Ucapan Penggulungan Rang Undang-Undang Tambahan Mengenai Akta Perbekalan (2021) 2022 Dewan Negara
UCAPAN PENGGULUNGAN RANG UNDANG-UNDANG TAMBAHAN MENGENAI AKTA PERBEKALAN (2021) 2022 DEWAN NEGARA
YB DATO’ INDERA MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH
TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I
29 MAC 2022 (SELASA)
MUKADIMAH
Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Tan Sri Yang Dipertua,
- Suka saya rakamkan ucapan terima kasih kepada lebih kurang lima orang ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Tambahan Mengenai Akta Perbekalan (2021) 2022, Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2021.
- Saya hargai semua cadangan serta pandangan yang disampaikan oleh semua. Sekarang, izinkan saya menjawab persoalan-persoalan utama yang dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan tadi.
- Pertama-tamanya, ingin saya tegaskan, Perbekalan Tambahan tahun 2021 ini adalah lebih kepada menguntukkan perbelanjaan lebihan ke Maksud berlainan dan tidak melebihi Anggaran Perbelanjaan Tahun 2021 yang telah diluluskan oleh Parlimen semasa Belanjawan 2021.
- Belanjawan yang telah diluluskan pada tahun 2021 adalah sebanyak 307.5 bilion ringgit iaitu melibatkan 236.5 bilion ringgit bagi Perbelanjaan Mengurus. Pada ketika itu juga unjuran hasil adalah sebanyak 236.9 bilion.
- Walaupun RUU Perbekalan Tambahan Pertama 2021 ini melibatkan 8.4 bilion ringgit di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebenarnya jumlah ini tidaklah melebihi jumlah diluluskan dalam Belanjawan 2021 kerana jumlah perbelanjaan sebenar tahun 2021 hanya 233.7 bilion ringgit berbanding 236.5 bilion yang telah diluluskan.
- Oleh itu, RUU ini bukan melambangkan perbelanjaan yang melebihi apa-apa yang diluluskan mahupun keperluan tambahan akibat tidak cukup peruntukan, tetapi lebih kepada menguntukkan lebihan perbelanjaan dari maksud yang mengalami ketidakcukupan peruntukan disebabkan perkara tertentu yang memerlukan peruntukan lebih tinggi dari peruntukan asalnya.
- Antaranya, keperluan mendesak bagi peruntukan subsidi ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia dan kenaikan harga komoditi sawit dunia pada tahun 2021. Maka, Kerajaan perlu menanggung kenaikan subsidi ini dan peruntukan yang diluluskan tidak cukup untuk menampung kenaikan berkenaan.
- Selain itu, berikutan bencana banjir yang berlaku, Kerajaan juga perlu melaksanakan perbelanjaan tambahan terlebih dahulu bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat serta membaiki infrastruktur yang terjejas akibat banjir.
- Oleh itu, mengambil kira keperluan mendesak yang perlu dibuat serta mengambil kira kekangan masa untuk tambahan ini dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu sebelum kelulusan perbelanjaan tambahan ini diluluskan, maka tindakan segera Kerajaan adalah amat penting kerana sebarang kelewatan dalam menyediakan peruntukan bagi perkara-perkara mendesak ini akan memberikan kesan langsung kepada rakyat.
1. SUBSIDI MINYAK MASAK
Tan Sri Yang Dipertua,
- Pertama, Yang Berhormat Senator Ir. Ts. Haji Khairil Nizam Khirudin, Yang Berhormat Senator Sr. Haji Mohd Apandi Mohamad, Yang Berhormat Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff dan Yang Berhormat Senator Dato’ Zaiedi Haji Suhaili ada menyentuh soal minyak masak antaranya berhubung dakwaan terputusnya bekalan minyak masak bersubsidi yang tular disebabkan kelewatan kerajaan membayar subsidi kepada pihak pengilang sehingga memberi kesan kepada ramai pengguna khususnya B40.
- Untuk makluman, ketidakcukupan hasil bagi menampung kos subsidi berbangkit kerana Kerajaan telah mengambil langkah untuk mengekalkan harga bersubsidi pek 1 kilogram minyak masak pada RM2.50 sedangkan harga sebenar kini telah mencecah RM7.00 sekilogram.
- Pun begitu, kelewatan bayaran ini bukanlah isu utama. Bekalan tidak mencukupi sebenarnya disebabkan oleh jurang harga yang besar antara harga bersubsidi dengan harga pasaran.
- Apabila perbezaan ketara antara harga bersubsidi dan harga pasaran berterusan, ia mengakibatkan kesan langsung yang lain termasuk penggunaan minyak masak bersubsidi oleh golongan bukan sasaran subsidi termasuklah sektor perniagaan seperti restoran.
- Inilah antara sebab utama golongan sasar iaitu isi rumah berpendapatan rendah berhadapan ketidakcukupan minyak masak bersubsidi walaupun pengeluaran 60 ribu metrik tan sebulan iaitu jauh melebihi keperluan isi rumah B40.
- Buat masa ini, KPDNHEP telah melaksanakan Operasi OPS Goreng sepanjang tahun 2021 melibatkan pemeriksaan premis-premis perniagaan dan setiap rantaian bekalan agar tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Bagi mengawal keberadaan minyak masak bersubsidi di pasaran, KPDNHEP telah menghadkan penjualan minyak masak paket sebanyak 3 paket bagi setiap pelanggan. Ini adalah bertujuan untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi untuk semua rakyat.
- KPDNHEP juga telah melaksanakan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan yang lain untuk memastikan minyak masak tidak di seludup ke luar negara.
2. SUBSIDI PRODUK PETROLEUM
- Kedua, dalam masa yang sama sebilangan Yang Berhormat Senator juga ada membangkitkan soal subsidi produk petroleum ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia. Seperti yang dijelaskan sebelum ini berkaitan isu yang sama oleh saya semasa penggulungan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda tempoh hari, harga minyak mentah Brent Crude Oil telah meningkat dengan signifikan. Jika dibandingkan, harga minyak mentah bulan Januari 2022 ialah 85 US dolar setong berbanding Januari 2021 hanya sebanyak 55 US dolar setong.
- Dengan kenaikan ini, Kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi bagi petrol, diesel dan gas cecair memasak (LPG) yang ketara sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat daripada 200 juta ringgit untuk Januari 2021 kepada lebih daripada 2 bilion ringgit untuk Januari 2022.
- Ditambah dengan pergolakan antara Rusia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia telah naik mendadak ke paras melebihi 100 US dolar setong. Dijangkakan, jumlah subsidi petrol, diesel dan LPG akan melebihi 2.5 bilion ringgit sebulan. Ini bermakna, jumlah subsidi keseluruhan 2022 dijangka mencecah 28 bilion ringgit, berbanding 11 bilion ringgit bagi 2021.
- Kenaikan kos subsidi ini juga akan menekan kedudukan fiskal negara kerana pertambahan kos subsidi sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- Kerajaan pula tidak boleh meminjam untuk membiayai belanja mengurus seperti kos subsidi. Ya, memang benar kita merupakan negara pengeluar minyak dan berkemungkinan memperoleh peningkatan pendapatan ekoran kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.
- Memandangkan konflik Rusia-Ukraine masih pada peringkat awal, Kerajaan belum boleh mengunjur peningkatan pendapatan berbanding implikasi kewangan akibat kenaikan kos subsidi. Mengikut unjuran awal, Kerajaan masih perlu menampung subsidi kerana harga runcit produk petroleum di pasaran yang terlalu rendah berbanding harga pasaran.
- Melihatkan kepada situasi ini, Kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar. Pelaksanaan subsidi secara bersasar dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan Kerajaan dan penjimatan yang dicapai dapat diagihkan semula untuk program yang lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia.
3. PRN SARAWAK DAN MELAKA
Tan Sri Yang Dipertua,
- Ketiga, Yang Berhormat Senator Dato’ Zaiedi Suhaili, Yang Berhormat Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff dan Yang Berhormat Senator Ir. Ts. Haji Khairil Nizam Khirudin juga ada menyentuh berhubung perbelanjaan tambahan bagi Pilihan Raya Negeri. Untuk makluman semua, DUN Melaka telah dibubarkan pada 4 Oktober 2021 iaitu PRU DUN Melaka ke-15 melibatkan 28 kerusi DUN perlu dilaksanakan pada 20 November 2021 dengan anggaran kos berjumlah 45.9 juta ringgit.
- Kos 45.9 juta ringgit ini ditampung menggunakan peruntukan yang telah diluluskan untuk PRN Sarawak pada tahun 2021 sebanyak 138 juta ringgit. Kerajaan juga mengandaikan PRN Sarawak tidak sempat dilaksanakan pada tahun 2021, dan disediakan juga peruntukan dalam Bajet 2022 sebanyak 121 juta ringgit.
- Namun, selepas Bajet 2022 dibentangkan pada Oktober 2021, PRN Sarawak diumumkan untuk diadakan pada Disember 2021 dan disebabkan itu, peruntukan tambahan diperlukan sebanyak 67.7 juta ringgit. Lebihan kos perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh SPR pada tahun 2021 berjumlah 67.7 juta ringgit ini merangkumi pembayaran kos pelaksanaan sebahagian PRU DUN Sarawak ke-12 yang dilaksanakan pada Disember 2021 kerana peruntukan yang disediakan sebelumnya telah didahulukan untuk PRN Melaka.
- Berkaitan cadangan e-voting, SPR sedang menjalankan kajian mengenai penggunaan e-voting. Selain dari aspek kebaikan dan keburukan pelaksanaan e-voting, SPR juga perlu menilai isu-isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi. SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak yang berkaitan sebelum sebarang keputusan/syor dikemukakan kepada Kerajaan.
4. PENSTRUKTURAN SEMULA PERKHIDMATAN AIR NEGARA
Tan Sri Yang Dipertua,
- Keempat, Yang Berhormat Senator Sr. Haji Mohd Apandi juga ada menyebut soal industri perkhidmatan air Kelantan.
- Untuk makluman, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Ogos 2007 telah bersetuju supaya Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air dilaksanakan melalui pengambilalihan pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Sebagai balasan:
- Kerajaan Negeri akan menyerahkan atau memajakkan aset air kepada PAAB;
- PAAB akan memajakkan semula aset air tersebut kepada operator air negeri dengan dikenakan bayaran sewa pajakan; dan
- Semua kutipan hasil akan dimasukkan ke dalam sebuah Akaun Amanah yang akan diserah hak secara tidak boleh batal kepada PAAB sebagai jaminan untuk bayaran sewa pajakan.
- Pelaksanaan keputusan ini telah terpakai untuk semua negeri yang memasuki skim penstrukturan semula air bagi memastikan tiada diskriminasi.
5. LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA
Tan Sri Yang Dipertua,
- Kelima, Yang Berhormat Senator Dato’ Zaiedi Haji Suhaili juga inginkan penjelasan aktiviti kritikal yang dimaksudkan bagi peruntukan tambahan kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.
- Peruntukan tambahan sebanyak 198 juta ringgit tersebut bertujuan untuk menampung aktiviti pentaksiran yang dirancang dan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia antaranya seperti:
- Pelaksanaan Pemeriksaan Skrip Jawapan Peperiksaan (SJP) Secara Dalam Talian Menggunakan Sistem LPSkor berjumlah 40 juta ringgit. Di samping itu juga tuntutan pemeriksa pentaksiran juga diuruskan secara digital dengan jumlah peruntukan 30 juta; (Untuk makluman, mulai peperiksaan SPM 2020, LP telah melaksanakan pemeriksaan SJP bagi kesemua subjek secara dalam talian. Selain SPM, pemeriksaan SJP juga dilaksanakan bagi peperiksaan SPM Ulangan, Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM). Di samping itu, tuntutan pemeriksa pentaksiran juga diuruskan secara digital mulai peperiksaan SPMU 2021)
- Pelaksanaan Dasar Baharu bagi Pentaksiran Alternat Sekolah Menengah (PASM) berjumlah 1 juta ringgit;
- Pelaksanaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan Ujian Amali Sains SPM 2021 berjumlah 20 juta;
- Format Baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi peperiksaan SPM, SPMU dan SVM serta keperluan memenuhi pemeriksaan SJP menggunakan LPSkor berjumlah 40 juta;
- Penataran Format baharu Pentaksiran Peringkat Sekolah Rendah mulai 2022 berjumlah 1 juta ringgit;
- Pembangunan dan penyelenggaraan aplikasi sistem yang digunakan oleh LP bertujuan pentaksiran berjumlah 3 juta ringgit; dan
- Penggantian dan Penyelenggaraan Peralatan Bilik Kebal berjumlah 5 juta ringgit;
- Manakala kos-kos lain meliputi kos Menaik Taraf Premis LP di Kuala Lumpur (LPKL) dan Pembelian Kenderaan serta Harta Modal di LP Putrajaya dan LPKL.
6. MASYARAKAT MINORITI SIAM
Tan Sri Yang Dipertua,
- Keenam, Yang Berhormat Senator Aknan Ehtook ada membangkitkan soal peruntukan khusus bagi masyarakat minoriti Siam.
- Untuk makluman, melalui Bajet 2022 yang dibentangkan dalam dewan yang mulia ini, Kerajaan telah memperluas manfaat komuniti minoriti lain dengan peruntukan tambahan 5 juta ringgit melalui ketua masyarakat atau NGO untuk menggalakkan pembelajaran budaya dan bahasa.
- Selain mengeratkan ukhwah komuniti dan mendorong pembangunan sahsiah remaja, pembelajaran ilmu bahasa misalnya bahasa Thai berupaya menyumbang kepada manfaat ekonomi melalui hubungan dagangan dengan negara jiran serta menyokong perkhidmatan penyumberan luar serantau di Malaysia.
- Walau bagaimanapun, Kerajaan tidak boleh menyediakan peruntukan tahunan kepada NGO atau badan yang terlibat secara setiap tahun. Namun cadangan ini akan diteliti dan dikaji dengan lebih teliti agar mematuhi prosedur Kewangan yang berkuat kuasa.
- Berkaitan dengan permohonan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Senator Tuan Aknan Ehtook, permohonan tersebut sedang dalam penelitian Kementerian Kewangan.
- Untuk makluman Yang Berhormat juga, permohonan awal yang telag Yang Berhormat kemukakan pada bulan Oktober 2021 yang lalu telah diambil sebagai input kepada inisiatif pengumuman Bajet 2022 yang telah saya sebutkan tadi.
7. APLIKASI MYSEJAHTERA
Tan Sri Yang Dipertua,
- Yang Berhormat Senator ketika berbahas juga turut membangkitkan soal aplikasi MySejahtera. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Kerajaan melalui Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada 27 Mac 2022, Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta.
- Kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd., yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021. Perkara ini berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi MySejahtera kepada Kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat atau CSR syarikat.
- Setelah tamat tempoh CSR tersebut, Kerajaan pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan. Aplikasi MySejahtera diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya. Maka, Kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini.
- Keputusan Kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan Kerajaan.
- Seterusnya Kementerian Kewangan, melalui surat bertarikh 28 Februari 2022, bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan. Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan Kerajaan.
- Kerajaan juga ingin menegaskan bahawa data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan. Segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM. Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa. Sehubungan dengan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan Kerajaan akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi.
PENUTUP
Tan Sri Yang Dipertua,
- Itu sahaja ucapan penggulungan saya. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat atas pandangan dan inputinput yang dikongsikan sepanjang tempoh perbahasan ini.
Sekian, Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih