Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Kerajaan komited sediakan peruntukan mencukupi pastikan ANMS dijayakan – Tengku Zafrul

Kerajaan komited sediakan peruntukan mencukupi pastikan ANMS dijayakan – Tengku Zafrul

KUALA PILAH, 13 April (Bernama) – Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata malah ANMS akan turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) terutama dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Kerajaan sentiasa menitikberatkan isu kesihatan awam dan kesejahteraan Keluarga Malaysia. Melalui Bajet 2022, kerajaan akan terus memupuk budaya sihat selain bersetuju meneruskan ANMS yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada November lepas.

Antara strategi yang akan dijalankan melalui RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan pusat hemodialisis NSCMH cawangan Kuala Pilah di sini hari ini.

Beliau berkata ANMS bertujuan untuk menjadikan budaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran sebagai satu norma baharu bagi menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia.

Pada 11 Nov tahun lepas, Ismail Sabri ketika melancarkan ANMS dilaporkan berkata ANMS merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19.

Terdahulu, Tengku Zafrul menyampaikan sumbangan 20 unit kerusi roda bagi memanfaatkan para pesakit di Pusat Hemodialisis NSCMH berkenaan seterusnya memastikan pusat itu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu beliau berkata selain menawarkan caj rawatan padar kadar yang minimum, pusat itu turut membantu pesakit hemodialisis dengan menanggung kos rawatan melalui pemberian subsidi mengikut kategori sekali gus dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

“Dianggarkan kos terkini untuk setiap rawatan adalah RM170 dan setiap bulan seorang pesakit memerlukan 13 kali rawatan. Ini bermakna, kos sebulan adalah lebih kurang RM2,200,” katanya.

Katanya menurut data Malaysian Dialysis and Transplantation Registry, hampir 50,000 pesakit menjalani dialisis dengan kebanyakannya adalah secara hemodialisis manakala pesakit dialisis baharu setahun pula adalah sekitar 8,000 individu.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility