UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
DI MAJLIS PELANCARAN MINGGU SAHAM DIGITAL YANG DISIARKAN SECARA PERUTUSAN KHAS, QUILL CITY CONVENTION CENTRE, KUALA LUMPUR
Khamis, 19 November, 3:50 pm
YBhg Tan Sri Dr. Zeti Aziz
Pengerusi Kumpulan PNB,
Encik Ahmad Zulqarnain Onn
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB,
Pengerusi, Ketua-Ketua Eksekutif Syarikat-Syarikat Pelaburan PNB,
Dan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti Majlis Perasmian Minggu Saham Digital ini secara Live Stream di Facebook Minggu Saham Digital.
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera
1. Tahniah saya ucapkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) atas inisiatif meneruskan acara tahunan istimewanya, Minggu Saham Amanah Malaysia, meskipun kini dibawakan dalam bentuk digital dan diberi nama baru Minggu Saham Digital, atau ringkasnya MSD.
2. Terima kasih kepada PNB kerana telah sudi menjemput saya untuk merasmikan acara ini pada petang ini.
3. Saya dimaklumkan bahawa sejak acara sulungnya pada tahun 2000, MSAM tidak pernah gagal mendekati rakyat Malaysia saban tahun dengan pameran dan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan pelaburan di seluruh negara. Alhamdulillah, saya sendiri telah berkesempatan menghadiri beberapa acara MSAM pada masa dahulu. Malah, pada MSAM 2008 di Melaka yang juga bersempena sambutan ulang tahun PNB ke-30, saya dijemput membentangkan kertas kerja dalam program Simposium Usahawan pada waktu itu.
4. Pada hemat saya, acara ini berjaya diadakan saban tahun berkat sokongan berterusan semua pihak, termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat korporat. Manfaat penganjurannya pula sampai kepada lebih 3.9 juta pengunjung yang berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti bersama keluarga. Lebih penting lagi, para pelabur PNB berpeluang memahami dengan lebih mendalam bagaimana wang mereka dilaburkan. Tahniah saya ucapkan kepada PNB kerana memainkan peranan yang begitu penting dalam membina pemahaman orang ramai mengenai kewangan dan pelaburan.
USAHA DIGITALISASI NEGARA
Hadirin sekalian,
5. Kini, Kerajaan dengan kerjasama semua pihak sedang giat mempersiapkan Malaysia ke arah transformasi digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan dan saksama di seluruh negara. Ini penting dalam usaha kita menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran yang tepat untuk memenuhi cabaran industri pada masa hadapan.
6. Transformasi Minggu Saham Amanah Malaysia kepada Minggu Saham Digital hanyalah salah satu contoh di mana perjalanan kita berterusan dalam norma baharu, yang semakin menjadi kebiasaan dalam penularan wabak COVID-19 yang masih melanda.
7. Dengan itu, Kerajaan telah mempercepatkan usaha memudahcara rakyat dan perniagaan mengadaptasi pendigitalan, bermula dengan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan dalam pakej PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN sejak bulan Mac untuk membantu perniagaan memulakan penghijrahan digital mereka sendiri. Ekonomi digital adalah fokus utama dalam pelan pemulihan ekonomi negara agar kita pulih kembali seperti sediakala. Sebagai contoh:
8. Kini Belanjawan 2021 menjadi kesinambungan kepada usaha ini. Pelbagai lagi inisiatif diperkenalkan termasuk menggalakkan penggunaan e-wallet oleh rakyat, operasi e-dagang oleh perniagaan, serta peningkatan infrastruktur digital di seluruh negara termasuk di luar bandar, sekolah-sekolah dan kawasan perindustrian dengan inisiatif Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang melibatkan peruntukan 7.4 bilion ringgit.
9. Kita melihat perniagaan dan pelbagai institusi juga tidak terkecuali dalam menggunakan pengalaman semasa wabak COVID-19 ini untuk melonjakkan penggunaan digital di dalam organisasi mereka.
10. Tahun ini saja pelbagai platform pelaburan digital atau mudah alih telah diperkenalkan, dengan instrumen pelaburan yang pelbagai termasuklah matawang, saham, dan juga amanah saham atau unit trust. Semuanya di hujung jari, dan sebagai contoh, ini juga menyumbang kepada peningkatan mendadak pelabur individu dalam pasaran saham di negara kita.
11. Kerajaan juga tidak terkecuali dan telah menerbitkan sukuk digital pertama negara melalui Sukuk Prihatin pada bulan September lepas. Terbitan untuk membantu memulihkan ekonomi pasca COVID-19 ini telah berjaya menarik perhatian pelabur pasaran modal dengan langganan 666 juta ringgit, melebihi jumlah asal 500 juta ringgit walaupun dilanggan melalui platform digital secara keseluruhannya.
12. Semua merupakan suatu langkah ke hadapan. Namun begitu pembangunan sektor pelaburan digital ini juga perlu digabungkan juga dengan kesedaran tentang amalan pelaburan yang bertepatan, serta kesedaran awam yang tinggi tentang kes-kes penipuan dalam talian yang semakin menular.
13. Kesedaran tentang perlunya menjalankan aktiviti dalam talian dengan selamat dan bertanggungjawab juga perlulah terus dipupuk, dan saya yakin bahawa platform hari ini sangat sesuai bagi menyentuh isu tersebut.
MEMBANTU RAKYAT DALAM SUASANA COVID-19
Hadirin sekalian,
14. Ketidaktentuan COVID-19 ini memerlukan kita untuk lebih peka terhadap pengurusan kewangan yang mampan, bagi negara, perniagaan dan juga individu.
15. Realitinya, 7 daripada 10 golongan bekerja sendiri mempunyai simpanan kurang sebulan, mengikut data Jabatan Statistik Negara. Pandemik ini juga telah menyaksikan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK meningkat ke tahap tertinggi iaitu 87.5% setakat bulan Jun tahun ini. Manakala data KWSP pula menunjukkan bahawa lebih daripada separuh pencarum yang berbaki satu tahun daripada umur persaraan 55 tahun, mempunyai simpanan kurang daripada 50 ribu ringgit. Ini bermaksud mereka bakal mempunyai pendapatan hanya 200 ringgit sebulan dalam kehidupan persaraan.
16. Kerajaan memahami kesempitan yang dialami, lebih-lebih lagi golongan mudah terjejas yang terkesan dari segi pendapatan mereka, akibat pandemik sekarang. Melalui Belanjawan 2021, Kerajaan berhasrat memanjangkan bantuan langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat bernilai 6.5 bilion ringgit kepada 8.1 juta penerima, serta Elaun Mencari Kerja di bawah Perkeso untuk menyokong sebahagian pendapatan sehingga sembilan bulan bagi mereka yang baru dibuang kerja. Di samping itu, bantuan kewangan juga diberikan melalui lanjutan moratorium pukal kepada golongan B40 dan PKS yang layak, berserta kelonggaran khas kepada golongan M40 yang terjejas.
17. Berbalik pula kita kepada institusi seperti PNB, yang memainkan peranan penting dalam membantu Rakyat mendalami ilmu pengurusan kewangan melalui acara seperti Minggu Saham Digital ini. Kita semua perlu menerapkan displin dalam menguruskan kewangan dan menceburi pelaburan, di mana terdapat pelbagai instrumen mudah seperti amanah saham dan simpanan persaraan yang boleh menjana pulangan tinggi dengan simpanan yang ada dan disiplin yang tinggi dalam tempoh pelaburan yang kita tetapkan.
18. Agensi-agensi Kerajaan juga sedia ada dan sentiasa aktif dalam memberikan maklumat dan khidmat nasihat bagi orang ramai yang mengalami tekanan kewangan. Contohnya seperti AKPK yang telah membantu lebih 16 ribu individu melangsaikan hutang terkumpul lebih 600 juta ringgit sejak penubuhan mereka pada tahun 2006.
19. Kerajaan juga sedar hidup rakyat turut tertekan lebih-lebih lagi apabila perlu mengadaptasi kepada kebiasaan baharu dan mematuhi pelbagai SOP. Pada ketika inilah, kualiti dan kemampuan digital negara diuji apabila sebilangan besar pekerja perlu membiasakan diri bekerja dari rumah. Pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga perlu belajar dari rumah, dan guru serta pensyarah mengajar di depan komputer riba atau komputer peribadi masing-masing.
20. Ramai ibu bapa keluarga berpendapatan rendah risau dan susah hati kerana tidak berkemampuan untuk menyediakan komputer riba mahupun laptop demi kelangsungan pembelajaran anak-anak mereka.
21. Alhamdulillah, saya sedia maklum bahawa PNB merupakan antara institusi korporat yang awal menghulurkan sumbangan ketika negara mula dilanda COVID-19. Ucapan terima kasih saya kepada PNB atas pelbagai sumbangan dan bantuan sokongan yang melebihi RM23 juta dalam waktu tersebut.
22. Manakala dalam Bajet 2021, PNB dan syarikat kumpulannya telah bersetuju untuk menyumbang RM45 juta kepada Tabung CERDIK. Tabung ini ditubuhkan untuk membeli komputer riba dan tablet untuk disumbangkan kepada 150,000 pelajar di sekolah-sekolah. Ini adalah satu usaha murni bagi memastikan pembelajaran para pelajar dari Kumpulan B40 ini mereka tidak terhenti walaupun terdapat perintah kawalan pergerakan, dan memperkuatkan lagi usaha Kerajaan untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
PENUTUP
Hadirin sekalian,
23. Harapan saya dengan Minggu Saham Digital ini adalah agar usaha ini menjadi tarikan kepada para pengunjung dalam talian, khususnya golongan belia dan remaja. Semoga usaha PNB dalam menjayakan acara yang bersifat informatif lagi inovatif ini dapat terus membangunkan masyarakat celik pelaburan, dan pada masa yang sama turut celik digital.
24. Minggu Saham Digital dianjurkan tepat pada masanya tambahan pula dalam keadaan sekarang yang tidak menentu. perkongsian maklumat secara dalam talian menerusi Minggu Saham Digital ini akan memastikan rakyat mendapat manfaat dengan cara yang selamat dan selesa, dari mana saja kita mengikutinya.
25. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Minggu Saham Digital 2020.
Sekian, terima kasih.