KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Tumpuan turut terarah kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik, sesuai dengan tuntutan semasa untuk menarik lebih banyak kemasukan pelabur dan pelancong, selain merancakkan aktiviti perdagangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak RM50 juta disediakan secara geran padanan bersama Lembaga Pelaburan Klang untuk menyelenggara Jalan Pelabuhan Klang di samping turut menguatkuasakan had beban lebih muatan atas kenderaan berat.
“Sebanyak RM20 juta disediakan secara geran padanan bersama Lembaga Pelabuhan untuk menaik taraf Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) bagi menyatukan komuniti perdagangan di pelabuhan melalui satu portal digital bersepadu bersama pelbagai agensi kerajaan lain,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya cadangan pembangunan Pelabuhan di Pulau Carey akan direalisasikan melalui Permintaan bagi Cadangan (RFP) dalam memperkukuhkan lagi peranan Pelabuhan Klang.