KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) – Cagamas SRP Bhd dan bank-bank di Malaysia yang mengambil bahagian dalam Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah membantu hampir 67,000 isi rumah Malaysia memiliki rumah dengan jumlah pinjaman/pembiayaan sebanyak RM14.8 bilion.
Menurut kenyataan Cagamas SRP pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa menyampaikan ucapan melancarkan inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) semalam berkata daripada jumlah isi rumah tersebut, 91 peratus adalah daripada segmen B40 dan 92 peratus merupakan mereka berumur di bawah 35 tahun.
Beliau berkata inisiatif yang diterajui kerajaan seperti SRP, bertujuan membantu golongan muda Malaysia yang layak, memiliki rumah pertama mereka.
“Beliau (Tengku Zafrul) berkata melalui pelancaran i-Biaya amatlah diharapkan jangkauan SRP akan dapat diperluas lagi kepada golongan muda, gig dan berpendapatan rendah selain dijangkakan sebanyak 25,000 pembiayaan SRP dengan anggaran nilai pembiayaan RM5.9 bilion akan diluluskan pada 2022,” menurut kenyataan itu.
Menurut Cagamas SRP, menteri kewangan dan pihaknya menyampaikan anugerah Bank-bank Yang Mengambil Bahagian Terbaik untuk SRP semasa majlis pelancaran itu semalam.
Anugerah tersebut diberi sebagai tanda penghargaan kepada bank-bank yang mengambil bahagian dalam SRP yang mencatatkan jumlah pinjaman/pembiayaan SRP terbesar dalam tempoh 10 tahun lepas dan bank-bank ini telah dipilih berdasarkan jumlah bilangan pinjaman/pembiayaan SRP yang telah diluluskan dengan Cagamas SRP bersetuju untuk menjamin dalam tempoh 10 tahun lepas.
Cagamas SRP menjelaskan, AmBank (M) Bhd, AmBank Islamic Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd dan Maybank Islamic Bhd dipilih sebagai penerima anugerah itu.
81 peratus daripada pinjaman/pembiayaan yang diluluskan adalah daripada semua bank ini.
Anugerah itu disampaikan Tengku Zafrul dan diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd, Datuk Chung Chee Leong mengucapkan syabas dan tahniah kepada para penerima anugerah atas sokongan mereka dalam mempromosikan pemilikan rumah dalam kalangan belia.
“Cagamas SRP berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam inisiatif kerajaan seperti inisiatif i-Biaya dan mengalu-alukan lebih banyak kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk menambah baik serta menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di Malaysia,” katanya.