Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Ucapan Penggulungan Titah Diraja Kementerian Kewangan

Ucapan Penggulungan Titah Diraja Kementerian Kewangan

UCAPAN PENGGULUNGAN

USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL AZIZ MENTERI KEWANGAN

14 MAC 2022


MUKADIMAH

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dato’ Yang Dipertua,

  1. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah semasa Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas yang lalu.

  2. Tidak kurang 32 Ahli Yang Berhormat telah berbahas dan mengambil peluang menyatakan cadangan, teguran serta pandangan masing-masing melibatkan Kementerian Kewangan. Berdasarkan isu-isu yang dibahaskan, terdapat beberapa perkara utama yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.

1. PERKARA BERKAITAN EKONOMI NEGARA

Dato’ Yang Dipertua,

  1. Izinkan saya mulakan ucapan ini dengan menjawab terlebih dahulu perkara-perkara berkaitan kedudukan ekonomi negara secara keseluruhan.

  2. Yang Berhormat Bagan mendakwa bahawa Kerajaan telah gagal dalam menguruskan ekonomi kerana tidak mencapai anggaran pertumbuhan disasarkan iaitu 7.5 peratus dan defisit sebanyak 5.4 peratus bagi tahun 2021. Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali dan jelas tidak menggambarkan keadaan sebenar.

  3. Pertama, unjuran yang disebut ini iaitu kenaikan KDNK kepada 7.5 peratus dibuat pada November 2020 iaitu sebelum negara dan seluruh dunia dilanda ancaman varian Delta. Pun begitu, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, ekonomi negara berjaya mencapai pertumbuhan 3.1 peratus, selaras dengan unjuran yang disemak semula oleh Bank Negara Malaysia iaitu antara 3 hingga 4 peratus. Malah, kita juga melihat pelbagai indikator ekonomi yang baik untuk tahun 2021, yang mencerminkan bahawa negara kita kekal di landasan pemulihan yang kukuh. Ini termasuklah:

    1. jumlah perdagangan luar yang mencecah lebih dari 2 trilion ringgit;

    2. aliran masuk bersih pelaburan langsung asing, atau FDI, berjumlah hampir 55 bilion ringgit, iaitu nilai tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda negara;

    3. pemulihan kadar pengangguran ke 4.2 peratus pada Januari 2022, berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020; dan

    4. minat berterusan dari pelabur asing, di mana secara bersih, telah melabur 3.5 bilion ringgit dalam pasaran bon tempatan pada Januari lalu, dan 4.3 bilion ringgit dalam pasaran ekuiti tempatan sehingga kini.

  4. Kedua, saya berpandangan, dengan mengekalkan sasaran defisit pada 5.4 peratus sepertimana pendirian Yang Berhormat Bagan, kita tidak mempunyai ruang fiskal yang mencukupi, dan ini pastinya akan membawa kepada kegagalan dalam memelihara kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan, lebih-lebih lagi semasa PKP dilaksanakan bagi membendung ancaman varian Delta.

  5. Dalam menangani krisis, sudah tentu suntikan fiskal Kerajaan amatlah diperlukan. Kerajaan juga telah mengambil keputusan meningkatkan had hutang statutori, dan dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan yang mulia ini semasa pembentangan pindaan kepada Akta KWC-19 tahun lalu.

  6. Tindakan proaktif juga telah diambil melalui pelaksanaan pakejpakej bantuan dan rangsangan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan dan ekonomi. Tindakan proaktif ini memerlukan peningkatan defisit kepada 6.4 peratus berbanding KDNK. Ini sebenarnya menunjukkan keprihatinan Kerajaan dalam menangani impak COVID-19 ke atas rakyat, dan bukanlah satu kegagalan.

  7. Ketiga, dengan lapan Pakej Bantuan dan Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan, setakat 28 Februari 2022, sejumlah 365 bilion ringgit telahpun disalurkan dan memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan. Sebagai contoh, dengan lebih 20 bilion ringgit yang telah disalurkan, inisiatif subsidi upah telah memanfaatkan hampir 360 ribu majikan bagi mengekalkan lebih 2.9 juta pekerja tempatan. MOF menganggarkan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan telah menyumbang 7.4 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK sejak pandemik melanda.

