UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN FELO KORPORAT 2020
11 September 2020, Jumaat | 4.30 petang | Dewan Podium, Menara KBS
YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri KBS;
YB Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri KBS;
Y. Bhg. Dato’ Noor Azman Taib, KSU, KBS
Assalammualaikum wbt dan selamat petang
1. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin-Nya pada hari ini, kita dapat mengadakan Majlis Penyerahan Peserta Program Felo Korporat 2020. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Reezal, Menteri Belia dan Sukan kerana menjemput saya untuk turut bersama dalam majlis ini.
2. Terima kasih juga kepada ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat-syarikat korporat dan wakil-wakil yang turut bersama bagi menjayakan program ini. Sebagaimana yang dinyatakan Dato’ Sri Reezal sebentar tadi, penyertaan daripada syarikat-syarikat adalah pemangkin kepada kejayaan program Felo Korporat. Dan untuk semua peserta Felo Korporat yang terpilih, tahniah saya ucapkan.
Saudara dan saudari yang dihormati,
3. Seperti mana yang kita semua ketahui, COVID-19 telah menggegarkan satu dunia dan memberi kesan secara langsung kepada kesihatan, keselamatan dan ekonomi. IMF menyifatkannya sebagai “the worst economic downturn since the Great Depression”.
4. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac 18 telah memasuki fasa PKP Pemulihan sejak 4 Mei lalu dan kini dipanjangkan sehingga 31 Disember. PKP sememangnya telah meninggalkan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Menurut kajian University of Oxford, PKP Malaysia adalah antara yang paling tegas di rantau ini, tetapi antara yang paling berkesan dalam menjamin kesihatan Rakyat.
5. Kesannya, KDNK Suku Kedua 2020 mencatatkan penguncupan ekonomi sebanyak -17.1%. Namun begitu, jika dilihat secara terperinci penguncupan KDNK telah mengecil dari 28.6% pada bulan April kepada 19.5% pada bulan Mei, apabila ekonomi dibuka semula, dan seterusnya penguncupan yang lebih kecil kepada paras 3.2% pada bulan Jun. Prestasi ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi sedang pulih secara beransur, sejajar dengan pembukaan sektor ekonomi bermula pada bulan Mei yang lalu.
6. InsyaAllah, proses pemulihan ini dijangka berterusan terutamanya dalam tempoh separuh kedua tahun 2020. Menurut Bank Negara Malaysia, prospek pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan 2020 telah disemak semula dan dijangka mencatat antara -5.5% hingga -3.5%.
Manakala pada tahun 2021, ekonomi dijangka berkembang sekitar 5.5% hingga 8%.
7. The point to emphasize here is that projected growth rates for 2021 reflect firm signs of improvement for our economy. However, in order to achieve positive growth next year, we must continue to adhere to the SOPs to contain the COVID-19 pandemic. At the same time, the Government will continue to protect the rakyat and businesses by alleviating cashflow concerns and providing the necessary support.
Saudara dan saudara yang dihormati,
8. Pendirian Kerajaan cukup jelas, rakyat dan nyawa adalah keutamaan. Dan Kerajaan juga faham bahawa salah satu perkara yang akan menjadi tanda tanya di kalangan belia ialah peluang pekerjaan bagi mereka membina kehidupan masing-masing. Atas faktor tersebut, Kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA. Semua inisiatif ini bertujuan untuk memastikan rakyat, perniagaan dan ekonomi mendapat sokongan sewajarnya.
9. Relevan kepada belia, beberapa inisiatif di bawah PENJANA secara amnya dianggarkan akan memberi manfaat kepada kira-kira 3 juta tenaga kerja. Ini termasuk membantu majikan mengekalkan pekerja serta mengambil pekerja baharu. Langkah ini diharapkan dapat membuka peluang jawatan kosong kepada anak muda yang baru menamatkan pengajian.
10. Antara inisiatif yang memberi kesan secara langsung kepada belia ialah Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion; dan Peningkatan kemahiran dan kemampuan diri supaya belia dapat memenuhi keperluan pasaran kerja. Inisiatif tambahan yang disediakan melalui PENJANA ialah peruntukan RM2 bilion untuk tujuan ini. Jadi, jumlahnya ialah RM3.5 bilion.
11. Ringkasnya, pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA dapat membantu merangsang pasaran kerja sekaligus ekonomi negara. Dalam hal ini, kita dapat lihat kadar pengangguran telah berkurangan daripada 5.3% pada bulan Mei kepada 4.9% pada bulan Jun, dan seterusnya 4.7% pada bulan Julai, ekoran pelaksanaan program seperti subsidi upah dan pengekalan pekerja. Alhamdulillah, indikator ekonomi lain juga mencerminkan keadaan ekonomi yang semakin pulih.
Saudara dan saudari yang dihormati,
12. Bagi Belanjawan 2021, Kerajaan tentunya akan mengutamakan golongan belia, sebagai salah satu golongan sasar. InsyaAllah, pelbagai langkah akan dipertimbangkan untuk kelangsungan golongan belia di Malaysia.
13. Sehubungan itu, idea dan maklumbalas daripada anda semua dari golongan belia amat dialu-alukan. Sila kemukakan cadangan melalui laman MOF belanjawan2021.treasury.gov.my. Portal tersebut akan dibuka sehingga 15 September 2020.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Dalam memperkasakan golongan belia, selain dari inisiatif di bawah PRIHATIN dan PENJANA, pelaksanaan program Felo Perdana, Felo Korporat dan program Skim Perantisan Nasional oleh Kementerian Belia dan Sukan diharap dapat membantu usaha menjamin kesejahteraan kelompok belia yang disasarkan.
15. Justeru, marilah sama-sama kita berganding bahu merealisasikan hasrat mulia ini dan pada masa yang sama terus memerangi COVID-19.
16. Sekali lagi, tahniah kepada Felo-felo Korporat. I wish you all the best. Make the most of this opportunity.
17. Wabillahi taufik walhidaya wasalaamualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.