk yang disenaraikan di dalam Belanjawan 2021 seperti:
     
    1. Inisiatif kesalinghubungan digital JENDELA RM7.4 bilion, dengan fasa pertama menyasarkan 7.5 juta premis dengan jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit, dan 96.8% liputan 4G dengan kelajuan jalur lebar mudah alih yang lebih tinggi;
    2. Projek-projek infrastruktur termasuk Lebuhraya PanBorneo, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB, KVDT, MRT3, dan Sistem Aliran Transit (RTS) JBSingapura. Tahun ini sahaja, Kerajaan telah memperuntukkan RM15 bilion untuk projek-projek ini, yang dijangka memberikan nilai pengganda tinggi daripada fasa pembinaan sehinggalah selepas projek-projek tersebut siap.
    3. Projek infrastruktur luar bandar untuk mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, di mana RM2.7 bilion sudah diperuntukkan; serta lima koridor ekonomi utama yang juga akan mendapat suntikan fiskal untuk memudahcara pelaburan dan pertumbuhan.
  4. Langkah keempat bagi memacu Malaysia keluar daripada krisis ini adalah melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang perlu dirangka semula secara menyeluruh memandangkan kejutan COVID-19 yang melanda kita. RMK12 merangkap langkah keenam dan terakhir di dalam Pelan Pemulihan Ekonomi 6R negara, dan akan menjadi titik permulaan bagi pelbagai penyusunan semula (Reform) untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang lebih mampan. Antaranya, ia akan merangkumi sektor pertumbuhan dan berimpak tinggi yang baharu, didokong oleh agenda pendigitalan negara, dan perkongsian awam-swasta (public private partnership) yang lebih baik. RMK12 juga akan menjadi sebuah hala tuju bagi Malaysia mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

KEPELBAGAIAN PELUANG UNTUK MELABUR DI MALAYSIA

Saudara dan saudari sekalian,

16. Sekarang saya hendak menyentuh tentang persekitaran perniagaan Malaysia. Kerajaan Malaysia memahami betapa pentingnya sebuah persekitaran yang kondusif dan rancak untuk perniagaan berkembang maju, dengan disokong oleh kedaulatan undang-undang, infrastruktur dan dasar-dasar yang jelas. Menyentuh hal ini, terdapat dua laporan bebas yang telah mengesahkan tarikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perniagaan:

  1. Pertama, sebuah laporan oleh EY1 yang memerihalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi penting untuk komuniti perniagaan antarabangsa. Ini mengambil kira faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, tenaga kerja yang pelbagai dan berkualiti, serta kesediaan negara untuk mengadaptasi teknologi digital. Saya percaya kenyataan ini tidak terlalu gah. Kita amat konsisten dalam meneruskan pelbagai insentif cukai dan pelaburan, menyediakan kemudahan baru melalui PENJANA, dan terus melanjutkan atau memperluaskan kemudahan-kemudahan ini di bawah Belanjawan 2021. Ini termasuk kadar cukai khas untuk syarikat pembuatan yang menempatkan operasi di Malaysia dan membuat pelaburan baharu, dan kadar cukai istimewa untuk syarikat perkhidmatan yang memberikan nilai ganda tinggi, atau untuk syarikat perubatan khususnya bagi mereka yang menghasilkan vaksin dan ingin melabur di Malaysia.
  2. Kedua, adalah sebuah laporan oleh Bloomberg2 yang meletakkan Malaysia di kedudukan kelima antara ekonomiekonomi membangun sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan, melihat kepada potensi pemulihan ekonomi yang pesat, posisi fiskal dan kewangan yang stabil, serta kemampuan untuk membendung dan mengatasi pandemik COVID-19.

17. Saudara dan saudari sekalian,

  1. Walaupun dalam kesukaran tahun 2020, kita telah melihat pelaburan langsung domestik dan antarabangsa yang berterusan, dengan pelaburan disahkan berjumlah RM109.8 bilion dalam sembilan bulan pertama 20203 merangkumi hampir 3,000 projek di dalam sektor utama, pembuatan serta perkhidmatan. Saya juga ingin menyentuh tentang Penjana Kapital, yang baru-baru ini memudahcara komitmen lapan pengurus modal teroka antarabangsa bersama-sama Kerajaan untuk melabur sehingga RM1.57 bilion ke dalam syariakt pemula Malaysia di dalam bidang fintech, edutech, agritech, mobiliti dan AI, yang dijangka menjana 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi.
  2. Tambahan pula, walaupun Malaysia mengalami semakan semula penarafan kredit negara oleh Fitch (yang meletakkan kita sebagai salah satu daripada lebih kurang 100 ekonomi dunia yang mengalami semakan semula penarafan pada tahun 2020 akibat COVID-19), permintaan untuk bon Kerajaan tetap tinggi dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan (bid-tocover ratio) yang dicatatkan pada kadar 2.6 kali ganda untuk sukuk 10-tahun Kerajaan yang diterbitkan pada awal Disember lalu. Ini adalah pengiktirafan kukuh terhadap usaha tindak balas krisis oleh Kerajaan serta asas ekonomi negara yang masih kukuh.

18. Walaubagaimanapun, terdapat satu syarat utama bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara. Peningkatan kadar jangkitan harian boleh menghalang usaha untuk mencapai unjuran bagi tahun 2021 dan selanjutnya. Oleh itu, kita mesti terus berwaspada. Kita telah memenangi pelbagai pertempuran, namun kita perlu memenangi peperangan melawan COVID-19. Rakyat Malaysia dan sektor perniagaan tidak boleh sekali-sekali leka. Marilah kita berdiri teguh menentang COVID-19, demi untuk kemenangan bersama.

FOKUS KEPADA SEKTOR PERTUMBUHAN UNTUK MENJANA 500,000 PERNIAGAAN

Saudara dan saudari sekalian,

19. Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang bagaimana Kerajaan menyasarkan untuk menjana 500,000 pekerjaan tahun ini, yang juga merupakan antara agenda utama Belanjawan 2021. Untuk ini, selain daraipada peruntukan RM3.7 bilion di bawah inisiatif JanaKerja yang termasuk insentif pengambilan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan semula, serta peluang pekerjaan di dalam sektor awam dan di antara GLC; adalah penting untuk dinyatakan bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia di mana Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dengan penyertaan Kementerian-Kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia. Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan.

20. Lebih daripada itu, Kerajaan juga serius bukan sahaja dalam usaha memadankan bekalan tenaga kerja dengan permintaan industri, malah dari segi menyokong sektor-sektor spesifik, khususnya yang mempunyai kadar pertumbuhan yang tinggi. Ini termasuk:

  1. Pertama, sektor perkhidmatan, yang dijangka menyumbang 38.3% KDNK negara pada tahun 2021, dan akan terus disokong melalui Belanjawan 2021. Ini disokong antaranya melalui subsidi upah RM1.5 bilion dan sokongan pemulihan untuk sektor pelancongan dan peruncitan; serta RM10 bilion dalam bentuk Special Relief Financing khususnya untuk mereka di dalam sektor perdagangan borong dan runcit termasuk F&B, serta perhotelan.
  2. Kedua, dengan memfokus terhadap sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi, di mana RM1 bilion diperuntukkan untuk menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) contohnya dalam sektor aeroangkasa serta elektrikal dan elektronik. RM400 juta diperuntukkan khusus untuk R&D melibatkan beberapa Kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
  3. Ketiga, kita juga komited terhadap pertumbuhan perniagaan kecil, sederhana (PKS) dan mikro, yang menyumbang 38.9% KDNK negara dan 48.4% peluang pekerjaan di seluruh negara. Setakat ini, sejumlah RM24 billion telah disalurkan kepada lebih 1.4 juta PKS dan PKS mikro melalui pinjaman mudah, gerangeran, insentif peningkatan kemahiran dan latihan semula, serta usaha mengukuhkan rantaian bekalan tempatan.

21.Jadi, ke mana arah kita dari sini? Saya ingin menekankan beberapa kemungkinan dan peluang yang ada:

  1. Jelas ada keperluan untuk kita reset dan menyusun semula beberapa pengaturan institusi negara;
  2. Peranan GLC dan GLIC dalam pembangunan negara;
  3. Kita mempunyai kemampuan pertanian dan perladangan yang boleh ditingkatkan melalui agritech, kepelbagaian tanaman, dan pembangunan industri hiliran;
  4. Kita mesti meningkatkan kemampuan kita di dalam teknologi hijau, termasuk pembuatan panel solar, dan pembinaan lestari;
  5. Kita perlu mengukuhkan kedudukan kita sebagai perintis di dalam sektor kewangan Islam dan pasaran halal global yang bernilai AS$1.4 trilion, dan dalam hal ini, kita boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi seperti blockchain sebagai teknologi pengesan untuk produk makanan dan minuman halal;
  6. Kita belum meneroka sektor fintech sepenuhnya, dan dalam hal ini, Bank Negara baru-baru ini telah menerbitkan dokumen dasar tentang perbankan digital;
  7. Terdapat pelbagai sektor yang boleh dipacu di dalam norma baharu ini contohnya edutech, mobiliti dan AI; dan akhir sekali
  8. Di bawah topik kelestarian dan ESG, pelaburan yang mencerminkan tanggungjawab sosial dan ke arah circular economy merupakan peluang-peluang yang perlu dimanfaatkan.

22. Senarai ini tidak lengkap, namun inilah antara peluang-peluang yang akan diterokai oleh Kerajaan dalam masa terdekat. Kerajaan mengalu-alukan idea baru daripada anda semua, ketua-ketua industri, dan tentunya kita akan melakukan yang terbaik untuk memudahcara pelaburan anda di dalam sektor sedia ada dan juga yang baharu, demi melonjakkan perniagaan anda dan ekonomi negara ke hadapan.

KETAHANAN PASARAN MODAL DAN KEWANGAN NEGARA

Saudara dan saudari sekalian,

23. Izinkan juga saya menyentuh tentang dinamisme dan ketahanan pasaran modal kita, yang terus menjadi platform utama untuk memobilisasikan simpanan dan pelaburan walaupun di saat pandemik COVID-19.

24. Di akhir tahun 2020, pasaran modal kita bersaiz dua kali ganda KDNK dengan nilai sekitar RM3.4 trilion. Ini merangkumi RM1.8 trilion di dalam permodalan pasaran ekuiti, dan RM1.6 trilion dalam nilai keseluruhan bon dan sukuk.

25. Walaupun berhadapan persekitaran yang tidak menetu, FBM KLCI telah menjadi pasaran terbaik serantau dengan prestasi peningkatan 2.4% berbanding penurunan 6% pada tahun 2019.

26. Sepanjang 2020, kita melihat pasaran ekuiti menjadi lebih rancak, dinamik dan berdaya tahan, dengan peningkatan purata nilai dagangan harian kepada RM4.2 bilion, iaitu jauh lebih tinggi daripada purata tiga tahun iaitu RM2.3 bilion. Jumlah dagangan saham tertinggi harian juga direkodkan pada kadar 27.8 bilion saham, dan kali terakhir jumlah ini dilihat adalah lebih kurang sedekad yang lalu

27. Dari segi jumlah aset diurus oleh pengurus dana pula, kita melihat peningkatan 7.9% kepada RM888 bilion setakat akhir November 2020.

28. Malaysia juga telah membangunkan sebuah sistem perbankan yang kukuh, dengan penampan modal lebihan institusi perbankan lebih RM120 bilion, iaitu melebihi tiga kali kadar semasa Krisis Kewangan Global 2008/09, sekaligus mencerminkan kemampuan untuk menghadapi cabaran kredit serta kejatuhan pasaran.

29. Dari segi kekuatan nilai matawang pula pula, Ringgit Malaysia merupakan salah sebuah matawang yang mencatat prestasi terbaik di rantau ini , dengan peningkatan 1.7% berbanding dolar AS. Ini antara lainnya disokong oleh pemulihan harga komoditi, serta aliran masuk kewangan antarabangsa berjumlah RM33.6 bilion ke dalam pasaran bon negara dari Mei hingga November 2020

30. Dengan latar belakang ini, Malaysia kini sedang bersiap sedia untuk menerbitkan bon lestari pertama Kerajaan pada tahun 2021. Insentif untuk sukuk lestari SRI juga terus disediakan dengan lanjutan Skim Kewangan Teknologi Hijau bernilai RM2 bilion di bawah Belanjawan 2021.

31. Melihat kepada pelancaran sukuk digital pertama Malaysia, Sukuk Prihatin, pada tahun 2020 dengan lebihan langganan, pembiayaan berkisarkan kelestarian dan SDG merupakan satu peluang pelaburan yang menarik bagi Malaysia. Jika digandingkan dengan kedudukan dan kemahiran kita di dalam pasaran kewangan Islam, ini tentunya membuka pelbagai peluang baru di dalam pasaran modal negara.

PENUTUP

Saudara dan saudari sekalian,

32. Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar untuk ramai di antara kita. Proses pemulihan semestinya mengambil masa, dan tahun ini bakal menzahirkan cabaran yang tersendiri. Bagi Kerajaan dan khususnya Kementerian yang saya terajui, kita komited untuk menyediakan sebuah persekitaran kondusif untuk pelaburan dan perniagaan. Marilah kita bersama-sama meneroka cara-cara baharu yang lebih cekap untuk menjana pertumbuhan sosioekonomi negara, dalam melaksanakan dasar-dasar yang seimbang dan yang mampu membantu kita mencapai kemakmuran bersama pada tahun-tahun mendatang.

33. Pembelajaran daripada krisis terdahulu membolehkan kita untuk membentuk semula diri kita, dan membangunkan sektor pertumbuhan baru yang relevan dengan lanskap global yang kian berubah dan kini dipercepatkan lagi perubahannya oleh pandemik COVID-19. Kita mesti tangkas, atau kita berisiko untuk ketinggalan.

34. Terdapat begitu banyak ruang untuk kita maju bersama, dan kita mesti meletakkan diri kita untuk betul-betul memanfaatkan pemulihan dan lonjakan semula ekonomi global pada tahun 2021, dan seterusnya membina ketahanan untuk masa hadapan.

35. Saya berharap ucapan saya dapat menggariskan nada perbincangan sepanjang acara ini, khususnya tentang usaha memanfaatkan pendigitalan dan konsep kelestarian untuk memacu Malaysia di dalam norma baharu ini.

36. Dengan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur, CGS-CIMB atas usaha mereka. Semoga hari ini menjadi hari yang produktif untuk anda semua, dan semoga persidangan ini berjalan dengan jayanya.

37. Sekian, terima kasih

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility