MUKADIMAH
Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Tan Sri Yang Dipertua,
1. Izinkan saya untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat kerana telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang amat penting ini.
2. Tidak kurang dari 15 Ahli Yang Berhormat telah turut sama berbahas, dan perkara yang dibangkitkan merentasi kepentingan rakyat, perniagaan dan negara. Saya hargai semua cadangan, teguran serta pandangan yang disampaikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat semua.
3. Sebelum saya menjawab persoalan yang dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan, izinkan saya mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan rasa dukacita atas bencana banjir yang sedang melanda negara dan bersimpati kepada semua Keluarga Malaysia yang terkesan.
4. Salam takziah kepada mereka yang telah kehilangan orang yang tersayang, serta jutaan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia yang telah turut sama untuk membantu mereka yang terjejas.
5. Kerajaan kekal komited untuk membantu seluruh Keluarga Malaysia yang terkesan. Dan seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 19 dan 20 Disember, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah segara bagi mengurangkan beban Keluarga Malaysia yang terkesan daripada musibah ini.
(1) PERUNTUKAN
Tan Sri Yang Dipertua,
6. Dalam tempoh 3 hari perbahasan RUU Perbekalan 2022, izinkan saya menyentuh beberapa topik utama di dalam ucapan penggulungan ini.
7. Beberapa orang Ahli-ahli Yang Berhormat telah menyentuh soal peruntukan tahun 2022 bagi sesebuah Kementerian, segmen masyarakat atau program.
8. Yang Berhormat Senator Tuan Aknan Ehtook menegaskan bahawa bajet ini adalah untuk semua rakyat dan perlunya MOF memberi perhatian kepada keperluan kumpulan minoriti. Saya sangat bersetuju dengan Yang Berhormat berhubung perkara ini. Jika dilihat, inilah hasrat Kerajaan apabila langkah utama Bajet 2022 adalah untuk manfaat semua rakyat dan terbuka buat setiap komuniti masyarakat. Bantuan Keluarga Malaysia diperuntukkan 8.2 bilion ringgit untuk manfaat 9.6 juta penerima dalam kalangan semua yang memerlukan. JaminKerja pula disediakan 4.8 bilion ringgit untuk mewujudkan 600 ribu peluang pekerjaan baharu terutamanya buat belia Malaysia tanpa mengira bangsa. Tidak dilupa SemarakNiaga bernilai 40 bilion ringgit ialah kemudahan pembiayaan pelbagai bentuk untuk manfaat semua usahawan PKS tempatan.
9. Dalam masa yang sama, Kerajaan tidak alpa akan keperluan buat kumpulan minoriti di Malaysia. Saya menerima baik keprihatinan Yang Berhormat Senator Tuan Aknan yang membangkitkan nasib komuniti seperti Orang Asli, komuniti Siam, Sikh, Sri Lanka dan Portugis – yang walaupun kumpulannya kecil tetapi mereka juga ada keperluan khusus. Dalam ucapan Bajet, telah diumumkan peruntukan 10 juta ringgit buat anak-anak Sabah Sarawak sebagai usaha untuk mendalami budaya, bahasa dan warisan komuniti masing-masing.
10. Maka, sukacita diumumkan, MOF akan turut memperluas manfaat komuniti minoriti lain dengan peruntukan tambahan 5 juta ringgit melalui ketua masyarakat atau NGO untuk menggalakkan pembelajaran budaya dan bahasa. Selain mengeratkan ukhwah komuniti dan mendorong pembangunan sahsiah remaja, pembelajaran ilmu bahasa misalnya bahasa Thai berupaya menyumbang kepada manfaat ekonomi melalui hubungan dagangan dengan negara jiran serta menyokong perkhidmatan penyumberan luar serantau di Malaysia.
11. Selanjutnya, saya juga merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Senator Dato’ Isa Ab. Hamid yang menyentuh perlunya peruntukan belanja mengurus lebih besar kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli atau JAKOA.
12. Kerajaan ini sememangnya menitikberatkan keperluan komuniti Orang Asli. Untuk makluman semua, bagi tempoh lima tahun sebelum Kerajaan semasa, peruntukan belanja mengurus atau OE JAKOA hanya meningkat sebanyak 10 juta ringgit iaitu daripada 103 juta ringgit semasa Bajet 2016 kepada 113 juta ringgit semasa Belanjawan 2020.
13. Dalam Bajet pertama saya, OE JAKOA di bawah Bajet 2021 telah ditingkatkan 10 juta ringgit kepada 123 juta ringgit dan seterusnya dinaikkan lagi hampir 40 juta ringgit kepada 162 juta ringgit untuk Bajet 2022. Peningkatan ini antaranya untuk tujuan pengangkutan anak-anak Orang Asli ke sekolah serta kenaikan wang saku murid sekolah menengah daripada 2 kepada 4 ringgit sehari yang bakal memanfaatkan 16 ribu murid Orang Asli. Kerajaan juga bersetuju memanjangkan Skim Bantuan Geran Pendidikan Orang Asli kepada IPT GLC seperti UTP, UNITEN dan MMU.
14. Bagi mengelakkan keciciran daripada menerima BKM, Kerajaan akan melaksanakan pendaftaran automatik berdasarkan data JAKOA dan dengan itu, komuniti Orang Asli tidak perlu memohon. Untuk memudah cara penyampaian BKM kepada penerima, sukacita saya maklumkan bahawa Program Bank Bergerak di Sabah Sarawak seperti diumumkan dalam Bajet 2022, akan juga merangkumi Semenanjung Malaysia, khususnya bagi beroperasi di kawasan pedalaman komuniti Orang Asli.
15. Selanjutnya, Yang Berhormat Senator Ras Adiba memohon penjelasan berhubung nasib OKU selepas tamat program MySTEP. Untuk makluman Yang Berhormat, MySTEP ialah program yang menawarkan peluang pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan GLC dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran. Ia memberi peluang untuk mendapatkan pengalaman kerja sebenar sekali gus membuktikan kebolehan peserta kepada majikan. Dengan pengalaman itu, diharapkan peluang mereka mendapat pekerjaan di pasaran terbuka menjadi lebih baik. Berdasarkan pencapaian 2021, seramai 61 ribu orang telah ditempatkan di sektor awam dan GLC termasuk golongan OKU yang berdaftar dengan JKM.
16. Peserta yang tamat MySTEP tidak diserap secara automatik. Prosedur serta tatacara pengambilan ke dalam perkhidmatan awam dan GLC masih terpakai sepertimana biasa. Namun, Kerajaan yakin peserta ini bakal mempunyai kelebihan untuk terpilih dalam sesi temuduga berbekalkan pengalaman yang diperolehi melalui MySTEP.
17. Untuk makluman juga, Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 memperuntukkan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU. Ini selaras dengan usaha meningkatkan lagi keupayaan modal insan khususnya bagi OKU.
18. Sepertimana yang diumumkan dalam Bajet 2022, Kerajaan akan melanjutkan program MYSTEP ini pada tahun hadapan dengan menyediakan 80 ribu peluang pekerjaan. Sejajar dengan usaha memastikan golongan OKU mendapat peluang pekerjaan, Kerajaan turut mengumumkan penetapan 1 peratus kuota khas kepada OKU bagi program MySTEP 2022.
(2) PERLINDUNGAN SOSIAL
Tan Sri Yang Dipertua,
19. Terdapat sebilangan Ahli Yang Berhomat turut membangkitkan berhubung pelaksanaan program-program perlindungan sosial antaranya seperti Yang Berhormat Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz yang menyentuh berhubung Baucar Perlindungan Tenang dan Yang Berhormat Senator Dato’ Hussain yang membangkitkan soal pelaksanaan MySalam.
20. Untuk makluman Yang Berhormat, Baucar Perlindungan Tenang dengan nilai 50 ringgit telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk manfaat golongan B40. Kesemua 8 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat layak menerima baucar tersebut. Sehingga 15 Disember, hampir 900 ribu golongan B40 telah menebus baucar ini dengan nilai hampir 45 juta ringgit melalui pembelian insurans atau takaful yang didaftar sebagai produk Perlindungan Tenang. Umumnya, program ini melibatkan 16 syarikat insurans dan pengendali takaful di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia.
