YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah hadir dalam Dialog Prabelanjawan 2025 (Segmen Penjawat Awam) sempena Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) bertemakan Memperkasakan Ekonomi, Merealisasikan MADANI di INTAN, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Seramai 453 orang penjawat awam pelbagai skim dari Jabatan dan Agensi Awam Persekutuan dan Negeri terlibat dalam dialog bagi memberi ruang dan peluang kepada Penjawat Awam sebagai salah satu usaha membantu Kerajaan mendapatkan input dan pandangan pihak berkepentingan dalam penyediaan dokumen Belanjawan 2025 agar lebih terangkum dan menyeluruh.
Selain itu, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah juga menjelaskan bahawa Belanjawan 2025 amat penting untuk merangka program, inisiatif dan langkah berkesan bagi memacu pencapaian objektif Ekonomi MADANI. Bagi menterjemahkan teras Ekonomi MADANI iaitu untuk "Menaikkan Lantai", Belanjawan 2025 akan terus menyediakan inisiatif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat seiring dengan hasrat "Menaikkan Siling" dengan meningkatkan potensi ekonomi dan daya saing negara.
Pelbagai isu dan cadangan yang dikemukakan sepanjang dialog berjalan yang berkisarkan tentang inisiatif khas, penyasaran subsidi, meningkatkan kompetensi penjawat awam dalam teknologi dan pendigitalan, peranan penjawat awam dalam meningkatkan pendapatan negara dan lain-lain lagi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang mewakili Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Dato' Shahrol Anuwar Sarman, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara. Sesi dialog telah dikendalikan oleh Encik Kasim Muhamad, Perunding Latihan Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi dan Kewangan Awam INTAN sebagai moderator.