Majlis Pelancaran Pelan Perlindungan Ahli KWSP (i-Lindung)
TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN PELAN PERLINDUNGAN AHLI KWSP (i-LINDUNG)
12 JULAI 2022 (SELASA) | 10.00 PAGI
(SALUTASI)
YANG BERBAHAGIA, TAN SRI AHMAD BADRI MOHD ZAHIR
Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Ahli-Ahli Lembaga KWSP serta barisan Pengurusan KWSP
Wakil-wakil daripada pembekal insurans dan takaful melalui platform i-Lindung iaitu Etiqa Life Insurance Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, FWD Takaful Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad dan Prudential BSN Takaful Berhad;
Rakan-rakan media;
Hadirin yang dihormati sekalian
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
- Alhamdulillah serta syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini bagi memperkenalkan satu kemudahan yang mampu memberikan manfaat kepada ahli KWSP yang juga rakyat Malaysia.
- Seperti mana yang kita ketahui, krisis pandemik serta musibah lain yang melanda negara seperti bencana banjir telah membuktikan bahawa betapa pentingnya untuk kita menyediakan payung sebelum hujan. Ianya jelas menunjukkan bahawa sistem perlindungan dan keselamatan sosial di negara ini perlu diperkukuh dan diutamakan.
- Akses kepada sekurang-kurangnya tahap asas perlindungan dan keselamatan sosial adalah hak asasi manusia bagi memastikan keadaan hidup yang selesa untuk semua penduduk sepanjang hayat mereka.
DASAR KERAJAAN DALAM PEMULIHAN EKONOMI NEGARA
Hadirin sekalian,
- Pandemik COVID-19 sudah cukup untuk membangkitkan serta mengetengahkan isu keselamatan sosial bagi golongan berpendapatan rendah serta kumpulan B40 dalam masyarakat.
- Sejak Mac 2020, apabila Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara mula-mula dilaksanakan sehinggalah hari ini, apabila sempadan antarabangsa kita mula dibuka semula pada 1 April 2022, pihak Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif dan berterusan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia.
- Salah satu aspek yang amat ditekankan melalui 8 pakej-pakej rangsangan adalah bagi penjagaan kesihatan awam, yang mana lebih RM3.7 bilion telah diperuntukkan khas bagi memastikan nyawa dan kesihatan ahli Keluarga Malaysia terjaga.
- Selain itu, sejak tahun 2020, Kerajaan juga berusaha memperkenalkan pelbagai inisiatif yang baharu atau mengukuhkan beberapa langkah-langkah sedia ada bagi memantapkan aspek perlindungan sosial di Malaysia. Ini termasuklah:
- Pertama, skim i-Saraan KWSP, yang membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak Kerajaan. Inisiatif ini adalah penting untuk memperluas jaringan keselamatan sosial dan liputan kepada mereka yang berada di sektor tidak formal dan pekerja gig untuk alam persaraan.
- Kedua, bagi golongan suri rumah, mereka kini boleh mencarum di KWSP dengan insentif khas di bawah Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP. Inisiatif ini bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka, bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada pembangunan negara.
- Ketiga, PERKESO juga turut menawarkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk memberi perlindungan termasuk penyakit dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri. Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kini telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain.
- Keempat, melalui Bajet 2022, Kerajaan juga telah mengumumkan pemberian subsidi perlindungan insurans dan takaful melalui Program Baucar Perlindungan Tenang yang melayakkan kumpulan B40 menerima baucar RM75 sebagai bantuan kewangan untuk membeli takaful hayat dan kemalangan diri, dan juga skim insurans perubatan khas mySalam.
DASAR KERAJAAN MENGUKUHKAN PERLINDUNGAN SOSIAL DI MALAYSIA
Hadirin sekalian,
- Jika kita lihat kepada data Pertubuhan Buruh Antarabangsa atau ILO, hanya 47% daripada populasi dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis perlindungan sosial. Bayangkan, hanya 35% daripada populasi yang bekerja dilindungi sekira berlakunya kemalangan di tempat kerja manakala 2.1 bilion populasi dunia masih tidak dilindungi.1
- Kajian oleh National Health and Morbidity Survey (NHMS) pula menunjukkan hampir separuh daripada jumlah rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan tambahan bagi membayar kos perubatan. Ini merupakan satu cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia kerana kita semakin hampir untuk mencapai status negara menua atau ageing nation seawal tahun 2030.
- Sekiranya warga tua tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka, beban kewangan akan ditanggung bukan sahaja oleh Kerajaan, tetapi juga oleh pembayar cukai pada masa hadapan. Ini juga akan mendorong kepada peningkatan kos perubatan bagi rakyat Malaysia.
- Buat masa ini, walaupun ada pelbagai inisatif perlindungan sosial yang diperkenalkan dan sesetengahnya ada mendapat pembiayaan Kerajaan, namun rata-rata kesedaran mengenai pentingnya perlindungan sosial, dan bersiap-siaga untuk hari tua masih terlalu rendah dalam kalangan sejumlah besar rakyat Malaysia.
- Inilah sebabnya, apabila Kerajaan mula melaksanakan Program Transformasi GLC bagi memacu pemulihan dan pembinaan semula ekonomi negara pasca-pandemik melalui ekosistem Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), salah satu aspek terpenting adalah pengukuhan perlindungan sosial, dan tanggungjawab ini telah diberikan kepada KWSP.
- Dalam usaha memperkukuhkan eko-sistem sokongan GLC, KWSP telah memulakan strategi jangka panjang untuk meluaskan liputan perlindungan sosial rakyat Malaysia.
- Setakat ini, strategi ini telah pun membuahkan hasil, di mana pendaftaran ahli baharu telah meningkat 57% kepada 146,000 ahli dalam suku tahun pertama 2022, manakala pencarum sukarela terkumpul di bawah program i-Saraan telah melonjak naik 77% kepada 599,000 orang. Syabas KWSP!
- Saya difahamkan bahawa KWSP juga akan terus menyasarkan sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri, untuk memastikan kesemua rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada simpanan persaraan.
- Kerajaan juga sedang giat mengkaji dasar-dasar yang dapat mempercepatkan proses peningkatan liputan perlindungan sosial, yang akan diumumkan kelak.
- Selain itu, Kerajaan juga telah mengumumkan tahap gaji minima RM1,500 pada 1 Mei 2022 yang juga akan menyumbang kepada penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat.
- Seterusnya, bagi menyelaras program-program perlindungan sosial secara holistik dan bersepadu, pada tahun 2020 negara telah pun mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), di mana KWSP merupakan sebahagian daripadanya.
- Semasa Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa pada hujung tahun lalu (International Social Wellbeing Conference 2021) yang dianjurkan oleh KWSP, saya ada berkongsi bahawa bermula pada 2021, MOF telah pun memacu sebuah program pembaharuan keselamatan sosial yang diuruskan bersama oleh JPA, KWSP, KWAP, LTAT dan PERKESO.
- Program ini bertujuan untuk meluaskan capaian dan keberkesanan perlindungan sosial secara holistik termasuk meluaskan perlindungan KWSP dan PERKESO untuk merangkumi sektor yang bekerja sendiri dan tidak formal; menyediakan sokongan yang lebih berkesan kepada mereka yang kehilangan pendapatan akibat pemberhentian pekerja dan kemalangan di tempat kerja; dan memastikan simpanan selepas persaraan mencukupi untuk kakitangan sektor swasta dan pesara Kerajaan.
- Selain daripada meningkatkan gaji sara hidup, meningkatkan keselamatan sosial merupakan aspek penting dalam mengurangkan jurang kekayaan. Jika isu struktur ini tidak ditangani segera ianya bakal menjadi risiko kepada kestabilan sosio-ekonomi negara di masa hadapan.
- Memandang ke hadapan, bagi Malaysia, yang paling penting Kerajaan telah pun memulakan pelbagai usaha, sebahagiannya telah pun saya sebut tadi, yang bertujuan merapatkan jurang kekayaan dan menambahbaik sistem keselamatan sosial di negara ini.
KEPENTINGAN PERLINDUNGAN INSURANS DAN TAKAFUL
Hadirin sekalian,
- Walaupun Kerajaan dan KWSP sedang mengkaji dasar-dasar yang mampu mengukuhkan keselamatan sosial bagi rakyat Malaysia bagi jangka masa panjang, buat masa ini, usaha-usaha jangka pendek juga perlu diteruskan.
- Ini kerana hakikatnya, masih ramai yang tidak langsung tahu mengenai keperluan serta kepentingan insurans atau takaful, atau jika mereka sedar mengenai pentingnya untuk menyediakan payung sebelum hujan, mungkin mereka kurang berkemampuan. Ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia masih tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan insurans atau takaful.
- Bagi mereka yang bekerja pula, ada yang berfikir bahawa perlindungan yang disediakan oleh majikan adalah sudah mencukupi, tetapi apa akan berlaku sekiranya mereka berhenti atau diberhentikan kerja?
- Setiap individu perlu tahu tentang manfaat insurans atau takaful bagi melindungi diri daripada sebarang risiko atau musibah seperti sakit kronik, kemalangan, hilang keupayaan secara berkekalan atau kematian. Ini penting terutamanya bagi mereka yang bekerja sendiri dan sudah mempunyai tanggungan seperti isteri dan anak-anak.
- Contohnya, jika berlaku sesuatu musibah kepada pencari nafkah utama, seperti kemalangan, ketidakupayaan menyeluruh atau menghidap sakit kronik, mampukah mereka untuk menampung kos rawatan? Paling tragis sekali apabila mereka yang mempunyai tanggungan meninggal dunia atau tidak mempunyai keupayaan untuk terus mencari rezeki.
- Kerajaan juga sedar, bagi mereka yang memahami risiko kehidupan, masih ramai yang masih ragu-ragu dan berkira-kira memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli insurans sebagai perlindungan diri.
- Data-data yang saya bentangkan sebentar tadi memperkukuhkan lagi matlamat serta keperluan insurans dan takaful. Sehubungan itu, syabas saya ucapkan kepada KWSP yang telah berkolaborasi dengan syarikat-syarikat insurans dan pengendali takaful untuk mewujudkan i-Lindung.
- Saya difahamkan bahawa i-Lindung dapat membantu ahli KWSP mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa.
- Ini merupakan satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik.
- Pelan-pelan tersebut dapat menggantikan pendapatan atau simpanan tambahan sekiranya ahli menghadapi sebarang musibah.
- Yang paling penting, perlindungan ini boleh diperolehi dengan sumbangan premium yang berjumlah hanya beberapa ringgit sebulan, menerusi syarikat-syarikat insurans serta pengendali takaful yang disediakan di atas platform KWSP.
- Malah, yang lebih istimewa, saya difahamkan ahli tidak perlu menjalani pemeriksaan perubatan untuk membeli pelan insurans atau takaful yang ditawarkan di platform KWSP.
- Saya juga berharap agensi-agensi seperti KWSP akan terus meningkatkan kesedaran awam mengenai perancangan kewangan yang baik bagi kesejahteraan jangka panjang.
PENUTUP
Hadirin sekalian,
- Pelaksanaan Pelan Perlindungan Ahli i-Lindung KWSP ini turut membantu memperkukuhkan sistem perlindungan sosial negara ini.
- Jadi, saya ingin menyarankan agar ahli-ahli KWSP merebut peluang ini bagi mendapatkan perlindungan insurans dan takaful yang sewajarnya melalui i-Lindung. Masih belum terlambat untuk anda mengambil langkah bijak demi menjamin kesejahteraan serta keselamatan diri anda serta keluarga. When it comes to protecting yourself and your loved ones from calamities, it is better late than never.
- Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sekali lagi kepada KWSP, yang telah bertungkus-lumus dalam mewujudkan platform i-Lindung ini.
- Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil syarikat insurans dan pengendali takaful yang terlibat dalam memberikan kerjasama agar inisiatif ini dapat direalisasikan bagi memanfaatkan Keluarga Malaysia.
- Oleh itu, dengan lafaz Bismillahirrahnirrahim, saya dengan ini melancarkan perasmian i-Lindung.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.Wabarakatuh.
1 World Social Protection Data Dashboards (https://www.social-protection.org/gimi/WSPDB.action?id=32)
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
12 Julai 2022