MAJLIS PERASMIAN PENUBUHAN YAYASAN MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN MALAYSIA
Dewan Utama, Kementerian Kewangan
27 Januari 2022
2.30 – 3.30 petang
Ucapan Alu-aluan oleh
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz,
Menteri Kewangan, Selaku Pengasas Bersama Yayasan MySDG
Salutasi
- Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob;
- Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;
- Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah,
Timbalan Menteri Kewangan I;
- Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa,
Timbalan Menteri Kewangan II;
- Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri;
- Tuan Yang Terutama Duta-Duta dan Perwakilan Asing;
- Madam Karima El Korri,
Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam;
- Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Wahid Omar,
Pengerusi Yayasan MySDG;
- Yang Berbahagia Dato’ Asri bin Hamidon,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
- Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MySDG;
- Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan dan warga kerja Kementerian Kewangan;
- Rakan-rakan media;
- Tuan-tuan dan Puan-puan, Keluarga Malaysia yang dikasihi.
Assalamualaikum dan selamat tengah hari kepada anda semua.
Alhamdulillah, izinkan saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa'la atas rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita semua dapat berkumpul pada hari ini untuk menyaksikan dan menyertai majlis perasmian kepada inisiatif yang merupakan antara elemen terpenting dalam agenda pembangunan negara. Sebagai tuan rumah kepada majlis ini, saya amat berbesar hati kerana dapat mengadakan acara yang begitu penting ini, terutamanya susulan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara semenjak beberapa tahun yang lalu.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, rakan-rakan Kabinet, wakil-wakil dari PBB, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MySDG, Duta-Duta dan Perwakilan Asing, dan semua yang hadir pada hari ini.
Usaha ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan oleh Kementerian Kewangan
Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,
- Susulan pemulihan ekonomi pada tahun 2021, Bank Dunia mengunjurkan bahawa pertumbuhan tersebut akan mula berkurang tahun ini akibat ancaman varian baharu COVID-19, peningkatan kadar inflasi, tahap hutang yang meningkat, serta ketidaksamaan agihan pendapatan. Faktor ini juga turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda, serta langkah pengurangan sokongan fiskal dan monetari oleh kerajaan- kerajaan di seluruh dunia. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi global dijangka berkurang dari 5.5 peratus pada 2021, kepada 4.1 peratus pada 2022.
- Bagi Malaysia, selepas hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan memberi penekanan kepada dasar-dasar penyusunan semula, atau policy reforms. Selain indikator ekonomi positif baru-baru ini, unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus akan turut dipacu oleh inisiatif-inisiatif Bajet 2022 yang terus mengembang. Ini termasuklah inisiatif yang mengintegrasikan pelbagai aspek kemampanan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB, atau SDG.
Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,
- Sejak menerajui Kementerian Kewangan pada Mac 2020, saya telah berusaha dalam memastikan bajet tahunan negara dijajarkan sepenuhnya dengan SDG. Kini, setiap program dan projek dipetakan kepada sekurang-kurangnya satu SDG. Inisiatif ini bukan sahaja membolehkan analisis ke atas bajet tahunan dibuat melalui lensa SDG, malah ia dapat mengenal pasti sebarang jurang pembiayaan merentasi semua SDG, dan mengenal pasti sumber yang diperlukan untuk menanganinya.
- Dalam menambah baik tahap ketelusan, MOF kini melaporkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan mengikut SDG dalam dokumen Bajet yang disediakan. Malah, Malaysia adalah salah satu daripada hanya sepuluh negara di dunia yang berbuat demikian.
- MOF juga telah mengambil beberapa langkah tambahan bagi mencapai SDG termasuk:
- Pertama, kejayaan menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar AS pada April tahun lepas, dengan lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, di mana saiz terbitan ditingkatkan dari satu bilion ke 1.3 bilion dolar AS. Selain itu, permintaan yang tinggi ini juga telah memberikan kadar hasil atau pulangan yang sangat kompetitif, serta pengiktirafan global. Bagi tahun ini, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022, Kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian sehingga 10 bilion ringgit untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak;
- Kedua, bekerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa untuk memperkukuh keupayaan pembiayaan negara untuk memenuhi keperluan pembangunan SDG. Salah satu projek yang sedang dijalankan melibatkan kerjasama antara MOF dan UNDP bagi mewujudkan sebuah Rangka Kerja Pembiayaan Nasional Bersepadu untuk pembangunan lestari, di mana ia merangkumi platform untuk inovasi dan pembaharuan, serta kerjasama awam dan swasta; dan
- Ketiga, meningkatkan penggunaan kaedah Perolehan Hijau Kerajaan, atau GGP sejak 2013 untuk menyokong penggunaan produk dan perkhidmatan yang mesra alam. Pada tahun 2020, GGP telah melibatkan 26 kementerian, dengan anggaran nilai berjumlah 590 juta ringgit. Kerajaan akan terus meluaskan inisiatif ini serta menambah baik garis panduan untuk meningkatkan inisiatif hijau sektor awam.
- Saya juga ingin berkongsi kemajuan Malaysia berhubung pembiayaan mampan, yang merupakan pemacu utama kepada agenda kelestarian. Salah satu inisiatif ke arah ini adalah penubuhan Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim, atau JC3 yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Antara usaha JC3 termasuklah pengenalan Taksonomi Berasaskan Prinsip, serta pembangunan Taksonomi SRI, dan pengemas kinian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia pada 2021.
- Kesemua garis panduan tersebut akan meningkatkan peranan institusi kewangan dan pasaran modal dalam pembiayaan ke arah kelestarian. Usaha ini juga telah membantu sektor kewangan dan korporat untuk mengintegrasikan faktor ESG (atau environment, social & governance) dalam penilaian pelaburan mereka.
- Selain itu, di pihak MOF, pelbagai usaha juga telah digerakkan semenjak beberapa tahun yang lalu bagi agenda pembiayaan mampan. Sebagai contoh, MOF merupakan sebahagian dari Gabungan Menteri Kewangan untuk Tindakan Iklim (atau CFMCA) serta telah memberikan komitmen kepada Prinsip Helsinki dalam mempromosikan tindakan iklim negara melalui dasar fiskal dan penggunaan kewangan awam, yang telah disahkan oleh CFMCA.
- Malah, pelbagai pihak di dalam negara, tidak kira agensi Kerajaan mahupun pihak swasta, telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjayakan usaha ke agenda kelestarian. Ini termasuklah:
- pembangunan Voluntary Carbon Market oleh Bursa Malaysia seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022;
- komitmen Bursa Malaysia untuk menjadi neutral karbon pada hujung 2022, dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Syarikat utama minyak dan gas negara, Petronas juga telah mengumumkan komitmen untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050;
- penubuhan Rangkaian Tindakan CEO oleh para pemimpin korporat Malaysia untuk mempercepatkan amalan perniagaan yang lestari, serta menerajui teladan ke arah peralihan kepada ekonomi karbon sifar bersih;
- pengutamaan sektor kewangan negara dalam memberikan pinjaman dan membuat pelaburan bagi inisiatif yang menumpukan pada elemen kelestarian. Malah, Kerajaan menggalakkan sektor perbankan untuk menandatangani Prinsip Perbankan Bertanggungjawab PBB, dan menjadi sebahagian dari Perikatan Perbankan Sifar Bersih.
- komitmen Dana Kekayaan Berdaulat dan Pelabur Institusi negara melalui Prinsip PBB untuk Pelaburan Bertanggungjawab di mana, mereka juga digalakkan untuk menjadi sebahagian dari Perikatan Pemilik Aset Sifar Bersih.
- Secara keseluruhan, semua usaha ini merupakan pendekatan senegara yang akan membuka jalan kepada masa hadapan yang lebih mampan bagi Malaysia. Ia juga akan membangunkan industri kewangan mampan negara yang lebih komprehensif, dan pada masa yang sama, melengkapkan usaha Kerajaan dalam mencapai SDG.
PENUBUHAN YAYASAN MYSDG DENGAN KERJASAMA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU
Tuan–tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,
- Pelbagai dana telah ditubuh dan diuruskan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengatasi isu-isu yang meliputi pembasmian kemiskinan, kebajikan hidupan liar, serta konservasi alam sekitar dan biodiversiti.
- Namun, dana-dana tersebut seringkali berhadapan dengan isu kelangsungan, di mana terdapat kekangan dari segi kewangan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program serta projek dalam jangka masa panjang. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan dana yang lebih berkoordinasi dan bersepadu bagi membiayai program dan projek di negara ini yang berkemungkinan berada di luar cakupan peruntukan tahunan Kerajaan.
- Bagi mengatasi cabaran ini, Kerajaan telah bekerjasama dengan PBB di Malaysia untuk menubuhkan Yayasan SDG Malaysia atau singkatannya Yayasan MySDG berserta dengan Dana Amanah tersebut. Dengan komitmen peruntukan sebanyak 20 juta ringgit oleh Kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang, Dana ini diharap akan menjadi platform untuk menyelaras geran dengan lebih baik daripada pelbagai sumber.
- Ia juga akan merapatkan jurang pembiayaan melalui sumbangan daripada sektor swasta, badan bukan kerajaan (atau NGO), pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) atau individu dari dalam dan luar negara. Ini akan dilaksanakan melalui kaedah yang lebih sistematik dan mampan, serta memastikan ketelusan saluran untuk menyumbang kepada SDG.
- Yayasan ini akan ditadbir oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada individu yang dihormati dalam kalangan sektor awam, penggiat industri, ketua masyarakat sivil serta pakar dalam bidang tertentu. Lembaga berkenaan akan menetapkan keutamaan strategik terhadap Dana ini berdasarkan Tonggak SDG, serta mendapatkan maklum balas dan input awam mengenai projek yang bakal dijalankan. Semua program dan projek di bawah Dana ini juga adalah tertakluk kepada proses pemilihan, pemantauan, pelaporan dan keperluan pengauditan yang teliti dan telus.
- Secara keseluruhan, penderma akan dapat menyumbang dengan lebih yakin, mengetahui bahawa dana mereka akan diuruskan mengikut amalan terbaik antarabangsa, serta disokong oleh tadbir urus yang baik. Mereka juga akan diberi jaminan bahawa sumbangan mereka akan digunakan untuk membiayai program dan projek yang selaras dengan SDG.
PENUTUP
Tuan–tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,
- Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, rakan-rakan Kabinet, wakil-wakil dari PBB, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MySDG, Duta-Duta dan Perwakilan Asing, dan semua yang hadir pada hari ini atas sokongan yang berterusan dalam merealisasikan inisiatif ini.
- Saya yakin dan percaya bahawa Yayasan MySDG akan ditadbir dengan penuh amanah, serta tanggungjawab fidusiari akan dilaksanakan dengan efektif ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030, Insyaallah.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahamatullahiwabarakatuh.