Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2026 – Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Dan Skim Jaminan Kredit Perumahan
Ucapan
Bismillahirrahmanirrahim
Yang Berhormat Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan
Yang Berbahagia Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan
Yang Berbahagia Datuk Fazlur Rahman Zainuddin, Pegawai Utama, SJPP Berhad dan SJKP Berhad
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Institusi-Institusi Kewangan, Hadirin yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah syukur kepada Ilahi kerana dapat kita bersama-sama hadir pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2026 – Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan pada petang ini.
Belanjawan 2026, iaitu Belanjawan MADANI yang Keempat, telah dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Oktober 2025 berjumlah RM470 bilion. Bertemakan “Belanjawan Rakyat”, belanjawan ini adalah belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberikan fokus kepada memacu pertumbuhan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara amnya.
Selari dengan matlamat Kerajaan MADANI, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan merupakan inisiatif penting untuk memperkasakan usahawan di mana Kerajaan menjamin pembiayaan perniagaan untuk mengurangkan risiko kepada institusi kewangan dan membolehkan lebih ramai usahawan mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada institusi-institusi kewangan.
Skim jaminan Kerajaan ini dapat memperluaskan lagi penyertaan dan keupayaan usahawan sektor SME dan mikro, dan seterusnya menyokong pertumbuhan yang inklusif dan mampan dalam keseluruhan ekosistem ekonomi negara. Peruntukan jaminan ini antara lainnya memperkukuh komitmen kerajaan untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui pembiayaan, pendigitalan, dan daya saing global serta mendorong usahawan Bumiputera untuk melonjak ke sektor bernilai tambah tinggi, seiring dengan agenda ekonomi Bumiputera 2026.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad dengan jumlah keseluruhan ditingkatkan kepada 30 bilion ringgit, sejajar matlamat memacu pertumbuhan PKS dan ekonomi MADANI.
Pemerkasaan Bumiputera kekal sebagai fokus utama memastikan penyertaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang saksama dalam kalangan komuniti Bumiputera. Ini merangkumi inisiatif membangun keusahawanan, meningkatkan akses kepada pembiayaan dan memperkukuh kehadiran perniagaan Bumiputera di mana jaminan berjumlah 10 bilion ringgit khas diperuntukkan untuk syarikat Bumiputera.
Bagi memberikan sokongan kepada Industri Halal negara, jaminan pembiayaan PKS halal ditingkatkan kepada 2 bilion ringgit, untuk meluaskan akses modal kepada usahawan industri halal. Manakala syarikat pertengahan (mid-tier companies) yang berorientasikan eksport diberi peruntukan sebanyak 5 bilion ringgit selain perniagaan dalam sektor industri bernilai tinggi turut diperuntukkan jaminan sebanyak 5 bilion ringgit lagi.
Bagi merancakkan ekosistem pelancongan negara, sebanyak 2 bilion ringgit telah diperuntukkan. Kerajaan juga tidak meminggirkan sektor-sektor lain yang turut diperuntukkan sebanyak 6 bilion ringgittermasuk 100 juta ringgit kepada usahawan mikro.
Hadirin sekalian,
Saya dimaklumkan bahawa beberapa usahawan PKS turut hadir bersama kita pada majlis ini. Sebelum ini mereka telah menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan atas sebab cagaran, perniagaan baru atau berisiko tinggi namun dengan bantuan jaminan Kerajaan ini, usahawan tempatan berupaya mengembangkan operasi, melabur dalam teknologi baharu dan mengekalkan perniagaan mereka walaupun dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi. Tidak dapat dinafikan bahawa sektor PKS ini adalah salah satu daripada tulang belakang ekonomi negara kita.
Sejak penubuhan SJPP Berhad pada April 2009 sehingga Disember 2025, SJPP telah berjaya menjamin lebih daripada 85 ribu usahawan PKS dengan pembiayaan melebihi 116 bilion ringgit. Pada tahun 2025 sahaja, lebih 14 ribu PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai 14 bilion ringgit.
SKIM JAMINAN KREDIT PERUMAHAN
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Kerajaan MADANI juga prihatin terhadap cabaran pembiayaan perumahan yang dihadapi oleh golongan tanpa pendapatan tetap untuk memiliki rumah pertama. Mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai rakyat bekerja dalam sektor tidak formal dan menjadi pekerja gig, Kerajaan MADANI, dibawah RMK13, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) diperluas dan diperkukuh bagi membolehkan lebih ramai rakyat dari golongan yang berpendapatan rendah memiliki rumah.
Penambahbaikan pembiayaan dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kadar pemilikan rumah, selaras sasaran sejuta rumah mampu milik (RMM) menjelang 2035. Skop pemilikan rumah turut diperluaskan bersama Skim Sewa untuk Beli (RTO) untuk memberi lebih banyak pilihan pemilikan rumah kepada golongan yang layak.
Bagi membantu golongan yang berpendapatan tidak tetap, Kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2026, meneruskan SJKP dengan jaminan pembiayaan sehingga 20 bilion ringgit untuk pembeli rumah pertama dengan sasaran membantu lebih 80,000 orang melalui jaminan sehingga 120%.
SJKP juga akan memperluas perlindungan kepada kakitangan kontrak dan menawarkan Skim Jaminan Kredit Perumahan MADANI untuk membantu mereka yang tiada pendapatan tetap memiliki rumah melalui institusi kewangan terpilih.
Sejak penubuhan SJKP Berhad pada akhir tahun 2007 sehingga Disember 2025, telah meluluskan jaminan kepada lebih daripada 104 ribu permohonan dengan jumlah pembiayaan sebanyak 25 bilion ringgit. Untuk tahun 2025 sahaja, peruntukan skim dibawah SJKP Berhad ini telah memanfaatkan lebih daripada 27 ribu permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai 7 bilion ringgit telah berjaya diluluskan. Manakala bagi tahun 2023 hingga 2025, seramai 88 ribu pembeli rumah pertama berjaya mencapai Impian mereka dengan jumlah pembiayaan sebanyak 22.8 bilion ringgit.
Hadirin sekalian,
Tahniah kepada SJPP Berhad dan SJKP Berhad serta Prokhas Sdn Bhd yang menguruskan kedua-dua Syarikat ini dalam usaha mereka melaksanakan mandat Kerajaan bagi memastikan pengurusan peruntukan Belanjawan 2026 dengan impak yang maksimum dan mencapai golongan sasaran.
Usaha SJPP dan SJKP dalam melaksanakan dan meningkatkan aktiviti pemasaran, hebahan dan libat urus dengan Kementeriankementerian yang berkaitan, agensi-agensi Kerajaan dan swasta, Kerajaan-kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju-pemaju perumahan, dewan-dewan perniagaan dan pelbagai pertubuhan serta persatuan berbilang kaum dapat meningkatkan lagi capaian bantuan kepada kumpulan sasar dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman kewangan negara.
Pada hari ini kita dapat menyaksikan institusi-institusi kewangan yang menerima anugerah prestasi terbaik atas sokongan mereka terhadap skim-skim jaminan Kerajaan, syabas dan tahniah saya ucapkan. Kepada usahawan-usahawan dan pemilik rumah pertama yang bersama-sama kita pada hari ini, saya ucapkan tahniah dan saya juga merasa bangga kerana anda merupakan bukti keberkesanan inisiatif Kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap rakyat.
Dengan peningkatan jumlah rakyat sebagai penerima manfaat skim-skim jaminan ini, hasrat agenda Kerajaan MADANI melihat lebih ramai rakyat memperolehi manfaat akan tercapai. Pihak institusi kewangan diseru untuk tidak menyempitkan pemilihan PKS dalam sektor-sektor tertentu bagi kelulusan pembiayaan. Bahkan, semua sektor keusahawanan perlu diberi peluang dan dibantu seterusnya meningkatkan ekonomi masyarakat setempat serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan SJPP dan SJKP dan semua institusi kewangan yang mengambil bahagian. Besarlah harapan saya untuk melihat lebih banyak institusi kewangan menyertai skim-skim jaminan ini serta memainkan peranan mereka melalui pelbagai produk dan perkhidmatan mereka dalam menjayakan inisiatif dan hasrat murni Kerajaan.
Dengan itu, sukacitanya saya merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2026 – Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Dan Skim Jaminan Kredit Perumahan.