  8. Keempat, walaupun benar bahawa ekonomi kita telah menguncup semasa krisis COVID-19, tetapi Insya-Allah, ekonomi negara diunjurkan akan mula memulih pada tahun 2022 dengan kadar antara 5.5. hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran IMF dan Bank Dunia iaitu masingmasing pada kadar 5.7 dan 5.8 peratus.

  9. Ini bermakna, KDNK negara tahun ini dijangka melepasi paras KDNK pada tahun 2019, disokong oleh Bajet 2022 yang terus mengembang dan bernilai 332 bilion ringgit, serta pelaksanaan langkahlangkah yang masih berjalan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini.

  10. Selain itu, KDNK tahun ini akan turut didorong oleh pembukaan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi, serta permintaan luar yang kukuh, terutamanya dari rakan dagangan utama negara.

  11. Pemulihan dan pembukaan semula ekonomi juga disokong oleh kejayaan Kerajaan melaksanakan dan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk PICK iaitu sebanyak 6.8 bilion ringgit. Malah, usaha memvaksinasi Keluarga Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila lebih 97 peratus penduduk dewasa telah menerima vaksin lengkap setakat ini.

  12. Dengan pengumuman Kerajaan baru-baru ini untuk memulakan Fasa Peralihan ke Endemik yang antara lainnya melibatkan pembukaan semula sempadan negara menjelang 1 April ini, ia pastinya akan terus merancakkan lagi pemulihan ekonomi negara.

  13. Maka, jelaslah dakwaan bahawa Kerajaan gagal dalam menguruskan ekonomi tidak berlandaskan fakta dan tidak mengambil kira perkembangan COVID-19 yang melanda negara dan dunia.

2. CUKAI PENDAPATAN PEMASTAUTIN DI LUAR NEGERI

Dato’ Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Bagan juga ada menyeru supaya Kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas pekerja Malaysia yang mengirim wang pendapatan mereka dari luar negara ke Malaysia.

  2. Seperti semua sedia maklum, sistem percukaian bagi sumber pendapatan di Malaysia adalah tertakluk di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan umumnya, amalan percukaian di Malaysia berbentuk “territorial”.

  3. Ini bermakna, hanya pendapatan yang dijana dari Malaysia akan dikenakan cukai. Sistem percukaian Malaysia ini apabila dipraktikkan bersama-sama Double Tax Agreement (DTA) yang ditandatangani dengan negara-negara lain, akan memastikan pendapatan yang telahpun dicukai di negara luar, tidak dicukai sekali lagi oleh Malaysia. Sistem ini adalah adil untuk pembayar cukai baik untuk individu ataupun syarikat.

  4. Sebagai langkah tindak balas ke atas serangan mata wang dan krisis ekonomi asia pada 1997, Kerajaan pada waktu itu telah mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang bersumber dari luar dan diremitkan ke Malaysia yang membolehkan pembayar cukai menikmati pengecualian cukai.

  5. Pengecualian cukai ini telahpun dinikmati pembayar cukai di Malaysia selama lebih dua dekad. Kesatuan Eropah pada 5 Oktober 2021, dalam usahanya untuk meningkatkan tadbir urus cukai antarabangsa telahpun meletakkan Malaysia dalam senarai negaranegara yang tidak berkerjasama dengan piawaian cukai antarabangsa kerana, pengecualian cukai ke atas pendapatan luar negara yang diberikan pada tahun 1997 dianggap sebagai rejim cukai yang berbahaya.

  6. Oleh itu, semasa pembentangan Bajet 2022, Kerajaan telah mengumumkan cadangan langkah menarik balik pengecualian cukai ke atas pendapatan pemastautin yang diterima dari luar negara mulai 1 Januari 2022. Selain daripada memainkan peranan di peringkat antarabangsa, objektif utama langkah ini adalah untuk memberi layanan sama rata kepada semua pembayar cukai terutamanya di dalam negara yang selama ini membayar cukai ke atas semua jenis pendapatan yang dijana dalam negara.

  7. Lanjutan pengumuman tersebut, untuk memperincikan pelaksanaan dasar, saya sendiri telah bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar percukaian serta industri mengenai skop dan kenaan yang sewajarnya ke atas pembayar cukai untuk dasar ini.

