Pilih bahasa anda
CAMERON HIGHLANDS, 11 Julai (Bernama) - Kementerian Kewangan (MOF) menyasarkan pelaksanaan 10 Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) khusus untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di seluruh Semenanjung.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata pelaksanaan itu bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disampaikan kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank.
Beliau berkata program di Cameron Highlands hari ini merupakan lokasi keenam yang dilaksanakan tahun ini, dan inisiatif yang diperkenalkan pada 2024 juga menjadi sebahagian usaha kerajaan memperluas akses kepada bantuan kewangan dan perkhidmatan kerajaan di kawasan pedalaman.
Johan Mahmood berkata program penunaian STR di Cameron Highlands adalah yang pertama diadakan di daerah itu bagi melengkapkan keseluruhan 10 lokasi di Semenanjung Malaysia, termasuk di Gua Musang, Rompin, Sungai Chincin dan Sungai Siput.
“Program ini diadakan khusus untuk penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank supaya mereka tetap menerima bantuan kerajaan secara tunai, selaras dengan hasrat kerajaan memastikan tiada rakyat tercicir daripada menikmati bantuan,” katanya.
Johan Mahmood berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Penunaian STR di Dewan Datuk Mohd Nor @ Bah Ayob, Kampung Orang Asli Menson di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan Pegawai Daerah Cameron Highlands Kamarul Iskandar Nordin.
Pada program itu, sebanyak 113 masyarakat Orang Asli menerima bayaran STR yang keseluruhan berjumlah RM60,000.
Johan Mahmood berkata program penunaian STR bagi masyarakat Orang Asli di Sabah dan Sarawak telah selesai dilaksanakan bulan lepas melibatkan 37 lokasi, sebelum inisiatif sama diperluaskan ke kawasan pedalaman di Semenanjung.
Dalam pada itu, beliau berkata selain penunaian STR, program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan masyarakat Orang Asli mengakses perkhidmatan di satu lokasi, termasuk pendaftaran MyKad dan sijil kelahiran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pembukaan akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) serta perlindungan MySalam.
“Kerajaan turut memperluaskan rangkaian perkhidmatan kewangan di kawasan pedalaman menerusi penambahan empat unit bank bergerak tahun ini selain menggalakkan penerima membuka akaun bank bagi memudahkan penyaluran bantuan pada masa depan.
“Sebuah premis di penempatan Orang Asli di Cameron Highlands turut didaftarkan sebagai rakan MyKasih, menjadikan hampir 50 premis rakan SARA kini beroperasi di daerah itu, termasuk dua di kawasan penempatan Orang Asli,” kata Johan Mahmood.
Sementara itu, Ramli berkata program berkenaan mendapat sambutan positif masyarakat Orang Asli kerana bukan sahaja memudahkan penerimaan bantuan tunai malah membolehkan mereka menyelesaikan pelbagai urusan kerajaan, termasuk mendapatkan dokumen pengenalan diri di satu lokasi.
Beliau berkata inisiatif yang menghimpunkan MOF, BSN, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan JPN itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan penyampaian bantuan serta perkhidmatan asas sampai kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
"Ramai Orang Asli yang tidak mempunyai kemampuan kaedah untuk memperolehnya melalui sistem perbankan kita, jadi program ini menyatukan pihak Kementerian Kewangan, Bank Simpanan Nasional, dan pihak JAKOA, serta Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk bersama selesaikan penyampaian ini.
“Dalam masa yang sama, program ini dapat menyediakan dokumen yang perlu, terutama JPN dan ini juga dapat membantu mengesan masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai dokumen, sijil beranak dan kad pengenalan.
Beliau berkata menerusi program itu, jabatan berkenaan akan berusaha untuk mengusahakan dokumen berkaitan dilaksanakan secepat mungkin, sekali gus membuktikan inisiatif kerajaan dalam memastikan keprihatinan dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat.