Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Anwar Bentang Belanjawan 2024 Di Dewan Rakyat

Anwar Bentang Belanjawan 2024 Di Dewan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) tiba di Dewan Rakyat pada jam 4 petang bagi pembentangan Belanjawan 2024. Turut hadir, Anwar diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) dan Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat.

Belanjawan yang kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan, media sosial serta laman YouTube Parlimen.

Belanjawan 2024 bertema ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ itu bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI dijangka menyaksikan Kerajaan Perpaduan mengumumkan langkah-langkah pembaharuan fiskal, mengukuhkan pengurusan dan mempelbagaikan sumber hasil di samping mengurangkan ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 kemudian akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari bermula 16 Okt sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.

Sementara itu, menerusi catatan di laman Facebook Anwar hari ini, beliau menzahirkan harapan agar pembentangan Belanjawan 2024 dapat membimbing Malaysia ke tahap lebih baik dalam mendepani cabaran global masa kini selain menyokong agenda pembangunan dan kebajikan negara.

Terdahulu, Anwar tiba di lobi Dewan Rakyat pada 4 petang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Sebelum memasuki Dewan Rakyat, Perdana Menteri sempat melambai kepada pihak media dan bergambar di hadapan lobi Parlimen.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility