Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

RUU LHDN (Pindaan) 2023 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

RUU LHDN (Pindaan) 2023 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata RUU tersebut akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi persidangan kali ini.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pindaan kepada RUU itu bertujuan untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) di mana Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

Fasal 2 pula bagi meminda seksyen 6 Akta 533 untuk meluaskan keanggotaan Lembaga LHDN dengan menambah seseorang yang mewakili Sabah dan Sarawak yang hendaklah dilantik oleh menteri selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

“Fasal ini juga memperuntukkan bahawa orang yang mewakili Sabah dan Sarawak itu hendaklah daripada kalangan orang yang berkedudukan dan berpengalaman dalam perkara kewangan, komersial, percukaian atau undang-undang,” kata naskah itu.

Manakala, bagi Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 7 Akta 533 bagi memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik hendaklah juga memegang jawatan, tertakluk kepada apa-apa terma sebagaimana yang ditentukan oleh menteri, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula.

Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan bahawa menteri boleh, pada bila-bila masa, tanpa memberikan apa-apa sebab, membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

Selain itu, anggota yang dilantik juga boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatannya dengan memberikan notis secara bertulis kepada menteri.

Sementara itu, Fasal 5 bertujuan untuk meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang lembaga yang ada untuk pelaburan ke dalam bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, mana-mana institusi kewangan lain yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia dengan sewajarnya di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 atau koperasi yang didaftarkan dengan sewajarnya di bawah Akta Koperasi 1993.

RUU LHDN (Pindaan) 2023 sebelum ini pernah dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan sebelum ini namun ditangguhkan bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas meminda Fasal 2 seksyen 6 Akta 533 dalam pelantikan serta pemberhentian wakil dari Sabah dan Sarawak hendaklah dirujuk kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility