Pilih bahasa anda
GEORGE TOWN, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MoF) menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI selepas mengesan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi.
MoF dalam kenyataan hari ini memaklumkan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.
“Tindakan ini diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima BUDI MADANI yang mendapati maklumat MyKad masing-masing digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi. Kesemua pengadu telah membuat laporan polis.
“MoF menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak itu, dengan jumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain itu, MoF juga menyekat sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.
Kementerian itu turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka bagi menentukan sama ada tindakan sewajarnya perlu diambil.
“Kerajaan MADANI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan BUDI MADANI.
“Kerajaan sentiasa memantau transaksi BUDI MADANI dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi,” katanya.