Pilih bahasa anda
YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan mengadakan lawatan ke dua pusat jagaan warga emas, iaitu Genting Dementia Care Centre, Segambut, Kuala Lumpur dan Pusat Jagaan Laman Khaira, Putrajaya, bagi melihat secara dekat keperluan serta cabaran dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan warga emas.
Turut serta dalam lawatan ini ialah YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha KPWKM; pegawai kanan KPWKM; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Kementerian Kewangan serta Pasukan Belanjawan 2027.
Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030, apabila sekitar 15% penduduk berusia 60 tahun dan ke atas. Perubahan demografi ini memerlukan persediaan menyeluruh, bukan sahaja dari aspek penjagaan warga emas, malah melibatkan perlindungan sosial, persaraan, kesihatan serta sokongan kepada keluarga dan komuniti.
Sehubungan itu, lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk mendengar pandangan secara langsung, memahami realiti di lapangan dan mengenal pasti keperluan semasa dalam memperkukuh ekosistem penjagaan negara.
Belanjawan 2027 akan memberi perhatian kepada kesiapsiagaan Malaysia menghadapi masyarakat menua, termasuk usaha memperkukuh sistem persaraan, penjagaan kesihatan dan sokongan komuniti, di samping membangunkan ekonomi penjagaan (care economy) sebagai sektor pertumbuhan baharu yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan serta perkhidmatan penjagaan yang berkualiti.
Orang ramai turut dialu-alukan untuk menyumbang idea, pandangan dan cadangan bagi Belanjawan 2027 melalui Portal Cadangan Belanjawan di:
https://belanjawan.mof.gov.my
Suara anda penting dalam membentuk Belanjawan 2027 yang responsif terhadap keperluan rakyat hari ini dan cabaran Malaysia pada masa hadapan.