Selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) pada 3 Jun 2022 mengenai Kenyataan Pra-Bajet dan usaha menyeluruh MOF untuk mendapatkan maklumbalas bagi penyediaan Bajet 2023, MOF telah menerbitkan sebuah lagi Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk “Penerapan Prinsip Alam Sekitar, Sosial Dan Tadbir Urus (ESG) Dalam Pelaburan Oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) Dan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD)”.
KKA tersebut bertujuan mengumpul cadangan berlandaskan prinsip ESG bagi meningkatkan daya saing GLIC dan MKD, yang bakal menyumbang kepada agenda pembangunan mampan negara. KKA tersebut boleh dimuat turun melalui pautan: https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/ dan maklumbalas boleh dikongsi sebelum atau pada 23 Ogos 2022. Ini adalah sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan inklusif, serta memberi peluang kepada semua pihak untuk menyumbang kepada usaha merangka sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, selaras dengan dasar pembangunan sosio-ekonomi negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 Ogos 2022