  8. Kenyataan bahawa dua sistem percukaian tidak dapat dipraktikkan tidak benar sama sekali. Secara asasnya, kaedah percukaian individu dan syarikat sememangnya dua layanan yang berbeza. Sebagai permulaan, cukai individu dikenakan mengikut jadual iaitu kadar cukai berdasarkan jumlah penggajian yang diterima. Manakala cukai syarikat berdasarkan 24 peratus kepada semua syarikat yang perlu membayar cukai.

  9. Yang Berhormat Bagan juga telah menyatakan bahawa Kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberi pengecualian cukai dan pada suatu masa pengecualian ini ditarik balik. Walaupun dari segi fakta ini adalah benar, tetapi saya pasti selaku mantan Menteri Kewangan, Yang Berhormat faham bahawa terdapat pengecualian cukai terutamanya kepada individu yang telah diberikan secara jangka panjang dan tidak pernah ditamatkan. Izinkan saya untuk memberikan beberapa contoh:

    Pertama : faedah yang diterima daripada simpanan tetap ini adalah satu contoh baik iaitu syarikat dikenakan cukai bagi faedah yang diterima daripada simpanan tetap tetapi individu sememangnya dikecualikan;

    Kedua : cukai pegangan bagi pembelian perisian. Individu yang membeli perisian tidak perlu membayar cukai pegangan manakala syarikat perlu membayar cukai pegangan; dan

    Ketiga : penjualan harta tanah selepas tahun kelima; melalui Bajet 2022, individu yang menjual harta tanah selepas tahun kelima tidak lagi perlu membayar cukai keuntungan harta tanah manakala syarikat masih lagi perlu membayar.
  1. Melalui contoh-contoh ini, ternyata layanan percukaian bagi individu dan syarikat adalah berbeza dan tidak wajar disamakan dan dakwaan Yang Berhormat Bagan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

3. KEDUDUKAN KEWANGAN NEGARA

Dato’ Yang Dipertua,

  1. Selanjutnya, Yang Berhormat Labuan meminta penjelasan tentang kedudukan terkini kewangan negara dan sama ada Kerajaan mampu membiayai dan melaksanakan obligasi yang dibuat sebelum ini.

  2. Bagi tahun 2021, Kerajaan telah menyasarkan defisit fiskal pada 6.5 peratus kepada KDNK seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022. Namun, berikutan prestasi hasil dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, sukacita diumumkan bahawa defisit fiskal 2021 telah mencatat 6.4 peratus berbanding KDNK.

  3. Yang Berhormat Labuan juga menyarankan untuk mempelbagaikan hasil supaya defisit dapat diturunkan dan kemampanan fiskal terjamin. Selaras dengan saranan tersebut, Kerajaan komited melaksanakan konsolidasi fiskal bagi mencapai defisit antara 3 hingga 3.5 peratus kepada menjelang hujung 2025, selari dengan sasaran RMKe-12.

  4. Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah pembaharuan institusi yang melibatkan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini, penggunaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS), serta Kajian Semula Perbelanjaan Awam (PER) dalam memastikan tadbir urus fiskal dan kemampanan jangka sederhana dan panjang.

  5. Pelaksanaan langkah konsolidasi fiskal disertai kutipan hasil yang lebih baik dijangka dapat memastikan kemampanan fiskal. Bajet 2022 telah diumumkan langkah tertentu untuk menjana hasil tambahan seperti Cukai Makmur dan pengenaan semula cukai atas pendapatan luar negara. Namun demikian, Kerajaan telah mengambil pendirian untuk tidak memperkenalkan cukai baharu dengan asas meluas. Pada masa ini, Kerajaan mengutamakan pemulihan ekonomi negara dan tidak ingin membebankan rakyat dan perniagaan secara amnya.

  6. Seperti yang dinyatakan Yang Berhormat Labuan, semua ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang Mulia ini telah pada Oktober tahun lepas dengan sebulat suara meluluskan peningkatan had statutori hutang negara kepada 65 peratus.

  7. Sehingga akhir Disember 2021, jumlah hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) berjumlah 922 bilion ringgit Malaysia atau 59.7 peratus daripada KDNK. Bagi menyokong pemulihan ekonomi pada tahun 2022, hutang statutori berdasarkan Bajet 2022 dibenarkan meningkat kepada paras 63 peratus, iaitu masih di bawah had 65 peratus KDNK yang diluluskan Yang Berhormat sekalian.

  8. Kerajaan tidak pernah gagal bagi memenuhi obligasi kewangannya dan Kerajaan ini akan terus menguruskan kewangan negara dengan bertanggungjawab supaya terus membayar tanggungannya. Jika berbangkit perkara luar jangka, Kerajaan seperti yang dibuktikan sepanjang krisis COVID-19 akan bertindak secara proaktif bagi menangani segala cabaran sambil tetap memenuhi obligasinya.

  9. Namun, saya tidak nafikan, seperti disebut oleh Yang Berhormat Labuan bahawa Kerajaan ini telah mewarisi obligasi hutang negara dan liabiliti yang tinggi. Ia telah mencecah lebih satu trilion sejak hujung tahun 2018 dan kian meningkat.

  10. Selain had hutang statutori seperti yang diluluskan oleh Dewan yang Mulia ini, Kerajaan masih perlu membayar khidmat hutang atas liabiliti off-budget yang diwarisi. Di samping itu, Kerajaan masih perlu menyediakan peruntukan untuk menanggung bayaran balik hutang seperti yang berkaitan dengan 1MDB, sebagai contoh memerlukan bayaran balik pinjaman lebih 13 bilion ringgit pada tahun 2023.

4. 1MALAYSIA DEVELOPMENT BERHAD (1MDB)

Dato’ Yang Dipertua,

  1. Berkenaan hutang 1MDB, terdapat beberapa Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan perkara ini, termasuklah Yang Berhormat Port Dickson dan Bagan.

  2. Setakat 28 Februari 2022, dengan andaian kadar tukaran wang asing 1 US dolar bersamaan RM4.20, baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah 3 bon dan 1 sukuk adalah sebanyak 38.8 bilion ringgit.

  3. MOF juga ingin memaklumkan bahawa dana awam pernah dan masih perlu digunakan untuk menanggung hutang 1MDB, sama ada dari segi bantuan langsung, atau pun melalui dana pemulihan aset 1MDB.

  4. Berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, Kerajaan dari April 2017 hingga November 2021 telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih 10 bilion ringgit melalui MOF dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB.

  5. Selain daripada bantuan kewangan langsung daripada Kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang dimasukkan ke dalam satu akaun amanah di bawah MOF yang diberi nama Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Asset Recovery).

  6. Ini bermakna, jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh Kerajaan adalah sebanyak 13.31 bilion ringgit. Pada masa ini, dana akaun amanah yang masih berbaki sebanyak 15.76 bilion ringgit tidak mencukupi untuk melunaskan kesemua prinsipal hutang 1MDB.

  7. Berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima daripada AmBank sebanyak 515 juta ringgit serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak 954 juta US dolar, Kerajaan masih perlu menampung kekurangan, atau shortfall keperluan dana berjumlah 17 bilion ringgit bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak 38.8 bilion ringgit untuk tempoh 2023 hingga 2039.

  8. MOF juga ingin menjelaskan, penebusan awal terbitan bon 1MDB bukanlah perkara mudah. Ini kerana ia perlu mendapatkan persetujuan pemegang bon, dan melibatkan aspek undang-undang yang rumit serta keperluan untuk mereka bersetuju dengan harga penebusan awal.

  9. Bagi bon-bon yang diterbitkan di dalam dolar Amerika, Kerajaan juga rugi kerana nilai penebusan akan menjadi lebih tinggi berdasarkan kadar tukaran wang semasa, serta harga bon 1MDB yang kini telah melonjak kerana kadar faedahnya yang jauh lebih tinggi berbanding kadar faedah semasa di pasaran.

  10. Kerajaan akan terus memastikan hutang 1MDB dibayar pada masa yang telah ditetapkan bagi mengelak berlakunya event of default yang bakal memberikan implikasi buruk kepada ekonomi negara kerana hutang-hutang berkenaan dijamin oleh Kerajaan Malaysia melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan.

  11. Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian bagi melunaskan hutang 1MDB dan mengurangkan beban kewangan Kerajaan.

5. PENYELENGGARAAN JALAN DI BAWAH MARRIS

Tuan Yang Dipertua,

  1. Yang Berhormat Cameron Highlands mengutarakan keperluan menyelenggara jalan di perkampungan Orang Asli termasuk jalan yang tidak diselia MARRIS dan longkang yang tidak memenuhi keperluan.

  2. Kementerian Kewangan prihatin kepada keadaan infrastruktur jalan dan longkang di peringkat negeri. Peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri atau lebih dikenali sebagai Pemberian MARRIS, merupakan komponen pemberian negeri terbesar iaitu berjumlah 4.9 bilion ringgit atau 64 peratus daripada jumlah pemberian negeri pada tahun 2021.

  3. Bagi membantu Kerajaan Negeri mengoptimumkan peruntukan tersebut, Kerajaan Persekutuan dari masa ke masa sentiasa menambah baik skop tatacara pengurusan Pemberian MARRIS bagi memberi fleksibiliti kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan termasuk longkang. Majlis Kewangan Negara tahun 2020 telah memutuskan supaya Kerajaan Negeri dibenarkan membelanjakan sehingga 20 peratus atau 50 juta ringgit yang mana terendah, daripada peruntukan MARRIS untuk kerja penyelenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum MARRIS seperti yang disebut Yang Berhormat Cameron Highlands.

  4. Secara amnya, peruntukan MARRIS hanya dibenarkan untuk pembaikan tetapi tidak untuk bina baharu atau menaik taraf. Pun begitu, berkenaan isu longkang yang tidak up to standard hingga menjejaskan laluan air, sebagai kelonggaran, MOF ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri dibenarkan untuk guna peruntukan MARRIS bagi kerja pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian longkang bagi tujuan menambah baik saliran longkang atau parit sedia ada. Kerja sebegitu penting bagi mengelakkan kerosakan jalan dan juga mengelakkan banjir. 

  5. Sukacita juga diumumkan, pada 9 Mac 2022, MOF telah mengeluarkan surat kelulusan khas kepada semua Kerajaan Negeri membenarkan penggunaan peruntukan Pemberian MARRIS bagi membiayai pembaikan dan penggantian kemudahan jalan, jambatan, parit, longkang dan cerun di jalan negeri yang rosak disebabkan banjir.

6. PEMBERIAN KHAS KEPADA NEGERI SABAH

Tuan Yang Dipertua,

  1. Beberapa ahli Yang Berhormat termasuk Yang Berhormat Tuaran, dan Kota Belud membangkitkan berhubung peruntukan untuk Sabah, khususnya di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

  2. Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, pendirian perundangan daripada Jabatan Peguam Negara bahawa formula Perkara 112C tidak lagi terpakai kerana kajian semula ke atas Pemberian Khas telah dijalankan dan dipersetujui Bersama di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi tempoh 1969 hingga 1973.

  3. Sekian lama perbezaan pendirian perguaman antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan mengakibatkan persetujuan bersama tidak tercapai sejak tahun 1973. Dengan itu, kadar pemberian S112D telah kekal pada tahap 26.7 juta ringgit sejak tahun 1973.

  4. Sebagai tambahan, pegawai di Kementerian Kewangan juga akan merujuk kepada Perlembagaan khususnya bahawa pemberian khas tertakluk kepada kemampuan kewangan Kerajaan. Sehubungan itu, cadangan berdasarkan asas 40 peratus akan mengakibatkan kedudukan defisit semasa iaitu perbelanjaan mengurus melebihi hasil yang tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang.

  5. Kedudukan ini tidak boleh dibenarkan berlarutan lagi. Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian S112D kepada Sabah dan Sarawak. Ini bukanlah kata-kata kosong. Kerajaan telah membuktikan kemajuan dapat dicapai dengan mengambil pendekatan pragmatik. Pada Disember 2021, perjanjian Kerjasama Komersial telah berjaya dimeterai di antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS yang akan memacu pembangunan sektor minyak dan gas di Sabah, serta telah menyumbang kepada hasil tambahan 1 bilion ringgit cukai jualan negeri diterima.

  6. Saya yakin pendekatan seumpama ini dan semangat jalinan Kerjasama yang erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada masa ini akan dapat menghasilkan kata sepakat dalam perkara Pemberian Khas S112D. Dengan itu, dalam tempoh terdekat pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan akan dapat membayar tahap pemberian khas 112D yang lebih tinggi, insyallah.

  7. Yang Berhormat Beaufort dan Kalabakan telah memohon supaya peruntukan Sabah dan Sarawak ditingkatkan selaras dengan harga minyak yang meningkat serta untuk memenuhi keperluan pembangunan negeri.

  8. Kerajaan komited untuk memastikan kemakmuran bersama untuk semua ahli Keluarga Malaysia. Mengambil kira keperluan pembangunan khususnya di Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah ambil tindakan seperti berikut:

    Pertama : Sabah dan Sarawak adalah negeri penerima pemberian tahunan terbesar dengan masing-masing 1.16 bilion dan 1.27 bilion ringgit iaitu melebihi 30 peratus daripada keseluruhan pemberian kepada negeri;

    Kedua : dengan peningkatan harga minyak, Kerajaan Negeri akan menerima hasil tunai minyak 5% yang lebih tinggi dan di samping itu, berikutan kejayaan Kerajaan Persekutuan memuktamadkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA), kedua-dua Kerajaan Negeri juga menerima hasil tambahan cukai jualan negeri atas produk petroleum;

    Ketiga : negeri Sabah dan Sarawak merupakan antara negeri dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) terbesar dengan masing-masing 5.2 bilion dan 4.6 billion ringgit, iaitu melebihi 20 peratus peruntukan DE kepada negeri, dan

    Keempat : di samping peruntukan DE, Kerajaan juga telah menyokong pembangunan melalui pembiayaan secara off-budget untuk projek seperti Lebuhraya Pan-Borneo

  9. Fasa Pertama Lebuhraya Pan Borneo Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej dengan kos projek melebihi 10 bilion ringgit di mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52 peratus. Seperti yang baru diumumkan YAB Perdana Menteri, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan dengan kos lebih daripada 15 bilion ringgit dengan jajaran sepanjang 367 kilometer dan tempoh pembinaan selama 5 tahun.

  10. Fasa Pertama LPB Sarawak pula diluluskan dengan kos 19 bilion ringgit yang dibiayai melalui DE sebanyak 6 bilion ringgit dan bakinya 13 bilion secara off-budget. Bagi melengkapi LPB Sarawak, Kerajaan juga telah sekarang bersetuju untuk meneruskan dengan projek SarawakSabah link Road dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo yang dianggarkan melibatkan kos melebihi 10 bilion ringgi dengan jajaran 500 kilometer dan tempoh pembinaan selama 5 tahun.

  11. Pengumuman bulan ini atas persetujuan Kerajaan Persekutuan membiayai projek lebuhraya di Sabah dan Sarawak bernilai lebih 25 bilion tambahan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan memacu pembangunan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

7. CADANGAN PENGELUARAN SIMPANAN KWSP

Tuan Yang Dipertua,

  1. Cadangan berhubung pengeluaran KWSP secara one-off buat kali yang terakhir turut dibahaskan antaranya oleh Yang Berhormat Bagan, Pasir Mas, Pekan, Papar, Baling, Kinabatangan, Machang, Lanang dan Setiu.

  2. Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, tiga program pengeluaran khas KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra merupakan pengeluaran prapersaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara, saya ulangi, langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa PKP. Malah, negara-negara lain seperti Australia, Chile dan Peru, yang juga telah membenarkan akses awal kepada simpanan persaraan bagi membantu rakyat menangani cabaran COVID-19, tidak lagi membenarkan program pengeluaran ini. Singapura pula langsung tidak membenarkan sebarang pengeluaran dana persaraan atas tujuan COVID-19.

  3. Berbalik kepada Malaysia, secara keseluruhan, di bawah ketiga-tiga pengeluaran ini, ahli KWSP telah mempunyai akses kepada dana persaraan mereka sehingga 71 ribu ringgit. Pengeluaran khas ini telah memanfaatkan lebih 7.3 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.7 juta ahli dengan amaun pengeluaran berjumlah 101 bilion ringgit.

  4. Walaupun inisiatif ini sememangnya telah meringankan beban ahli yang memerlukan, namun pengeluaran khas ini telah mengakibatkan pengurangan simpanan persaraan yang ketara. Susulan pengeluaran berjumlah 101 bilion ringgit tersebut, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus daripada ahli di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada 10 ribu ringgit.

  5. Seterusnya, tanpa pengeluaran-pengeluaran tersebut, kadar dividen bagi simpanan konvensional yang diumumkan KWSP bagi tahun 2021 sepatutnya boleh mencecah sehingga 6.7 peratus, berbanding 6.1 peratus yang diumumkan baru-baru ini. Ini bermakna, 5.4 bilion ringgit dari segi dividen tambahan boleh diagihkan kepada semua ahli KWSP jika pengeluaran sebelum ini tidak dibuat.

  6. Kehilangan 5.4 bilion ringgit dari dividen ini telah menyebabkan lebih kurang 5.3 juta ahli yang tidak pernah mengeluarkan wang simpanan mereka melalui mana-mana skim pengeluaran sebelum ini terpaksa menerima pulangan yang lebih rendah ke atas simpanan mereka. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat sekelian, yang juga mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka: adakah ini adil?

  7. Kedua, sekiranya dibenarkan pengeluaran 10,000 ringgit secara one-off, bilangan ahli yang layak membuat pengeluaran adalah dijangka seramai 6.3 juta ahli. Ini berkemungkinan melibatkan pengeluaran tambahan berjumlah lebih dari 63 bilion ringgit. Sekiranya pengeluaran tambahan dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio, dan impaknya mungkin lebih dari nilai pengeluaran berjumlah 63 bilion ringgit.

  8. Bagi menyediakan nilai pengeluaran berjumlah 63 bilion ringgit, KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, terutamanya dengan krisis Rusia-Ukraine baru-baru ini, memberhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh jangka pendek dan sederhana (3 hingga 6 bulan).

  9. Langkah ini akan terus memberi impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan. Antara kesan buruk yang boleh dan antaranya telah berlaku kepada pasaran bon tempatan termasuklah:

    1. kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang telah meningkat dalam kadar purata 100 mata asas berbanding suku ketiga tahun 2020 dan menyebabkan kos pinjaman bagi Kerajaan di masa hadapan meningkat dengan ketara, serta kerugian portfolio bagi peserta-peserta pasaran. Sebagai contoh, bagi keseluruhan tahun 2021, jumlah pinjaman kasar bagi MGS adalah 83 bilion ringgit. Ini bermakna Kerajaan menanggung tambahan bayaran faedah berjumlah 830 juta ringgit setahun. Bayangkan nilai ini sepatutnya dapat digunakan bagi pelbagai program dan bantuan kewangan untuk rakyat. Kenaikan lanjut kadar faedah ini juga akan menyebabkan kerugian yang lebih besar, serta terus meningkatkan sentimen negatif peserta pasaran terhadap pasaran kewangan tempatan; dan

    2. Tambahan pula, ini akan menjejaskan kedudukan KWSP sebagai pemegang tunggal terbesar MGS dengan pegangan berjumlah 240 bilion ringgit (atau hampir 27 peratus daripada nilai keseluruhan di dalam pasaran bon MGS). Bagi syarikat tersenarai di pasaran saham tempatan pula, pegangan KWSP adalah kira-kira 16 peratus (atau RM272 bilion) daripada nilai keseluruhan yang berjumlah lebih 1.7 trilion ringgit. Bagi pelaburan dalam bon-bon korporat pula, pegangan KSWP pula adalah 21 peratus (atau RM166 bilion). Apabila kedudukan KWSP sebagai salah satu pelabur terbesar di pasaran saham dan bon tempatan terjejas, ada dua perkara yang akan juga terjejas: (1) kebolehan KWSP untuk menjana pulangan dividen kepada ahli dan (2) peranan KWSP dalam menyediakan kecairan modal bagi pasaran bon Kerajaan di mana kos pinjaman Kerajaan akan naik dan telah pun naik sebanyak 100 mata asas. 

PENUTUP

Tuan Yang Dipertua,

  1. Mengakhiri penggulungan ini, sukacita sekali lagi saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pandangan dan input-input yang dikongsikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang tempoh perbahasan ini.

Sekian, wabbillahitaufiq walhidayah, assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility