Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

MINDEF, KDN Diperuntuk RM38.7 Bilion Perkasa Keselamatan Negara - PM Anwar

MINDEF, KDN Diperuntuk RM38.7 Bilion Perkasa Keselamatan Negara - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM19.7 bilion tahun depan, meningkat RM2 bilion berbanding tahun ini, manakala Kementerian Dalam Negeri pula mendapat RM19 bilion, pertambahan sejumlah RM500 juta daripada peruntukan 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, kerajaan akan memulakan proses perolehan aset baharu termasuk perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Perolehan lain ialah aset utama Tentera Darat Malaysia seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), enam Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis.

“Selain itu, ia turut melibatkan kerja-kerja memasang pulih dua aset kapal selam, meneruskan perolehan tiga Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia dan perolehan bagi menggantikan aset lama dengan tujuh pesawat kapal terbang twin engine dan lima helikopter ringan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," kata beliau.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahankan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.

Susulan itu, beliau berkata pada tahun depan, kerajaan akan menambah aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta sembilan kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut beliau, kerajaan juga akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik di Sabah serta kerja awalan pembinaan dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan di Sabah.

Anwar berkata kerajaan akan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) dan RM20 juta turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility