Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan sebuah Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk “Inisiatif Rangka Kerja Pembiayaan Bagi Pembangunan Mampan”. Ini merupakan KKA terakhir yang diterbitkan selaras dengan proses penyediaan Bajet 2023. KKA ini antara lain mempunyai objektif untuk memastikan rangka kerja pembiayaan bagi pembangunan mampan yang dibangunkan adalah komprehensif dan praktikal dalam usaha mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca bersih sifar (zero greenhouse gas emissions) seawal- awalnya tahun 2050, menepati matlamat yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 serta memenuhi komitmen negara di peringkat antarabangsa.
Semua pihak dijemput untuk memberi maklumbalas kepada KKA tersebut yang boleh dicapai melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/
Secara keseluruhan sebanyak enam (6) KKA telah diterbitkan MOF di mana ianya merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh.
Maklumbalas yang diterima akan digunakan dalam merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosio- ekonomi negara.
MOF mengalu-alukan maklumbalas bagi KKA ini sebelum atau pada 22 September 2022.
Kementerian Kewangan Putrajaya
8 September 2022