Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Kerajaan sasar gandakan pendaftaran insurans mikro, takaful mikro menjelang 2026 – Tengku Zafrul

Kerajaan sasar gandakan pendaftaran insurans mikro, takaful mikro menjelang 2026 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) – Kerajaan menyasarkan untuk menggandakan jumlah individu yang mendaftar untuk insurans mikro atau takaful mikro menjelang 2026 di bawah Pelan Tindakan Sektor Kewangan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata hasil utama lain yang dijangka menjelang 2026 termasuklah penggunaan pesat pembayaran digital, dengan e-pembayaran per kapita meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul melebihi 15 peratus serta kadar penembusan insurans dan takaful antara 4.8 peratus dan 5.0 peratus.

Katanya pelan tindakan itu turut menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan yang konsisten dalam kewangan alternatif untuk perniagaan baharu dan inovatif serta pembayaran rentas sempadan yang lebih cepat, murah dan mudah diakses.

“Strategi pelan tindakan itu penting kepada sektor kewangan untuk menghadapi cabaran dan peluang yang akan datang, melengkapi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Antara lain, pelan tindakan itu menggariskan strategi untuk penggunaan teknologi dan pengenalan penyelesaian kewangan yang inovatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya pada pelancaran kemudahan pinjaman peribadi digital baharu Touch 'n Go (TNG), GOpinjam, di sini hari ini.

Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, akan meletakkan asas untuk pembangunan sektor kewangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tengku Zafrul berkata dasar kerajaan berjalan dengan baik untuk menggalakkan akses rakyat dan perniagaan kepada keterangkuman kewangan dan digital, menyatakan bahawa 2022 akan terus menjadi tahun transformasi, disokong oleh asas dalam sektor kewangan yang kukuh dan trend yang sentiasa berubah.

Beliau berkata Kementerian Kewangan terus komited untuk memacu trend ini dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan kedinamikan pasaran yang lebih baik.

“Ini untuk memberi respons yang lebih baik kepada keperluan ekonomi dan masyarakat yang berubah-ubah, apabila persaingan dan inovasi yang sihat wujud bersama dengan tata laku berhemat dan bertanggungjawab,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility