KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) – Seramai 297 peserta menyertai kejohanan e-sukan yang pertama di negara ini menggunakan teknologi 5G, Karnival E-Sports Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) 2022 bermula hari ini dan esok.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penggunaan teknologi 5G pada karnival itu sebagai pendokong kepada capaian Internet bagi akses kepada permainan yang dipertandingkan.
“Karnival ini merupakan antara cara MOF menyokong penggunaan teknologi 5G yang diharapkan akan membawa Malaysia menerajui ekonomi digital di rantau ini.
“Pada masa ini, rangkaian 5G tersedia di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur dan sasaran kadar penembusan 5G di negara ini dijangka akan mencecah 80 peratus kawasan berpenduduk negara menjelang 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Karnival yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks MOF, Putrajaya itu disertai peserta daripada anggota Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK) dengan sasaran untuk mengenal pasti bakat e-sukan dalam kalangan warga MKSAKK bagi tujuan pendedahan kepada sukan e-sukan yang lebih kompetitif.
Permainan yang dipertandingkan ialah Player Unknown Battleground Mobile (PUBGM), Mobile Legend (ML) dan FIFA 22.
Karnival ini diadakan dengan kolaborasi strategik antara MOF dan beberapa agensi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta seperti Digital Nasional Berhad (DNB), Ericsson Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, YTL Corporation Bhd, Xiaomi Malaysia Sdn Bhd, Oppo Electronics dan IESPA Sdn Bhd.