Majlis Pelancaran Kempen JaminKerja Keluarga Malaysia
MAJLIS PELANCARAN KEMPEN JAMINKERJA KELUARGA MALAYSIA
19 Februari 2022 (Sabtu) | 12.00 Tengah Hari
Salutasi
- Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob;
- Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan,
Menteri Sumber Manusia;
- Yang Berbahagia Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
- Yang Berbahagia Datuk Seri Asri bin Hamidon,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
- Yang Berbahagia Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar,
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia
- Yang Berbahagia Profesor Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa bin Haji Abdullah,
Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO);
- Yang Berbahagia Datuk Seri Jamil bin Saleh,
Pengerusi Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp);
- Yang Berbahagia Dato’ Shahrul Nazri bin Abdul Rahim,
Ketua Pegawai Eksekutif LAKSANA
- Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan;
- Rakan-rakan media; dan
- Tuan-tuan dan Puan-puan, Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian.
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
- Alhamdulillah serta syukur kepada Allah Subhanahuwataa'la kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini bagi pelancaran JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia.
- Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kesudian beliau melancarkan inisiatif JaminKerja hari ini.
- Terima kasih juga kepada Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Seri M Saravanan, serta agensi-agensi di bawah Kementerian beliau, iaitu PERKESO dan Human Resource Development Corporation, dan juga LAKSANA MOF, di atas usahasama penganjuran Karnival Kerjaya JaminKerja pada hari ini.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
- Kini, kita sudahpun di ambang tahun ke tiga semenjak pandemik COVID-19 melanda negara. Krisis ini telah menjejaskan nyawa dan mata pencarian bagi seluruh Keluarga Malaysia.
- Jika diimbau semula, kadar pengangguran pernah mencapai tahap tertinggi, iaitu 5.3 peratus pada bulan Mei 2020, manakala nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020.
- Namun, baru-baru ini, Alhamdulillah kita dapat lihat sinar-sinar pemulihan yang jelas. Disebalik segala cabaran dan dugaan tahun lalu, pertumbuhan KDNK meningkat sebanyak 3.1 peratus.
- Kadar pengangguran pula terus memulih kepada 4.2 peratus pada bulan Disember 2021, di mana sepanjang suku keempat, bilangan penyertaan dan tenaga buruh kedua-duanya terus meningkat susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan waktu operasi yang lebih panjang.
- Sepanjang tahun 2021 juga, aktiviti perniagaan mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan jumlah perdagangan luar yang melebihi 2 trilion ringgit, serta jualan borong dan runcit yang mencecah 1.3 trilion ringgit.
- Baru-baru ini, kita dapat lihat momentum ini kekal berterusan melalui jumlah perdagangan yang meningkat hampir 25 peratus dari tahunke-tahun kepada lebih 200 bilion ringgit pada bulan Januari 2022, dengan lebihan dagangan berjumlah 18.4 bilion ringgit.
- Keyakinan pelabur asing terhadap prospek pemulihan ekonomi negara juga jelas kelihatan, dengan jumlah pelaburan langsung asing, atau FDI bagi tahun 2021 yang melebihi 50 bilion ringgit, dan aliran masuk bersih pelabur asing bagi pasaran bon tempatan yang melebihi 30 bilion ringgit. Kedua-dua ini merupakan nilai yang tertinggi berbanding tahun-tahun pra-pandemik.
- Kesemua ini mencerminkan keberkesanan langkah segera Kerajaan melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 530 bilion ringgit, yang turut dilengkapi oleh inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah 322.5 bilion ringgit, kejayaan Pelan Pemulihan Negara, serta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sistematik.
Hadirin yang saya hormati sekalian
- Bagi memastikan momentum pemulihan ini berterusan, inisiatifinisiatif Bajet 2022 telah dirangka khusus untuk memperkukuh pemulihan yang kita telah berjaya kecapi, serta membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
- Bajet 2022 yang mengembang serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial; penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi; serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan KDNK yang diunjurkan sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.
- Namun, kita tidak boleh leka.
- Menurut laporan terkini yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa, atau ILO, kadar pengangguran global dijangka kekal di tahap 207 juta orang pada tahun ini, berbanding 186 juta orang pada tahun 2019.
- Sekiranya tidak ditangani, ia akan memperdalamkan jurang pendapatan di seluruh dunia termasuk Malaysia, dan akan melemahkan struktur ekonomi, kewangan dan sosial negara
- Sehubungan itu, dasar-dasar Kerajaan bertujuan mengelak kesan jangka panjang terhadap pasaran buruh, pendapatan isi rumah, dan perpaduan sosial. Ke arah ini, Kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) pada tahun yang lalu."
- Majlis yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berdasarkan pendekatan menyeluruh, berpandukan data, dan sepadan dengan permintaan industri semasa.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Bajet 2022 juga menumpukan usaha kepada inisiatif-inisiatif yang akan terus meningkatkan daya saing dan tarikan negara bagi pelabur-pelabur. Ini termasuklah langkah-langkah yang akan memudah cara perniagaan serta pelbagai insentif cukai yang secara tidak langsung akan terus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan melonjakkan lagi ekonomi negara.
- Melalui inisiatif JaminKerja yang dilancarkan hari ini, Kerajaan telah mengambil semangat konsep jobs guarantee. Saya yakin Kerajaan akan dapat mengulangi semula kejayaan tahun lalu di mana pencapaian telah melebihi sasaran. Hampir 560 ribu peluang pekerjaan berjaya dicipta, berbanding sasaran awal iaitu 500 ribu bagi tahun 2021.
- Tahun ini, selain memikul tanggungjawab sebagai Sekretariat NEC, Agensi LAKSANA di bawah MOF juga akan mengelolakan MySTEP, sebuah program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.
- Pada tahun 2021, berbanding sasaran 50,000, kita berjaya menempatkan lebih 63 ribu (63,221) graduan, di mana 66% ditempatkan di pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan, manakala 34% di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan rakanrakan strategiknya.
- Tahun ini, MOF memperuntukkan RM1.7 bilion untuk program MySTEP ini, dan kita menyasarkan penciptaan 80,000 pekerjaan, yang boleh dimohon secara dalam talian di https://mystep.mof.gov.my/
- Oleh itu, saya berharap pencari kerja akan memanfaatkan segala peluang yang ada melalui MOF dan KSM, samada di Karnival ini atau secara dalam talian melalui portal-portal MyFutureJobs; MySTEP dan UpSkillMalaysia.
Hadirin yang saya hormati sekalian
- Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin menekankan bahawa Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas akan meletakkan ekonomi negara di landasan yang kukuh supaya kita dapat membina semula ekonomi dengan lebih baik dan lebih berdaya tahan berbanding zaman pra-COVID.
- Melangkah ke hadapan, iltizam MOF adalah untuk menjadi sebuah Kementerian yang responsif, serta bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal. Oleh itu, selain dari pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk meningkatkan tadbir urus fiskal, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri juga telah ditubuhkan. MOF mengalu-alukan penubuhan JPB ini yang akan memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif Bajet 2022, bagi memastikan keberkesanan dan penyampaian inisiatif yang cekap.
- Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, YB Menteri Sumber Manusia, serta semua yang hadir pada hari ini atas sokongan yang berterusan dalam merealisasikan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia ini. 28. Saya yakin seluruh Keluarga Malaysia akan memanfaatkan inisiatif yang ditawarkan dengan sepenuhnya, dan semoga kita dapat bersama-sama merancakkan usaha pemulihan ekonomi negara.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
19 Februari 2022