21. Semakan kelayakan untuk menuntut baucar ini boleh dibuat dengan melayari www.myPTV.my atau mengunjungi mana-mana syarikat insurans atau pengendali takaful yang menawarkan produk Perlindungan Tenang. Bagi pemohon yang layak, penebusan baucar boleh dibuat dengan melayari www.mycoverage.my atau melalui pembelian terus di kaunter. Produk Perlindungan Tenang merangkumi pelbagai jenis perlindungan termasuk perlindungan untuk insurans hayat, penyakit 7 kritikal, hospitalisasi, hilang upaya, kebakaran dan kerosakan isi rumah akibat banjir.
22. Seperti diumumkan dalam Bajet 2022, Baucar Perlindungan Tenang ini telah ditambah baik dan ditingkatkan nilai baucar kepada 75 ringgit untuk tahun 2022. Sukacita diumumkan bahawa golongan B40 boleh menebuskan baucar 75 ringgit ini bermula 1 Januari 2022 dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang berdaftar.
23. Berhubung skim mySalam, izinkan saya jelaskan mengenai penambahbaikan yang dibuat oleh Kerajaan ini. Pada tahun 2019, Skim ini telah membantu 4.3 juta individu B40 dengan bayaran manfaat berjumlah 11.5 juta ringgit. Sebagai perbandingan semasa Kerajaan pentadbiran sedia ada, bayaran manfaat mySalam bagi hospitalisasi dan penyakit kritikal telah meningkat kepada 76.9 juta ringgit atau lebih 6 kali ganda pada tahun 2020 dan seterusnya naik kepada 120.9 juta ringgit untuk tempoh 11 bulan sehingga November 2021. Selain itu, mySalam juga telah mengeluarkan 119.6 juta ringgit sehingga November 2021 atas tuntutan berkaitan COVID-19. Di samping itu, dalam Bajet 2022, skim mySalam akan diperluas sehingga dua kali ganda bagi merangkumi lebih daripada 9 juta individu. MySalam juga telah ditambah baik dengan peruntukan 50 juta ringgit bagi bantuan peranti perubatan kepada B40.
24. Kerajaan akan terus memantau prestasi dan menambah baik Skim ini berdasarkan kemampuan dana mySalam. Umumnya, piagam pelanggan memproses tuntutan ialah 10 hari bekerja. Bagi mengurangkan insiden kelewatan dan meningkatkan kesedaran, bilangan 8 kakitangan ditingkatkan di samping menyediakan kaunter khas di hospital utama setiap negeri.
25. Keselamatan data penerima mySalam adalah serius dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972. Pihak Great Eastern Takaful Berhad yang mengendalikan skim mySalam hanya dapat menggunakan data bagi skim mySalam sahaja dan tidak dibenar menggunakan data tersebut bagi kegunaan lain seperti menjual produk insurans atau takaful lain kepada penerima mySalam.
(3) SUMBANGAN GLIC DAN GLC
Tan Sri Yang Dipertua,
26. Yang Berhormat Senator Dato’ Arman mengetengahkan cadangan agar syarikat GLC dan swasta dapat menyediakan tablet dan internet kepada pelajar B40 sebagai salah satu CSR. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan menyambut baik sebarang cadangan menyediakan kemudahan khususnya kepada pelajar-pelajar daripada keluarga B40. Kerajaan mengalu-alukan mana-mana syarikat GLC dan swasta untuk menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu keperluan murid-murid sekolah seperti pemberian komputer, kemudahan internet dan lain-lain.
27. Pun begitu, khususnya GLC, sebarang pelaksanaan cadangan hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan syarikat serta mendapat persetujuan Lembaga Pengarah masing-masing. Setakat ini, GLC telahpun menyumbang 150 ribu buah komputer riba kepada sekolah di kawasan berpendapatan rendah. Kerajaan juga dalam proses meneliti keberhasilan program tersebut bagi mempertimbangkan peluasan program dengan menyediakan peranti untuk murid sekolah.
28. Selanjutnya, suka untuk saya mengambil kesempatan di sini bagi menyatakan bahawa, GLIC/GLC amat-amat memainkan peranan mereka dalam bersama-sama Kerajaan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini menular di negara kita. Sejak Mac 2020 sehingga Disember 2021, jumlah sumbangan yang telah diberikan oleh GLIC/GLC bernilai lebih 8.19 bilion ringgit. Antaranya termasuklah:
(4) PEROLEHAN VAKSIN
Tan Sri Yang Dipertua,
29. Saya merujuk kepada telahan yang disuarakan Yang Berhormat Senator Puan Lim Hui Ying bahawa seolah-olahnya terdapat ketidaktelusan berhubung pembelian vaksin COVID-19 dan penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN.
30. Izinkan saya memberi pencerahan berhubung perkara ini. Untuk makluman Yang Berhormat, semasa pembentangan Belanjawan 2021, saya telah umumkan perolehan bekalan vaksin COVID-19 dijangka melibatkan kos melebihi 3 bilion ringgit untuk keperluan rakyat Malaysia. Namun, memandangkan pada masa itu jumlah bekalan dan harga masih belum dimuktamadkan oleh syarikat pembekal vaksin, maka tiada peruntukan dikhususkan sebagai sebahagian daripada peruntukan 322.5 bilion ringgit dalam Belanjawan 2021.
31. Hanya menjelang Mac 2021, iaitu setelah Kerajaan melaksanakan rundingan bekalan vaksin bagi keperluan sehingga 120 peratus penduduk Malaysia, Kerajaan menetapkan sebanyak 5 bilion ringgit diperlukan bagi perolehan bekalan vaksin serta perbelanjaan lain berkaitan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK. Bagi mempercepat pelaksanaan PICK supaya selesai menjelang Disember 2021, Kerajaan memutuskan untuk membiayai perbelanjaan PICK sebanyak 5 bilion ringgit tersebut menggunakan sumber dana KWAN.
32. Dengan adanya sumber khusus untuk pelaksanaan PICK, Malaysia telah diiktiraf mencapai kadar vaksinasi antara yang terpantas di dunia. Setakat ini, lebih 97 peratus penduduk dewasa telah lengkap divaksinasi dan ini telah mengurangkan bilangan kes COVID-19 dan juga tahap penggunaan ICU yang kini berada di bawah 60 peratus. Pencapaian inilah yang membolehkan hampir semua negeri beralih ke Fasa Keempat di bawah Pelan Pemulihan Negara.
33. KWAN asalnya dengan nawaitu untuk memanfaatkan generasi akan datang. Tidakkah penggunaan KWAN untuk PICK amat wajar bagi menjamin masa hadapan negara? Perkara ini dipersetujui oleh semua dan dengan itu, pindaan Akta KWAN membenarkan perbelanjaan untuk vaksin telah diluluskan di Dewan Rakyat sebulat suara, termasuk juga Ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak.
34. Berdasarkan penilaian semasa, adalah amat penting semua rakyat diberikan dos penggalak terutamanya dengan kemunculan varian Omicron. Demi memelihara kesejahteraan rakyat, saya ingin umumkan, Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan peruntukan pembiayaan KWAN daripada 5 bilion kepada 6 bilion ringgit. Penambahan ini pastinya untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi termasuk dos penggalak yang bukan sahaja untuk penduduk dewasa tetapi juga golongan remaja. Bagi menjamin kesejahteraan rakyat, Kerajaan akan bertindak secara proaktif dan terus memantau keadaan dari masa ke masa.
PENUTUP
Tan Sri Yang Dipertua,
35. Memandang masa tidak mengizinkan, bagi sebarang persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak sempat saya jawab dalam penggulungan ini, saya akan berikan jawapan secara bertulis – Insya-Allah.
36. Sekali lagi saya rakamkan ucapan terima kasih atas input-input yang dikongsikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang tempoh perbahasan ini. Saya dengan rendah diri, sekali lagi mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat semua untuk menyokong dan seterusnya meluluskan secara sebulat suara Bajet 2022 ini.
37. Saya juga secara peribadi dan #TeamMOF amnya, mendoakan agar musibah banjir yang melanda negara pada waktu ini akan segera reda. Marilah kita bergandingan, menggembleng keringat dan usaha, tidak kira anggota Kerajaan, Ahli Parlimen, GLC/GLIC, syarikat swasta, NGO, pemimpin setempat dan seluruh Keluarga Malaysia untuk turun ke lapangan, menghulur tenaga serta bantuan kepada saudara-saudari kita yang memerlukan.
38. Di sebalik musibah, moga-moga ada hikmah dan ganjaran buat kita semua. Insya Allah.
Sekian, Wabbillahitaufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih