Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan sebuah Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk “Penambahbaikan Dasar Perolehan Hijau Kerajaan”. Cadangan di dalam KKA tersebut dibentangkan dengan objektif untuk menerapkan dan memperkasakan inisiatif hijau di dalam pelaksanaan perolehan Kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan. Di samping itu, ianya juga merupakan satu instrumen untuk mencapai aspirasi Kerajaan ke arah pembangunan mampan serta sebagai peneraju perolehan hijau bagi memangkin sektor swasta untuk mencontohi usaha Kerajaan. Semua pihak dijemput untuk memberi maklumbalas kepada KKA tersebut melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.
Penerbitan KKA merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh. Kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan Kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara.
MOF mengalu-alukan maklumbalas bagi KKA ini sebelum atau pada 12 September 2022.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
24 Ogos 2022