Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Bajet 2023

Jelajah Bajet 2023: Perbincangan Pelbagai Cadangan Bagi Kemajuan Negeri Johor Darul Ta’zim

Jelajah Bajet 2023: Perbincangan Pelbagai Cadangan Bagi Kemajuan Negeri Johor Darul Ta’zim

Johor Bahru, 8 Ogos 2022 - Kementerian Kewangan (MOF) hari ini memulakan program jelajah negeri Belanjawan 2023 di negeri Johor Darul Ta’zim merupakan negeri pertama dikunjungi MOF dalam usaha mendapatkan pandangan dan cadangan di peringkat akar umbi terutamanya dari rakyat, industri setempat termasuk Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan komited untuk memantapkan proses penyediaan Bajet 2023 melalui penglibatan dan sumbangan ahli Keluarga Malaysia bagi memastikan bajet yang dibentangkan di Parlimen merupakan penjelmaan denyut nadi rakyat untuk manfaat semua rakyat.

Kerajaan akan terus memajukan mekanisme untuk memperbanyakkan penyediaan perumahan yang berkualiti dan mampu didiami rakyat biasa, mengambil contoh semasa lawatan kerja ke Rumah Iskandar Malaysia yang dimajukan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di mana 1,500 unit pangsapuri/ mampu sewa disediakan untuk golongan yang bekerja di Iskandar Malaysia.

Lawatan ke Folo Farms di Ulu Tiram yang merupakan inisiatif komuniti setempat menghasilkan sayur organik, di mana baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan dari hotel dan restoran di bandar Johor Bahru, menunjukkan Malaysia juga mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan penghasilan makanan di kawasan bandar yang menerapkan prinsip kelestarian.

Sesi dialog dengan industri dan pihak berkepentingan seumpama ini telah menghasilkan hampir 50 langkah yang dimasukkan dalam Bajet 2022 dan sesi ini diteruskan bersama pihak berkepentingan dari industri kimia semasa Jelajah Bajet 2023 di Johor. Industri kimia merupakan antara sektor keutamaan negara bagi pelaburan dan penjanaan pekerjaan yang sebagai industri hiliran dapat mengoptimakan nilai tambah dari sektor minyak petroleum dan sawit. Cadangan yang dibuat pihak industri semasa dialog di taman industri Tanjung Langsat untuk memacu pertumbuhan industri kimia akan dipertimbangkan untuk Bajet 2023.

Semasa pertemuan dengan YAB Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi, Menteri Besar Johor, Kerajaan Persekutuan menzahirkan komitmen untuk memacu pembangunan di negeri Johor serta meningkatkan usaha menarik pelaburan ke negeri Johor dalam sektor utamanya. Antara tumpuan Kerajaan di Johor adalah untuk mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan melalui projek seperti landasan keretapi Gemas – Johor Bahru yang bakal siap serta projek baharu seperti RTS (rapid transit link) ke Singapura.

Kementerian Kewangan akan menyusuli jelajah ke semua negeri untuk memahami cabaran yang dihadapi dan mengumpulkan cadangan dari segenap lapisan masyarakat mengenai langkah untuk Bajet 2023.


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
8 Ogos 2022

Arkib Bajet 2023

Logo Accessibility