Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Sesi Penerangan Menteri Kewangan Di Dewan Rakyat Mengenai Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi

Sesi Penerangan Menteri Kewangan Di Dewan Rakyat Mengenai Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi

MUKADIMAH

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Datuk Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi.

2. Syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, kerana dengan izinNya, saya diberi kesempatan untuk berdiri, bersua muka dan dapat bersama-sama dengan Ahli-ahli Yang Berhormat semua

3. Mengikuti perbahasan sepanjang empat hari semasa sidang khas di Parlimen kali ini, saya dengan penuh rendah diri dan bertanggungjawab akan membentangkan langkah dan strategi bagi semua pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan sebelum ini..

Datuk Yang Dipertua,

4. Kira-kira 500 hari yang lalu, negara mula menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan susulan menularnya wabak COVID-19. Sejak itu pelbagai episod dan pengajaran telah kita lalui. Peperangan ini bukanlah mudah, musuh tidak statik, malah hari ini berubah menjadi lebih agresif. Kita telah hadapi setiap cabaran dengan cekal, merumuskan strategi untuk melindungi nyawa rakyat, mempertahankan ekonomi – dengan izin, to ensure the very survival of this nation – demi memastikan negara kita tidak rebah tewas disebabkan pandemik ini.

5. Maka, respon Kerajaan dalam peperangan mencabar ini ialah merumuskan tidak kurang dari LAPAN pakej stimulus ekonomi dan bantuan rakyat, ditambah pula dengan belanjawan terbesar dalam sejarah negara iaitu Belanjawan 2021 bernilai 322.5 bilion ringgit, untuk memastikan setiap lapisan rakyat kita terbela nasib mereka – dari Sabah, Sarawak ke Semenanjung; memperkasa sistem kesihatan awam, menyokong kelangsungan perniagaan dan memastikan ekonomi kita terus bertahan walau digasak teruk oleh COVID-19.

6. Yang Berhormat semua, kegawatan ekonomi global tahun lalu dikatakan adalah yang paling teruk sejak Perang Dunia ke-2. Banyak negara merudum jatuh pasaran dan kewangannya. Syukur, negara telah melalui badai tahun lalu dengan selamat, walau terpukul dan tercalar tetapi belum rebah dan jauh sekali dari kalah. Kesejahteraan ekonomi kita adalah penting dalam peperangan mengatasi COVID-19, kerana tanpa ketahanan ekonomi kita tidak akan mampu menjana kekuatan dana dan sumber untuk terus melawan pandemik ini.

7.Kerajaan telahpun bersiap siaga dan kini giat menggerakkan strategi negara untuk melangkah ke hadapan, berpegang kepada empat elemen utama iaitu:

  • Pertama, melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai usaha mengurangkan penularan wabak;
  • Kedua, memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK bagi membina ketahanan diri;
  • Ketiga, memperkenalkan Pakej-pakej Bantuan dan Rangsangan Ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan memulih semula ekonomi; dan
  • Keempat, memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara atau PPN sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada krisis COVID-19.

Penguatkuasaan PKP, program imunisasi dan pakej bantuan ini saling lengkap melengkapi satu sama lain. Saya ingin tegaskan vaksinasi adalah kunci utama kejayaan kepada pemulihan negara

8. Seperti yang telah dijelaskan pada hari pertama sidang, Pelan Pemulihan Negara mengguna pakai pendekatan ‘Seluruh Negara’ atau dengan izin “whole-of-nation approach” dalam menangani krisis wabak ini dengan menggembleng usaha semua pihak termasuk kerajaan negeri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, pakar-pakar malah kerjasama dengan parti-parti politik

9. Rakan-rakan sekerja saya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telahpun memberi penerangan mengenai aspek kesihatan dan program vaksinasi kebangsaan. Hari ini, saya pula akan memberi penerangan mengenai kesemua pakej rangsangan dan bantuan yang telah Kerajaan laksanakan setakat ini.

10. Sehingga kini, Kerajaan telah mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai 530 bilion ringgit sejak wabak COVID-19 melanda negara. Pada tahun 2020 sahaja, pakej yang dilaksanakan bernilai 305 bilion ringgit atau 22.7 peratus daripada KDNK. Ini merupakan antara kadar terbesar berbanding pakej-pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

11. Saya akui, cabaran terbesar kita dalam menangani krisis ini ialah mengimbangi pelbagai keperluan dengan sumber kewangan negara yang terhad. Kami perlu mengimbangi antara menyelamat nyawa dan melindungi mata pencarian, antara pelbagai keperluan sektor dan perusahaan, dan pastinya mengimbangi keperluan mendesak hari ini dan menjaga kepentingan generasi akan datang.

12. Sehabis mungkin kami di Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan kewajaran sesuatu perkara sebelum meluluskan sebarang peruntukan

13. Kami akan cuba mencari penyelesaian yang paling optimum bagi krisis ini supaya masa depan negara tercinta ini terus terpelihara serta kedudukan ekonomi dan fiskal Kerajaan masih stabil apabila kita keluar dari kancah krisis ini kelak, insha-Allah.

Datuk Yang Dipertua,

14. Penerangan saya pada hari ini akan memperincikan inisiatif-inisiatif utama yang terkandung di bawah semua pakej yang telah dilaksanakan dari kacamata tiga aspek iaitu:

  • Pertama: Melindungi Nyawa Melalui Pengukuhan Sistem Kesihatan Awam dan Vaksinasi Kebangsaan;
  • Kedua: Melindungi Rakyat; dan
  • Ketiga: Menjamin Kelangsungan Perniagaan.

15. Di samping itu, saya juga akan menjelaskan kesan kepada ekonomi dan apakah kedudukan kewangan semasa dalam tempoh kita menghadapi krisis ini

PERTAMA: MELINDUNGI NYAWA MELALUI PENGUKUHAN SISTEM KESIHATAN AWAM DAN VAKSINASI KEBANGSAAN

Datuk Yang Dipertua,

Agenda utama Kerajaan sejak awal penularan wabak COVID-19 adalah untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin. Sehubungan itu, ia mesti disokong melalui sistem kesihatan awam yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman kesihatan, berada pada kapasiti optimum dan berfungsi pada tahap yang terbaik.

Mengoptimum Keupayaan Sistem Kesihatan Awam

17. Untuk itu, Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM, selaku institusi yang menerajui segenap aspek berkaitan kesihatan awam telah dibekalkan peruntukan khas lebih 3.7 bilion ringgit khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19, tidak termasuk perolehan vaksin. Antaranya: di bawah pakej PRIHATIN sebanyak 1.6 bilion ringgit telah diperuntukkan; di bawah Belanjawan 2021 sebanyak 1.4 bilion ringgit, manakala peruntukan tambahan lebih 500 juta ringgit telah dibuat bawah pakej PEMERKASA Tambahan. Malah, Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan khas kepada semua negeri bagi menangani wabak COVID-19 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 260 juta ringgit.

18. Kesemua perbelanjaan ini adalah untuk pembelian kit ujian saringan, kos logistik berkaitan vaksin, meningkatkan kapasiti peralatan kesihatan dan perubatan serta wad ICU, dan juga menampung perbelanjaan elaun khas kepada sukarelawan kesihatan.

19. Sehubungan itu, Kerajaan amat menghargai peranan petugas barisan hadapan kesihatan atau frontliners yang terus berjuang memastikan operasi perkhidmatan kesihatan awam negara tidak lumpuh saat mengendalikan krisis ini.

20. Di bawah pakej PERMAI, sejumlah 150 juta ringgit diperuntukkan antaranya untuk menambah seramai lebih 3,500 petugas kesihatan untuk KKM. Kerajaan juga telah bersetuju memperuntukkan 1.2 bilion ringgit bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14 ribu pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada. Di samping itu, kita juga melantik semula secara kontrak lebih 500 petugas kesihatan yang telah bersara wajib.

21. Saya juga ingin memaklumkan, atas dasar keprihatinan Kerajaan kepada frontliners, elaun khas petugas kesihatan di PPV turut diselaras kepada 600 ringgit. Secara keseluruhan, Kerajaan telah memperuntukkan lebih 300 juta ringgit bagi tujuan ini.

22. Kerajaan juga telah mengadakan kerjasama dengan institusi kesihatan swasta untuk menerima pesakit COVID-19 yang dipindahkan dari hospital awam, serta turut membenarkan klinik dan hospital swasta berfungsi sebagai pusat pemberian vaksin. Selain bekalan vaksin diagihkan secara percuma, setakat ini Kerajaan telah memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program penyumber luaran program imunisasi dengan kerjasama pihak perubatan swasta.

Program vaksinasi kunci utama kejayaan melawan COVID-19

Datuk Yang Dipertua,

23. Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, program vaksinasi kebangsaan kita merupakan kunci utama kejayaan kita melawan COVID-19. Kerajaan telah memperkasa usaha di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK bagi memastikan kejayaan proses vaksinasi seperti yang kita saksikan hari ini.

24. Secara puratanya lebih 400 ribu dos telah berjaya dilaksanakan setiap hari. Malah, kita pernah mencecah lebih 550,000 dos sehari. Peningkatan kadar vaksinasi ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak. Insha-Allah, Kerajaan menyasarkan imunisasi 100 peratus populasi dewasa menjelang akhir Oktober nanti. Inilah sasaran terpenting dalam memastikan kejayaan pelan pemulihan negara.

25. Dari segi perbelanjaan, Kerajaan telah memperuntukkan 3.9 bilion ringgit bagi perolehan bekalan vaksin yang telah ditandatangani kontrak sebanyak 79.9 juta dos. Kita juga amat menghargai sumbangan sebanyak 2.9 juta dos vaksin daripada negara Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom.

26. Berkenaan perolehan vaksin pula, baru semalam saya telah bertemu ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (atau PAC) untuk memberi penjelasan secara terperinci mengenai ketelusan proses perolehan vaksin COVID-19.

KEDUA: MELINDUNGI RAKYAT

Datuk Yang Dipertua,

27. Aspek kedua dalam inisiatif utama pakej-pakej bantuan adalah Melindungi Rakyat. Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi mengenai kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Suara dan keluhan rakyat terus didengari dan menjadi panduan kepada inisiatif-inisiatif pakej bantuan Kerajaan.

28. Golongan B40 dan kumpulan rentan sentiasa diberi tumpuan dalam semua pakej rangsangan Kerajaan kerana merekalah yang paling terkesan daripada langkah penutupan ekonomi.

29. Malah, impaknya turut dirasai golongan M40. Oleh itu, Kerajaan perlu mengubah suai bantuan-bantuan yang diberikan mengikut keadaan dan golongan yang terkesan. Namun, Kerajaan akan memastikan kumpulan rentan dan B40 tetap menerima bantuan yang lebih banyak secara berterusan. Di samping bantuan langsung yang diberikan melalui pakej-pakej yang dilaksanakan, mereka juga menikmati pelbagai subsidi barangan keperluan, diskaun dan kemudahan lain.

Bantuan Tunai Langsung

30. Saya mulakan dengan program bantuan tunai kepada rakyat yang merupakan antara inisiatif utama dan terbesar. Pada tahun lalu, di bawah pakej PRIHATIN, Kerajaan telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional atau BPN yang berjumlah 18 bilion ringgit yang memanfaatkan 11 juta penerima. Inilah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara. Buat pertama kalinya juga, Kerajaan turut membantu isi rumah M40 yang telah turut terkesan dengan pelaksanaan PKP pada tahun lepas. Bantuan BPN telah banyak memberi kelegaan kepada rakyat malah ada juga yang menggunakannya sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan.

31. Kini, di bawah pakej PEMULIH, Kerajaan terus membantu rakyat kumpulan B40 dan M40 melalui tiga lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan. Bayaran di dalam separuh kedua tahun 2021 di bawah ketiga-tiga program ini bernilai 10 bilion ringgit.

32. Insha-Allah setiap bulan mulai bulan Julai hinggalah Disember, bantuan Kerajaan adalah berterusan bagi mengurangkan kos sara hidup mereka. Izinkan saya memberi penjelasan seperti berikut:

  • Pertama: Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR merupakan sebuah inisiatif bantuan tunai dengan kadar antara 450 hingga 2,300 ringgit untuk 8.4 juta penerima B40;
  • Kedua: Bantuan Khas COVID-19 atau BKC adalah bantuan tunai secara one-off di bawah pakej PEMULIH untuk manfaat 11.4 juta penerima. Antara ciri keistimewaan BKC adalah, penerima BPR sedia ada akan layak secara automatik dan ia turut dinikmati oleh kumpulan M40. Insha-Allah, BKC pada kadar antara 250 hingga 1,300 ringgit akan mula disalurkan pada bulan Ogos, November dan Disember; dan
  • Ketiga: Bantuan Kehilangan Pendapatan yang berjumlah 500 ringgit akan diberikan kepada mana-mana individu yang telah diberhentikan kerja atau tiada lagi caruman di KWSP ataupun PERKESO, sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut sepanjang tahun 2021. Pembayaran akan dibuat pada bulan Oktober nanti.

Program Bakul Makanan

33. Dengan penguatkuasaan PKP dalam tempoh yang panjang, kami sedar akan kepayahan golongan rentan untuk mendapatkan bekalan makanan perlu. Oleh itu, selain bantuan kewangan tunai, antara inisiatif yang sedang rancak dijalankan pada masa ini ialah program bantuan Bakul Makanan. Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah lebih 200 juta ringgit untuk program bantuan Bakul Makanan yang telah diagihkan seperti berikut:

  • Pertama: Bantuan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen, dengan peruntukan 300 ribu ringgit bagi setiap kawasan Parlimen. Di sini, saya ingin mengucapkan tanda penghargaan kepada kebanyakan Ahli Yang Berhormat yang turut menggunakan dana sendiri dan jentera masing-masing untuk mengedar bakul makanan kepada rakyat;
  • Kedua: Bantuan melibatkan kerjasama NGO yang dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara program yang dijalankan adalah Bakul Makanan bawah pakej PERMAI yang menyampaikan lebih 430,000 pek makanan, dan yang terkini, program Bakul Prihatin Negara dan program Prihatin Kasih berjumlah 100 juta ringgit dengan tumpuan kepada golongan miskin bandar;
  • Ketiga: Bantuan melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli atau JAKOA yang membantu menyediakan bakul makanan kepada lebih 50 ribu isi rumah masyarakat Orang Asli.

34. Kerajaan melihat program ini benar-benar dirasai dan dihargai oleh rakyat. Terdapat banyak permintaan supaya program seumpama ini dapat diteruskan dan kita sedia mempertimbangkan di masa terdekat.

Inisiatif Kepada Golongan Sasar

Datuk Yang Dipertua,

35. Selain segmen rakyat yang terbesar di bawah kumpulan B40 dan M40, Kerajaan juga membantu golongan sasar yang tertentu.

36. Bagi golongan belia, Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia yang merupakan sebuah inisiatif kredit e-tunai bernilai 150 ringgit untuk manfaat 2 juta belia. Di samping itu, sebuah skim pembiayaan PEMERKASA Belia telah disediakan melalui BSN dengan kadar serendah 3 peratus bagi membolehkan belia mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit sebagai modal untuk memulakan perniagaan.

37. Seterusnya kepada adik-adik pelajar, bagi menyokong sesi PdPR yang dijalankan, Kerajaan telah melaksanakan inisiatif Jaringan Prihatin bernilai 3.5 bilion ringgit, di mana lebih 1 juta keluarga telah menerima manfaat sebanyak 300 ringgit subsidi bagi pembelian peranti pintar dan hampir 1.5 juta menerima subsidi pelan data berjumlah 180 ringgit. Kerajaan juga bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi telah bersetuju melanjutkan pemberian satu gigabit data internet harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

38. Kita juga tidak lupakan golongan wanita dan ibu tunggal. Apakah pula bantuan yang mereka terima? Di sini, saya ingin memberi sedikit gambaran mudah. Contohnya, seorang ibu tunggal yang berpendapatan di bawah 1,200 ringgit dan telah kehilangan pekerjaan serta perlu menyara 2 orang anak. Hakikatnya beliau layak menerima bantuan BPR, bakul makanan, elaun mencari pekerjaan, diskaun bil elektrik, bantuan JKM bagi kategori bantuan kanak-kanak keluarga miskin dan layak untuk mendapatkan kemudahan Jaringan Prihatin iaitu rebat 300 ringgit bagi pembelian telefon. Dianggarkan ibu tunggal ini boleh mendapat bantuan berjumlah 10,400 ringgit sehingga hujung tahun ini.

39. Berikut pula adalah kumpulan pencari kerja dan pelatih. Di bawah Belanjawan 2021, iaitu program PenjanaKerjaya, Kerajaan telah memperuntukkan 2 bilion ringgit untuk inisiatif pengambilan pekerja. Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mencipta 500,000 ribu peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri. Setakat ini, gerak kerja di bawah Majlis Pekerjaan Negara telah menghasilkan hampir 320 ribu peluang pekerjaan.

40. Sehubungan itu, Short Term Employment Programme atau MySTEP mensasarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak di pelbagai Kementerian dan Agensi serta Syarikat Berkaitan Kerajaan. Setakat 30 Jun 2021, seramai lebih 39,300 orang atau bersamaan 79 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP yang menawarkan gaji antara 1,400 hingga 2,000 ringgit sebulan.

41. Di bawah inisiatif PenjanaKerjaya 2.0, lebih 141 ribu orang telah berjaya diambil bekerja. Semasa pengumuman pakej PEMULIH, PenjanaKerjaya 3.0 telah diperkenalkan dengan beberapa penambahbaikan antaranya mengurangkan had kelayakan gaji bagi program Malaysianisation dan pelonggaran tempoh kontrak penggajian bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan.

42. Tidak dilupakan kepada kumpulan tertentu seperti pemandu bas, pemandu teksi, imam, bilal, pengusaha kantin di sekolah, pengusaha tadika dan pengusaha pusat sukan juga turut menerima bantuan khas secara one-off antara 500 hingga 3,000 ringgit.

43. Ingin saya nyatakan, untuk rakyat secara umumnya, Kerajaan komited untuk terus memastikan rakyat Malaysia menikmati subsidi bahan api untuk pengisian petrol kenderaan, minyak masak dan tong gas LPG, di samping layak menikmati diskaun bil elektrik selama 3 bulan mulai bil bulan ini sehingga September nanti. Malah ramai yang mungkin tidak sedar, Kerajaan juga telah menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi individu M40; serta had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada 2,500 ringgit kepada 3,000 ringgit.

44. Seterusnya berkaitan program i-Citra dan penangguhan 6 bulan moratorium pinjaman. Insha-Allah, bayaran pertama i-Citra akan dikreditkan kepada akaun bank ahli pada Selasa hadapan iaitu mulai 3 Ogos nanti. Ini dijangka memanfaatkan seramai 4 juta ahli KWSP. Manakala bagi moratorium pula, permohonan telahpun dibuka awal bulan in

45. Saya ambil kesempatan ini untuk menyarankan sesiapa yang menghadapi sebarang masalah dalam mendapatkan moratorium pinjaman untuk menghubungi BNM-TELELINK atau mendapatkan khidmat nasihat dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit AKPK bagi menguruskan aliran tunai mereka. KWSP juga membuka hotline i-Citra untuk membolehkan ahli KWSP mendapatkan sebarang penjelasan.

46. Selain daripada moratorium pinjaman bank, pemegang polisi insurans dan takaful juga akan layak untuk menikmati manfaat daripada inisiatif penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Selain itu, tidak dilupakan, Kerajaan juga melaksanakan penangguhan pinjaman pelajaran secara bersasar melibatkan JPA, MARA, PTPK dan PTPTN.

47. Sebenarnya Datuk Yang Dipertua, banyak lagi bantuan-bantuan lain yang berbentuk tunai dan bukan kewangan yang telah disalurkan oleh Kerajaan kepada rakyat sepanjang mengharungi pandemik COVID-19 ini. Di samping itu, terdapat juga bantuan-bantuan yang terus tersedia melalui Kerajaan Negeri dan Pusat-pusat Zakat Negeri untuk dimanfaatkan rakyat yang memerlukan. Kerajaan terus berusaha untuk memastikan tiada golongan masyarakat tercicir seperti mana ungkapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dengan izin, no one is left behind.

KETIGA: MENJAMIN KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

Datuk Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

48. Aspek ketiga berkaitan pakej bantuan adalah tentang kelangsungan perniagaan. Sejak dari awal lagi. Bila pakej-pakej ini diumumkan, Kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka yang giat menceburi arena perniagaan, apatah lagi kini mereka sedang bergelut dengan kekangan aliran tunai akibat penutupan sektor-sektor ekonomi. Kerajaan sedar bahawa para usahawan mempunyai pelbagai komitmen seperti bil-bil, sewa dan gaji pekerja yang perlu dibayar. Oleh kerana itu, bantuan yang berterusan telah dan sedang dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan dan melonjakkan kembali perniagaan mereka.

Kelangsungan PKS

49. Pengusaha mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (atau PKS) merupakan sumber utama pendapatan rakyat dan tulang belakang kepada ekonomi negara. Menurut data rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2020, PKS menyumbang sebanyak 38.2 peratus daripada KDNK negara manakala 48 peratus daripada pekerja di Malaysia berada dalam sektor PKS. Ini belum mengambil kira mereka yang beroperasi dalam sektor informal.

50. Oleh itu, bagi menjamin kelangsungan hidup PKS, Kerajaan telah bersetuju untuk menampung sebahagian gaji pekerja melalui Program Subsidi Upah atau PSU. Program ini telah mendapat sambutan baik dari golongan majikan. Dengan adanya PSU, PKS yang mengalami pengurangan pendapatan akibat COVID-19 akan diberi subsidi upah sebanyak 600 ringgit sebulan untuk setiap pekerja, dengan had 500 pekerja setiap PKS. Sesebuah PKS dengan 500 orang pekerja boleh menikmati jumlah subsidi sehingga 300 ribu ringgit sebulan sepanjang tempoh program ini.

51. Untuk makluman, Kerajaan telah memperuntukkan hampir 20 bilion ringgit untuk PSU, dan setakat ini 15.6 bilion ringgit telah disalurkan untuk memanfaatkan lebih 330 ribu majikan dan menyelamatkan 2.8 juta pekerja daripada kehilangan pekerjaan. Melalui PEMULIH yang diumum baru-baru ini, Kerajaan berjanji akan terus memberikan manfaat PSU kepada PKS-PKS yang terkesan sehingga keadaan kembali pulih dan mereka boleh beroperasi semula seperti biasa.

52. Langkah pemulihan PKS turut disokong oleh pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan di bawah PRIHATIN yang bermula dari April sehingga September 2020, disusuli dengan bantuan bayaran balik secara bersasar yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2021 dan PEMULIH baru-baru ini. Pelaksanaan moratorium ini secara asasnya bertujuan memberi talian hayat kepada PKS yang terjejas untuk melegakan kekangan aliran tunai dan dapat terus bertahan.

53. Bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai nilai bantuan serta sokongan yang boleh dimanfaatkan oleh PKS di bawah pakej-pakej ini, izinkan saya memberi contoh manfaat yang diterima oleh sebuah syarikat pengedar peralatan sukan yang mempunyai seramai 35 orang pekerja. Disebabkan oleh penutupan sektor ekonomi berikutan COVID19, mereka tidak dapat beroperasi sehingga menyebabkan kerugian. Oleh itu, mereka dikira layak untuk menerima bantuan seperti PSU, penangguhan levi dan moratorium pinjaman yang dianggarkan berjumlah 370 ribu ringgit bagi sepanjang tahun ini. Tambahan lagi,sekiranya syarikat ingin mendapatkan pembiayaan baru ia boleh meminjam sehingga 50 ribu ringgit di bawah skim PEMERKASA yang ditawarkan oleh BSN.

Sokongan Kepada Usahawan Mikro

Datuk Yang Dipertua,

54. Kerajaan juga memahami denyut nadi para usahawan mikro yang terjejas dengan krisis ekonomi yang melanda negara hari ini. Mereka inilah peniaga kecil aneka juadah, merekalah tukang gunting rambut kita, merekalah yang menjahit pakaian kita.

55. Kebanyakan usahawan mikro mengharapkan jualan harian untuk terus hidup, dan tidak mempunyai dana perniagaan yang besar. Mereka adalah kelompok yang cukup terkesan dan wajar terus dibantu.

56. Sebagai usaha untuk meringankan beban kewangan mereka, Kerajaan telah memperkenalkan tahun lalu, Geran Khas Prihatin (GKP), iaitu satu geran tunai khas yang diberi secara langsung kepada perusahaan mikro yang layak. GKP dapat memberi kelegaan kepada usahawan mikro dalam mengharungi rintangan ketika ini. Jika dikira bermula dari GKP 1.0 tahun lalu sehingga yang terkini di bawah PEMULIH, jumlah keseluruhan GKP yang telah dan akan disalurkan adalah 6.1 bilion ringgit, di mana setiap usahawan mikro yang layak boleh mendapat bantuan sehingga 6,500 ringgit.

57 Kerajaan turut menyediakan pembiayaan mikrokredit melalui pelbagai agensi Kerajaan antaranya BSN, TEKUN Nasional dan Agrobank. Kerajaan faham keperluan mendesak peniaga, maka telah sedaya upaya memudahkan prosedur permohonan dan kelulusan bagi setiap pemohon.

58. Saya ingin berkongsi kisah sebuah usahawan mikro yang menjalankan perniagaan gunting rambut dengan pekerja seramai 3 orang dan kini menyewa premis dimiliki MARA. Oleh kerana pelaksanaan PKP, mereka telah menanggung kerugian dan sedang berjuang untuk terus beroperasi. Pengusaha sebegini layak untuk menerima bantuan seperti PSU, GKP, penangguhan sewa premis serta moratorium pinjaman dengan nilai keseluruhan sehingga 75 ribu ringgit sepanjang tahun ini. Ini belum lagi mengambil kira skim pembiayaan mikro kredit yang layak dipohon oleh mereka.

59. Selain daripada bantuan-bantuan kepada PKS dan usahawan mikro yang disebutkan tadi, Kerajaan juga menyediakan dana bantuan khas kepada sektor tertentu seperti pengusaha di sektor pelancongan, pertanian, pengangkutan dan beberapa lagi bagi membantu mereka untuk beroperasi semula setelah keadaan kembali pulih. Keputusan bagi melaksanakan bantuan khas ini dibuat memandangkan kumpulan PKS ini antara yang terjejas teruk setelah berbulan-bulan tidak dibenarkan beroperasi.

KESAN KRISIS KE ATAS EKONOMI DAN KEWANGAN KERAJAAN

Datuk Yang Dipertua,

60. Seterusnya saya ingin menghuraikan mengenai prestasi ekonomi dan kedudukan semasa kewangan Kerajaan Persekutuan. Berikutan langkah penutupan ekonomi, KDNK negara telah menguncup sebanyak 5.6 peratus tahun lalu. Malah bukan hanya Malaysia yang terkesan, tetapi banyak negara lain seluruh dunia juga mengalami kemelesetan ekonomi seperti beberapa contoh: Singapura yang menjunam 5.4 peratus, United Kingdom mencatatkan pertumbuhan negatif 9.8 peratus, Jepun negatif 4.7 peratus dan Filipina negatif 9.6 peratus.

61. Namun, setelah kita lebih memahami kesan wabak berkenaan, kita telah melaksanakan PKP yang lebih bersasar. Ini membolehkan aktiviti ekonomi terpilih untuk terus berjalan, sekali gus memberi kelegaan untuk rakyat keluar mencari rezeki di samping mengurangkan tekanan ke atas beban kewangan Kerajaan supaya dapat terus memberi bantuan.

Prestasi Ekonomi Semasa

62. Dengan pelaksanaan PKP 3.0 baru-baru ini, negara telah mengalami kerugian KDNK sebanyak kira-kira 1.1 bilion ringgit sehari, berbanding dengan kerugian sebanyak kira-kira 2.4 bilion ringgit sehari sewaktu PKP penuh pada Mac tahun lalu. Oleh itu, KDNK pada tahun 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding anggaran awal sebelum ini, iaitu antara 6 hingga 7.5 peratus. Anggaran rasmi akan diumumkan pada bulan Ogos bersama laporan suku kedua KDNK nanti, di mana kesan PKP dan pelaksanaan PPN ke atas ekonomi pada separuh pertama tahun ini akan dapat dilihat sepenuhnya.

63. Sudah tentu krisis ini juga memberi kesan kepada pasaran buruh kita. Walau bagaimana pun, kadar pengangguran telah menyederhana kepada 4.5 peratus pada Mei tahun ini berbanding 5.3 peratus setahun yang lepas, iaitu kadar tertinggi sejak tahun 1990. Alhamdulillah, dengan membenarkan sektor ekonomi dibuka secara bersasar dan disokong dengan bantuan-bantuan yang telah saya sampaikan tadi; kita berjaya mengelak daripada kadar pengangguran naik dengan mendadak dan lebih ramai lagi pekerja diberhentikan. Malah, sejak bulan Oktober yang lepas, tawaran untuk pekerja mahir telah mula meningkat hasil program-program Kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti.

Pengukuhan Kedudukan Kewangan Kerajaan

Datuk Yang Dipertua,

64. Dari segi kedudukan kewangan, Bajet 2021 telah dibentangkan dengan unjuran defisit fiskal sebanyak 5.4 peratus kepada KDNK. Setelah mengambil kira gelombang COVID-19 pada awal tahun 2021 serta pelaksanaan PPN Fasa 1 sejak awal Jun, Kerajaan telah melaksanakan pakej bantuan tambahan iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH. Pertambahan ini dijangka meningkatkan defisit fiskal antara 6.5 hingga 7.0 peratus kepada KDNK tahun ini.

65. Saya ingin menekankan bahawa peningkatan ini bukanlah asing bagi negara kita. Berdasarkan data dari Tabung Kewangan Antarabangsa, atau IMF, dalam memerangi wabak COVID-19, kebanyakan Kerajaan di seluruh dunia telah memperuntukkan lebih dari 16.5 trilion dolar Amerika dalam bentuk perbelanjaan fiskal. Ini telah menyebabkan purata defisit keseluruhan kepada KDNK untuk tahun ini akan mencecah 9.9 peratus bagi negara maju, 7.1 peratus bagi negara membangun dan 5.2 peratus bagi negara berpendapatan rendah. Oleh itu, purata nisbah hutang kepada KDNK dunia juga dijangka meningkat sehingga 98.8 peratus tahun ini.

66. Bagi memastikan ketelusan perbelanjaan sepanjang krisis pandemik ini, Kumpulan Wang COVID-19 atau KWC-19 telah ditubuhkan di bawah Akta 830, dan diluluskan oleh Parlimen pada tahun lalu. Peruntukan KWC-19 yang dibiayai oleh pinjaman Kerajaan telah digunakan untuk perbelanjaan pakej-pakej bantuan, serta perbelanjaan tambahan bagi menambah baik sektor kesihatan awam dan pelaksanaan PICK. Program-program kebajikan rakyat seperti subsidi upah, GKP, BPN, BPR dan sebagainya disalurkan melalui KWC-19. Setakat 30 Jun 2021, sejumlah 55 bilion ringgit telah dibelanjakan, di mana 38 bilion ringgit dibelanjakan tahun lalu.

Datuk Yang Dipertua,

67. Sehingga akhir Jun tahun ini, paras hutang statutori telahpun mencecah 56.8 peratus, namun ia masih di bawah had statutori 60 peratus KDNK yang dibenarkan. Dengan ruang fiskal yang terhad, Kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan, peningkatan hasil daripada ekosistem Kerajaan termasuk penggunaan dana KWAN serta bersedia meningkatkan had siling KWC-19. Dalam masa yang sama, Kerajaan bersedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara. Oleh itu, Kerajaan akan mengusulkan di dalam Dewan yang mulia ini cadangan pindaan tersebut pada penggal akan datang.

68.Memandang ke hadapan, langkah-langkah bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan, terutamanya langkah berkaitan hasil adalah amat penting demi memastikan kedudukan kewangan Kerajaan kembali kukuh dan berdaya tahan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang. Sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, kita berada di atas landasan pengukuhan fiskal yang konsisten sejak negara beralih keluar dari krisis kewangan global pada tahun 2009, di mana defisit kita dikurangkan dari 6.7 peratus kepada 3.4 peratus pada 2019, sebelum meningkat semula kepada 6.2 peratus pada tahun 2020.

69. Oleh itu, setelah ekonomi kembali pulih, Kerajaan akan melaksanakan langkah konsolidasi dan pengukuhan kedudukan fiskal kerajaan termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal Kerajaan. Pengenalan Strategi Hasil Jangka Sederhana merupakan salah satu langkah bagi memastikan kutipan hasil mampu membiayai perbelanjaan Kerajaan. Selain itu, Akta Tanggungjawab Fiskal juga sedang digubal bagi menambah baik tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara. Namun, Kerajaan memberi komitmen tidak akan memperkenalkan sebarang pembaharuan fiskal selagi ekonomi belum stabil

Pelan Pemulihan Negara Sebagai Strategi Peralihan Keluar daripada Krisis COVID-19

Datuk Yang Dipertua,

70. Seperti yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa sesi penerangan Pelan Pemulihan Negara tempoh hari, PPN merupakan strategi peralihan keluar dari krisis COVID-19 secara berfasa, teratur dan selamat. PPN mengambil pendekatan seluruh negara yang bersifat dinamik serta disokong oleh fakta-fakta sains dan penilaian indikator. Sebagai sebuah pelan yang berpandangan ke hadapan dan anjal (agile), ia bertujuan untuk memastikan keseimbangan dalam usaha kita menyelamat nyawa, memastikan kelangsungan hidup rakyat dan memelihara kesejahteraan ekonomi.

71. Sukacita saya ingin maklumkan di sini bahawa, Portal Pelan Pemulihan Negara telahpun dilancarkan pada hari Isnin lalu. Seluruh rakyat Malaysia kini boleh melayari laman sesawang https://pelanpemulihannegara.gov.my/ yang akan memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat pakej-pakej bantuan dan juga pelaksanaan SOP terkini.

72.Seterusnya, kesinambungan PPN akan diadun dan disusuli dengan usaha pemulihan dan pemerkasaan melalui Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, yang bakal dibentangkan di hadapan semua Ahli Dewan serta seluruh rakyat Malaysia dalam masa beberapa bulan akan datang.

Pemantauan Pakej Rangsangan Ekonomi oleh LAKSANA

Datuk Yang Dipertua,

73. Ingin saya tegaskan, kita tidak hanya mahu gah dengan pengumuman semata-mata tetapi juga ingin mencapai outcome dari pakej-pakej bantuan ini. Oleh itu, sebagai bukti bahawa Kerajaan serius dalam memastikan bantuan-bantuan ini segera sampai kepada rakyat, Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional atau LAKSANA telah ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan. LAKSANA akan bertindak sebagai pemudahcara dan pemantau rapi pelaksanaan inisiatif serta bantuan yang diumumkan di bawah semua pakej-pakej rangsangan dan Bajet Negara.

74. LAKSANA menyegera dan memantau pelaksanaan dengan mewujudkan koordinasi strategik dan bersepadu di antara 53 Kementerian dan Agensi bertujuan memudahkan tatacara, mengurangkan birokrasi serta membolehkan perkongsian data bagi melaksanakan semak silang maklumat penerima dan sebagainya. Alhamdulillah, berkat usaha ini, Kerajaan mampu bergerak dengan lebih pantas bagi membantu mereka yang terkesan.

75. Bukan itu sahaja, Kementerian Kewangan juga telah menyediakan ruang yang luas kepada rakyat memberikan maklum balas melalui beberapa saluran seperti pusat panggilan dan portal Manfaat Belanjawan. Semua maklum balas akan dikaji supaya penyelesaian boleh dirumuskan untuk menyelesaikan isu yang timbul dan rakyat tidak terhenti daripada menerima bantuan.

76. Kerajaan juga mendokong usaha bagi menjamin ketelusan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ini. Sehubungan itu, pihak LAKSANA telah menghasilkan 63 naskhah ‘Laporan Laksana’ yang memperincikan status pelaksanaan pakej-pakej rangsangan dan penerangan isu-isu semasa yang relevan. Maklumat juga dimuatnaik di akaun Facebook dan portal rasmi Kementerian Kewangan.

77. Suka saya umumkan juga bahawa maklumat mengenai status penyaluran pakej-pakej ini boleh didapati melalui portal Kewangan Rakyat yang akan dilancarkan hari ini. Portal Kewangan Rakyat (https://kewanganrakyat.com/) akan menjadi platform sehenti bagi mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan penyaluran bantuan kepada rakyat dan perniagaan.

PENUTUP

Datuk Yang Dipertua,

78. Kerajaan akui walaupun telah melaksanakan lebih 450 program dan inisiatif melalui semua pakej-pakej bantuan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Memandang ke hadapan, insha-Allah, kami akan meneliti segala maklumbalas, tuntutan dan permohonan yang diterima untuk dipertimbangkan, lebih-lebih lagi dalam merangka Bajet 2022 nanti.

79. Seperti yang saya nyatakan pada awal bicara tadi, dalam masa kita menangani krisis ini, sebarang inisiatif atau bantuan haruslah dilaksanakan dengan tatacara fiskal yang berhemat, tanpa menjejaskan ketahanan kewangan semasa ataupun kedudukan fiskal pada hari-hari akan datang.

80. Namun apa yang pasti, Kerajaan telah membuktikan dengan 8 pakej dalam masa hanya 15 bulan, bahawa kita sentiasa mendengar dan sedia bertindak supaya rakyat dan ekonomi dapat terus bertahan dalam tempoh mencabar ini. Yang paling utama sekarang, kita perlu giatkan usaha memvaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di seluruh negara. Saya pasti Rakyat tidak mahu lagi menoleh ke belakang setelah terkurung untuk tempoh sekian lama. Insya-Allah, tahun ini, once and for all, kita tamatkan segala duka

81. Pelan Pemulihan Negara dengan tema #MenangBersama dirangka sebagai hala tuju peralihan keluar dari krisis ini secara segera, sistematik dan selamat. Melangkah ke hadapan, kita semua harus bersedia untuk menyesuaikan diri, bergerak dari kemelut pandemik ke situasi yang endemik, merentas satu realiti baru dan membina semula negara.

Datuk Yang Dipertua,

82. Saya tidak berhasrat untuk berucap panjang. Sebelum saya menoktahkan ucapan ini, saya ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang sudi bertemu dengan pasukan Kementerian Kewangan untuk berkongsi idea tentang kesemua pakejpakej bantuan, Belanjawan Negara dan kini, Pelan Pemulihan Negara.

83. Wakil-wakil dari perniagaan dan industri, pakar-pakar bidang, pihak NGO dan pastinya ahli-ahli Dewan ini sendiri yang merangkumi pelbagai parti politik dan latar belakang – semuanya telah menyampaikan pandangan bernas mereka atas niat ikhlas membela nasib rakyat dan negara. Usaha kerjasama sebeginilah yang saya pasti Rakyat mahukan dari kita – walau di masa lain kita berbeza haluan tetapi di saat negara memerlukan, kita ketepikan semua perbezaan itu untuk tangani krisis besar ini bersama. Dengan izin, let us uphold this spirit of collaboration, for the good of the nation. Truly, we can be better. United, we are stronger together.

84. Datuk Yang Dipertua, saya sudahi dengan lafaz wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. -TAMAT

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility