KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) – Harga runcit petrol RON97 meningkat 11 sen kepada RM4.83 seliter manakala harga bagi petrol RON95 dan diesel tidak berubah bagi tempoh 16 hingga 22 Jun ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter walaupun harga pasaran kedua-dua bahan api itu telah meningkat melepasi harga siling semasa.
Kementerian berkenaan menyatakan harga baharu itu berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menurut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.